Isnin, 31 Ogos 2015 | 12:07am

Izreen Azminda tak berdendam dengan bekas teman lelaki


PELAKON dan pengacara Izreen Azminda, antara pelakon yang sering dikaitkan dengan beberapa pelakon lelaki. Johan As'ari dan Amar Baharin adalah antara jejaka yang bergelar kekasih kepada ibu tunggal ini.

Namun, kisah percintaan ibu muda berusia 30 tahun ini dengan rakan seperjuangan berkesudahan dengan perpisahan sehingga ada pihak yang mendakwa Izreen berdendam dengan mereka.

"Jangan mereka-reka cerita," tegas pemilik nama sebenar Izreen Azminda Aznam ini.

Menafikan beliau menyimpan dendam dengan `bekas kekasihnya', pemenang ketiga Pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 ini sebaliknya berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus bekerjasama dengan mereka.

IZREEN Azminda. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
IZREEN Azminda. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya baru selesai berlakon di samping Johan As'ari dalam telefilem Wan Embong dan ia adalah projek kedua menggandingkan kami selepas berpisah dahulu.

"Saya juga ada projek bersama Amar Baharin, baru-baru ini, malah saya berlakon drama bawah arahan bekas suami saya tanpa sebarang masalah.

"Jika benar saya berdendam dengan mereka, mana mungkin saya ingin hadap muka dan bekerjasama dengan mereka. Tiada masalah sebenarnya antara kami. Jangan mereka-reka cerita," katanya.

Jelas Izreen, pelakon perlu bersikap profesional dan tidak membawa kisah peribadi ke set penggambaran.

IZREEN pernah menjalin hubungan cinta dengan rakan pelakon, Johan As'ari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
IZREEN pernah menjalin hubungan cinta dengan rakan pelakon, Johan As'ari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Tambah pula, katanya, industri hiburan tidak besar dan lambat laun pasti akan wujud projek yang menggandingkan mereka.

"Pusing-pusing akan jumpa juga. Paling penting adalah masing-masing tidak terbawa-bawa dengan kisah peribadi ke set penggambaran," katanya.

Melihat ke hadapan, graduan Jurusan Kewartawanan Malaysian Institute of Integratif Media (MIIM) itu menegaskan sebagai seorang pelakon, beliau perlu meletakkan soal peribadi ke tepi dan mengutamakan kerjaya dalam segenap segi.

Tambahnya, penting untuk seorang pelakon profesional dan tahu membezakan soal kerjaya dan perkara peribadi.

IZREEN sentiasa menghargai sokongan yang diberikan peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
IZREEN sentiasa menghargai sokongan yang diberikan peminat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan beberapa pelakon baharu untuk menjaga etika dan disiplin serta tidak bersikap mendongak ke langit jika mahu terus kekal dalam industri seni tempatan.

Izreen mengakui, beliau memahami pahit getir bergelar anak seni selepas sedekad menjadi pelakon. Ia membuatkan beliau lebih menghargai sokongan padu yang diberikan peminat tanpa henti dan menjaga etika agar kehadirannya disenangi.

"Kehadiran pendatang baharu yang berbakat timbul bagai cendawan selepas hujan. Namun, ada antara mereka yang tidak mengambil berat aspek perangai, disiplin dan hubungan baik dengan artis yang lebih 'senior' daripada mereka.

"Sebagai pelakon baharu, itu antara aspek penting yang perlu diambil perhatian. Seharusnya mereka perlu menghormati pelakon lama yang jauh lebih berpengalaman terutama mengenai cara lakonan yang betul untuk meningkatkan mutu lakonan.

IZREEN mula dikenali menerusi drama Eksperimen Cinta. - Foto Rohanis Shukri
IZREEN mula dikenali menerusi drama Eksperimen Cinta. - Foto Rohanis Shukri

"Saya memberi teguran ini bukannya kerana saya membenci mereka tetapi saya sayang dengan bakat yang ada pada seseorang itu. Mereka mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan. Ada yang berbakat, namun dibayangi dengan sikap mereka yang bermasalah.

"Saya mula dari bawah, jadi kepada pendatang baharu yang menjadi popular dengan sekelip mata, janganlah mudah lupa diri. Jangan bersifat 'kekwat' dan keras kepala kerana dunia ini ibarat roda, kita tidak selamanya berada di atas," tegas pelakon yang popular menerusi drama Eksperimen Cinta ini.

Berita Harian X