Khamis, 8 Oktober 2015 | 12:02am

Cinta Hujan Bulan Juni

NOVEL Hujan Bulan Juni hasil penulisan Sapardi Djoko Damono.
NOVEL Hujan Bulan Juni hasil penulisan Sapardi Djoko Damono.

HUJAN Bulan Juni jujurnya lebih molek dibiarkan dalam bentuk puisi saja. Apabila karya ini dijadikan novel, ternyata ia bukan pengalaman membaca yang memuaskan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan naskhah tulisan Sapardi Djoko Damono ini masih kisah indah untuk dinikmati apabila ia mengungkapkan hubungan cinta antara Sarwono dan Pingkan.

Sarwono, pensyarah antropologi beragama Islam dan berasal dari Solo, manakala Pingkan, pembantu pensyarah beragama Kristian Menado. Jika anda berharap akan menemukan konflik dan permasalahan hubungan cinta berbeza agama dan budaya, Hujan Bulan Juni tidak menghidangkan ramuan yang sedemikian.

Ia seakan-akan diari yang menuliskan kecurigaan, kesetiaan dan sedikit rasa cemburu antara Sarwono dengan Pingkan. Karya ini tidak menghidangkan konflik seperti ramuan novel kerana hubungan cinta berbeza budaya dan cinta itu direstui oleh kedua-dua belah keluarga.

Seperti sebuah puisi cinta, Hujan Bulan Juni menghidangkan pasang surut perhubungan dan bukan sebenarnya kisah percintaan. Justeru, seperti disebutkan seawal tadi, Hujan Bulan Juni lebih molek dikekalkan sebagai puisi.

Perlu diakui tindakan memilih tajuk Hujan Bulan Juni, iaitu judul yang sama untuk kumpulan puisi Sapardi, yang terbit pada tahun 1994 sangat mempengaruhi pembaca.

Mungkin ramai yang tertarik untuk memiliki naskhah ini gara-gara populariti dalam kumpulan puisi Hujan Bulan Juni yang sangat memukau.

Namun dari sudut lain, bagi peminat tegar Sapardi, novel ini sewajibnya dimiliki. Bukan sekadar untuk mencukupkan koleksi karya Sapardi dalam rak tetapi ia juga rakaman perjalanan pengarang yang bermula dengan kumpulan puisi Dukamu Abadi (1969).

Sebagai penyair yang sangat berpengaruh, Hujan Bulan Juni ditutup dengan tiga puisi pendek yang menyentuh hati. Seperti novel ini yang tergantung pada pengakhiran, puisi pendeknya juga menyerahkan kepada pembaca untuk menjawab persoalan hati antara Sarwono dan Pingkan.

Kita tak akan pernah bertemu
Aku dalam dirimu
Tiadakah pilihan
Kecuali di situ?
Kau terpencil dalam diriku.

INFO

Hujan Bulan Juni

  • Penulis: Sapardi Djoko Damono
  • Halaman: 135
  • Penerbit: Gramedia Pustaka Utama

Berita Harian X