Khamis, 8 Oktober 2015 | 12:01am

Rumah penduduk tepi pantai Muar pernah 'ditelan' laut


"RUMAH saya ketika zaman kanak-kanak sudah tidak ada. Ia kini berada di dalam laut," Kata Noor Ahmad Ali, 40, sambil menunjukkan ke arah kira-kira 500 meter di kawasan laut.

Selain rumah Noor Ahmad, balai raya dan taman permainan kanak-kanak, kebun dan kolam ikan milik penduduk juga kini berada dalam laut akibat hakisan pantai yang berlarutan sejak 1980-an lagi.

Noor Ahmad berkata, walaupun tidak dapat mengingati dengan jelas kejadian hakisan pantai di kampungnya itu kerana masih kecil ketika itu, beliau sering diberitahu oleh arwah bapanya, Ali Yusof, mengenai kejadian terbabit yang berlaku sekitar 1980-an.   

"Jika tidak salah, kejadian itu berlaku ketika saya berusia kira-kira lapan tahun. Mengikut cerita arwah bapa, rumah saya dahulu sememangnya terletak di pinggir laut tetapi bukanlah betul-betul di tepi laut.

"Namun, kejadian hakisan laut menghakis sedikit demi sedikit tanah sehingga menyebabkan rumah kami dulu berada di gigi air. Akibatnya, arwah ayah memutuskan untuk berpindah demi keselamatan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui BH di Jeti Nelayan Parit Rabu, Kampung Seri Menanti, di Muar, Johor.

KAJIAN Hakisan Pantai Kebangsaan dari November 1984 hingga Januari 1986 menunjukkan 29 peratus atau 1,380 kilometer (km) daripada 4,809 kilometer garis pantai negara, mengalami hakisan. - Sumber www.water.gov.my
KAJIAN Hakisan Pantai Kebangsaan dari November 1984 hingga Januari 1986 menunjukkan 29 peratus atau 1,380 kilometer (km) daripada 4,809 kilometer garis pantai negara, mengalami hakisan. - Sumber www.water.gov.my

Noor Ahmad bukanlah satu-satunya penduduk di pesisir pantai di Muar, yang berhadapan masalah ini.

Hakisan pantai yang melanda kawasan itu sejak sekian lama menjejaskan kehidupan penduduk khususnya di Kampung Parit Rabu dan Kampung Seri Menanti Laut, di sini.

Bukan sahaja rumah mereka `ditelan' laut, malah pelbagai kemudahan yang dibangunkan juga musnah dan berada di dalam laut.

Bercerita lanjut, Noor Ahmad berkata, keputusan untuk berpindah itu juga disebabkan masalah air pasang besar yang sering melanda kawasan pesisir pantai berkenaan terutama pada musim tengkujuh.

"Arwah bapa saya pernah memberitahu pada waktu itu mereka sering ketakutan. Bayangkanlah, keadaan rumah itu betul-betul di tepi laut dan dapat dengar dengan jelas bunyi ombak.

"Arwah ayah saya kemudiannya berusaha mendapatkan tanah baharu. Alhamdulillah, kami dapat satu lot tanah yang terletak di kampung dan tinggal di situ sehingga hari ini," katanya.

Penduduk asal, Rahmat Senan, 53, berkata beliau masih mengingati rumah terbabit yang dikenali sebagai rumah Pak Ali, yang kini sudah berada kira-kira 500 meter ke dalam laut.

"Mujur juga arwah Pak Ali membuat keputusan berpindah dengan cepat, jika tidak mungkin akan berlaku sesuatu yang tidak diingini berlaku. Hakisan pantai pada masa itu sangat teruk.

KESAN hakisan yang melanda pesisir pantai di Kampung Seri Menanti Laut, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad
KESAN hakisan yang melanda pesisir pantai di Kampung Seri Menanti Laut, Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Hakisan pantai itu juga menyebabkan beberapa kemudahan penduduk seperti balai raya dan taman permainan kanak-kanak rosak. Balai raya itu pun kini sudah tidak ada...lokasinya juga di dalam laut," katanya.

Beliau berkata, hakisan pantai yang berlaku di kawasan itu juga memusnahkan beberapa sektor ekonomi, khususnya dalam bidang ternakan.

Dahulu, terdapat beberapa kolam ternakan udang yang diusahakan oleh pihak swasta, namun ia tidak diteruskan kerana hakisan pantai itu turut merosakkan kolam ternakan terbabit.

Rahmat berkata, tindakan pihak kerajaan membina benteng batu penahan ombak dan menanam pokok bakau bagi menangani hakisan di kawasan itu.

Malangnya, usaha itu dilihat tidak lagi berkesan ketika ini.

Tinjauan BH di Kampung Parit Rabu dan Kampung Seri Menanti Laut mendapati, hakisan pantai tetap berlaku meskipun pelbagai kaedah sudah dilakukan bagi menangani masalah berkenaan.

Benteng konkrit dan batu yang dibina sebelum ini sudah pecah dan ditenggelami pasir, malah, pokok bakau yang ditanam semula oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor didapati tumbang dan mati, sekali gus menyebabkan kawasan itu terus berhadapan masalah hakisan pantai.

Penduduk berharap pihak berwajib mengambil tindakan lebih berkesan dalam usaha menangani masalah hakisan pantai. Ikuti kisah seterusnya, esok.

Berita Harian X