Jumaat, 2 Oktober 2015 | 12:03am

Mr Pink galas tugas berat julang Sang Badak

JUARA Liga Perdana 1996 dan Piala FA, Sabah akhirnya memberi kepercayaan kepada sentuhan jurulatih yang berasal dari Malaya untuk menajamkan kembali tanduk Sang Badak yang tumpul selepas gagal layak ke Piala Malaysia empat tahun berturut-turut.

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) baru-baru ini melantik jurulatih yang paling berjaya dalam Liga M, Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai pengemudi skuad Sang Badak musim depan. Beliau ditawarkan kontrak satu tahun bermula 1 Oktober ini.

Azraai adalah jurulatih pertama dari Semenanjung yang diberi kepercayaan ini dalam sejarah bola sepak Sabah yang sebelum ini banyak menagih khidmat kepakaran jurulatih luar negara selain anak jati mereka sendiri.

Ini adalah langkah positif SAFA dalam usaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka selepas prestasi hambar pada musim ini walaupun berbelanja besar membawa masuk bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) El Hadji Diouf dan Abdulaye Faye.

PENGEMUDI skuad Sang Badak, Mohd Azraai Khor Abdullah. - Foto Mohd Asri Saifudddin Mamat
PENGEMUDI skuad Sang Badak, Mohd Azraai Khor Abdullah. - Foto Mohd Asri Saifudddin Mamat

SAFA sepatutnya menandatangani jurulatih berasal dari Alor Star, Kedah itu tahun lalu, namun penaja utama pasukan Sabah lebih berselera besar dengan memilih Mike Mulvey dari Australia yang terbukti gagal memberi impak seperti yang diharapkan.

Tugas berat menanti bekas jurulatih Kelantan itu apabila rata-rata penyokong Sabah mengharapkan sentuhan Azraai untuk membawa Sabah kembali ke Liga Super 2017. Penyokong Sabah yang masih terluka dengan `harapan palsu' Diouf dan rakan sepasukannya menerima Azraai dengan baik.

Satu senario baharu buat jurulatih berusia 63 tahun itu kerana bukan sahaja menerima lamaran pasukan yang dipisahkan oleh Laut China Selatan jauh dari kampung halamannya tapi juga adalah sebuah pasukan yang sering bermasalah dengan jurulatih, bersaing di Liga Perdana.

Kontroversi saban tahun

AZRAAI terkenal dengan gelaran Mr Pink kerana sering mengenakan baju merah jambu dalam setiap perlawanan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
AZRAAI terkenal dengan gelaran Mr Pink kerana sering mengenakan baju merah jambu dalam setiap perlawanan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Dalam tempoh kontrak yang agak singkat dan pasukan yang pemain importnya sudah ditamatkan kontrak, tugas Azraai agak sukar kerana terpaksa membentuk pasukan yang tidak mempunyai kekuatan mental. Sedikit kelebihan mungkin, beliau mempunyai tempoh tiga bulan untuk mencari pemain yang diidamkan dari Liga Malaysia (Liga M) dan barisan muda Piala Presiden Sabah.

Selain itu, Azraai juga bakal berdepan dengan sebuah persatuan bola sepak yang tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi saban tahun. Namun pengalaman bersama dengan beberapa pasukan yang berkontroversi sebelum ini pasti akan memberi kelebihan buat Azraai.

Apa yang menarik, jurulatih yang mencipta sejarah membimbing Kedah menjadi juara treble pada 2006 dan 2007 itu dikatakan diberi mandat untuk berurusan secara terus dengan Presiden SAFA yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dan tidak melalui telunjuk Jawatankuasa Pengurusan Pasukan atau manamana `orang kuat' SAFA.

Ini sekali gus akan mengelak campur tangan golongan oportunis dalam SAFA mahupun 'tangan ghaib' seperti yang beliau alami bersama dengan pasukan Kelantan. Azraai meletak jawatan selepas bersama dengan The Red Warriors (TRW) hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja.

AZRAAI (kiri) ketika menjadi jurulatih The Red Warriors (TRW). - Foto Fathil Asri
AZRAAI (kiri) ketika menjadi jurulatih The Red Warriors (TRW). - Foto Fathil Asri

Reputasi besar Azraai yang dahulunya dikenali sebagai Khor Sek Leng, sedikit terencat akibat perselisihan pendapat dengan pengurusan pasukan Perak dan T-Team sebelum dilamar oleh TRW. Azraai dilaporkan gagal memberi tumpuan dengan Perak kerana campur tangan pihak pengurusan yang sering mengganggu tugasannya.

Azraai dilamar oleh pasukan T-Team pada tahun 2014, namun gagal memberikan impak dengan set pemain yang bukan pilihan beliau walaupun berjaya sedikit sebanyak mentransformasikan disiplin pemain ke satu tahap yang tinggi.

Terkenal dengan gelaran Mr Pink kerana sering mengenakan baju merah jambu dalam setiap perlawanan, Azraai berjaya memberi Negeri Sembilan kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2011 selepas dipanggil mengganti Wan Jamak Wan Hassan yang kurang menyengat dalam kempen Liga Super.

Amat berkarisma

Kejayaan itu dianggap ajaib oleh sesetengah pihak kerana muncul dalam jangka waktu yang amat singkat bersama pasukan Hoben Jang Hoben. Sebelum itu, Azraai dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membimbing skuad Harimau Muda A di Slovakia pada 2010.

Namun, kejayaan juara berganda diraih bersama pasukan Kedah gagal ditonjolkan bersama pasukan muda negara yang dihantui kontroversi dalaman antara Azraai dan FAM sekali gus menyaksikan beliau `angkat kaki' selepas hilang kepercayaan terhadap FAM dalam mengendali Harimau Muda A.

PEMAIN import Sabah, El Hadji Diouf. - Foto Lano Lan
PEMAIN import Sabah, El Hadji Diouf. - Foto Lano Lan

Penyokong Sabah agak bertuah kerana selain dari memiliki jurulatih yang amat berkarisma, Azraai juga terkenal sebagai seorang jurulatih yang mesra dengan penyokong di setiap pasukan yang dilatihnya. Di samping itu, Azraai juga amat rapat dengan semua Ultras negeri.

Pemain muda sering akan diketengahkan untuk menimba pengalaman dalam skuad utama. Itulah kelebihan yang ada pada Azraai selepas memulakan karier kejurulatihan bersama pasukan Piala Presiden Kedah dari 1991 hingga 2002. Badrol Bakhtiar, Khairil Muhymin, Helmi Eliza dan ramai lagi adalah produk Azraai bukan sahaja untuk pasukan negeri malah negara.

Azraai yang baru-baru ini telah menimba pengalaman di kelab Santos, Brazil dikatakan serasi dengan jurulatih muda Sabah seperti Johnny Dominicus, Burhan Anjui, Julius Ating dan Andrew Majanggim. Itulah Azraai yang diketahui umum sebagai seorang jurulatih yang tidak kedekut ilmu.

Mempunyai ilmu dalam bidang Sains Sukan pasti akan dapat membantu beliau mencari formula terbaik untuk membentuk pasukan Sabah yang mantap. Ini juga berita baik buat pemain berbakat besar tapi sering dibelenggu oleh masalah ke c e deraan iaitu Rozaimi Abdul Rahman.

Tidak syak lagi, percaturan SAFA melantik jurulatih pertama dari Malaya bakal menjadi jawapan kepada pengakhiran rentetan kekecewaan mereka dalam kempen Liga M.

Berita Harian X