Isnin, 14 September 2015 | 12:06am
ADIGURU kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir,71, (tengah) meneliti hasil kerja anak buahnya.- Foto Luqman Hakim Zubir
ADIGURU kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir,71, (tengah) meneliti hasil kerja anak buahnya.- Foto Luqman Hakim Zubir
SEORANG pekerja Tenun Pahang Diraja tekun membuat tenun di bengkel tenun Pulau Keladi, Pekan. - Foto Luqman Hakim Zubir
SEORANG pekerja Tenun Pahang Diraja tekun membuat tenun di bengkel tenun Pulau Keladi, Pekan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bekas penagih diajar buat songket


TIDAK pernah terlintas di minda Kimi (bukan nama sebenar), 34, untuk mempelajari seni halus Tenun Pahang Diraja kerana kehidupannya yang bergelumang dengan najis dadah sejak di bangku sekolah lagi.

  Menyangkakan dirinya sudah tidak mempunyai harapan untuk hidup sebelum menerima rawatan ketagihan dadah menerusi program Drugs Intervention Community (DiC), Kimi adalah antara kumpulan pertama bekas penagih dadah yang diberi peluang belajar di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang.

   Ditemui BH di pusat berkenaan baru-baru ini, Kimi yang berasal dari Temerloh, Pahang, berkata dia gembira kerana diberi peluang kedua untuk menimba pengalaman baru iaitu mempelajari kemahiran menenun sejak satu bulan yang lalu.

  "Saya mahu lupakan kisah hitam saya yang bergelumang dengan dadah sejak zaman persekolahan mencuba menghisap dadah, sekurang-kurangnya sekarang saya ada tujuan untuk hidup dan harapan bila ada kemahiran lain.

BEKAS penagih dadah menjadi pelatih membuat Tenun Pahang Diraja di Kampung Budaya Pulau Keladi. - Foto Luqman Hakim Zubir
BEKAS penagih dadah menjadi pelatih membuat Tenun Pahang Diraja di Kampung Budaya Pulau Keladi. - Foto Luqman Hakim Zubir

  "Mungkin ini boleh mendatangkan punca rezeki selain memperoleh ilmu pengetahuan sebelum saya meninggal dunia tidak kosong...saya mahu berbakti dan berusaha sendiri," katanya yang menjalani rawatan penagihan dadah di premis DiC di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

  Sementara itu, Pengurus Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Fairuz Hafiezal Rosli, berkata program pembelajaran Tenun Pahang Diraja membabitkan bekas penagih dadah itu adalah hasil kerjasama Kraftangan Malaysia dengan DiC.

  "Mereka akan mendapat latihan secara percuma selama dua tahun dan diberikan sijil pengiktirafan kerana menamatkan tempoh pembelajaran, menerusi pemerhatian awal mereka mempunyai potensi untuk maju pada masa depan.

  "Selepas tamat pengajian, kita akan bantu dengan membimbing mereka yang berminat untuk menjalankan perniagaan dalam bidang pembuatan kain dan songket  Tenun Pahang Diraja, kita ada ruang boleh disediakan," katanya.

  Turut mendapat latihan di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam adalah empat anak muda dari masyarakat Orang Asli berasal dari Pos Betau, Lipis, Pahang yang berazam untuk mengubah kehidupan.

  Guru mereka, Fazirahani ibrahim, berkata pada mulanya program berkenaan disertai sembilan anak Orang Asli namun lima daripadanya berhenti atas sebab-sebab peribadi dan ia diteruskan empat rakan mereka.

PROGRAM pembelajaran Tenun Pahang Diraja membabitkan bekas penagih dadah adalah hasil kerjasama Kraftangan Malaysia. - Foto Luqman Hakim Zubir
PROGRAM pembelajaran Tenun Pahang Diraja membabitkan bekas penagih dadah adalah hasil kerjasama Kraftangan Malaysia. - Foto Luqman Hakim Zubir

  "Saya lihat mereka ada potensi dan boleh memasukkan unsur-unsur seni Orang Asli pada corak tenun, kumpulan pertama ini sudah belajar satu semester dan saya harap mereka mampu menghabiskannya," katanya.

  Sementara itu, seorang daripada pelajar Orang Asli, Naera Badu, 21, berkata dia menyertai program itu kerana ingin mengubah kehidupan keluarga yang selama ini bergantung kepada hasil hutan dan bekerja di pasaraya.

  "Ini adalah satu kemahiran baru buat kami dan mungkin boleh diusahakan di kampung supaya lebih ramai Orang Asli dapat dibantu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada cara kehidupan seperti sekarang kalau hendak maju.

  "Memang rindu kampung tetapi belajar lagi penting sekarang ini demi masa depan," katanya yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik.

Berita Harian X