Isnin, 24 Ogos 2015 | 12:02am

Seni bantu hadapi Islamofobia


KEPELBAGAIAN budaya, identiti dan latar belakang pelukis bukan saja mempengaruhi karyanya, bahkan membantu masyarakat melihat dunia dalam konteks sejagat, sekali gus memadam salah tanggapan atau isu sensitif berkaitan agama, politik mahupun sosial yang sengaja diperbesarkan.

Justeru, Program Residensi Artis Malaysia-Australia hasil kerjasama dua hala Galeri Petronas dengan Muzium Islam Australia membabitkan pelukis Australia, Abdul Rahman Abdullah dan pelukis tanah air, Badrolhisham Mohamad Tahir selama dua minggu membina persamaan di sebalik pelbagai perbezaan.

Abdul Rahman yang mempunyai darah campuran Melayu ketika ditemui Sastera BH di Galeri Petronas, KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, kunjungannya ke negara ini bermula 1 hingga 16 Ogos lalu ialah peluang cukup berharga terutama menggali susur galur keluarganya dan warisan budaya yang unik.

"Ibu saya ialah anak kampung dari Linggi, Negeri Sembilan dan berkahwin dengan bapa yang berasal dari Australia, sebelum berhijrah meninggalkan Malaysia.

DATUK Sieh Kok Chi - Foto Osman Adnan
DATUK Sieh Kok Chi - Foto Osman Adnan

"Sejak lahir sehingga kini, saya hanya beberapa kali saja pulang untuk melawat saudara-mara ibu di negara ini, sekali gus tidak banyak perkara yang diketahui mengenai keunikan warisan dan budaya masyarakat di sini.

"Jadi peluang ini saya lihat sebagai perjalanan intelektual daripada sisi pelukis profesional untuk mengkaji kepelbagaian warisan yang boleh diangkat dan dijadikan sumber inspirasi menghasilkan karya baharu," katanya.

Abdul Rahman yang mengakui lebih sinonim dengan arca berkata, bergerak sebagai artis beragama Islam di Eropah tidak semudah yang disangka kerana pandangan skeptikal sebahagian masyarakat terutama disebabkan Islamofobia.

"Nama dengan bunyi Arab, agama dan wajah campuran Melayu-Australia sudah cukup menarik perhatian masyarakat di sana, bahkan ada segelintir yang seolah-olah melihat kehadiran saya sebagai ancaman.

ANTARA karya pelukis Australia, Abdul Rahman Abdullah. - Foto NSTP
ANTARA karya pelukis Australia, Abdul Rahman Abdullah. - Foto NSTP

"Bagaimanapun, ia tidak menghalang saya untuk menunjukkan identiti sebagai pelukis Muslim dan menampilkannya dalam karya yang dipersembahkan pada pelbagai pameran seni di Australia serta semakin diterima oleh peminat seni.

"Umpamanya, ada arca dihasilkan dengan menggunakan kambing sebagai subjek yang menjadi simbolik kepada perintah Islam mengenai proses penyembelihan untuk membolehkan ia halal dimakan, selain instalasi abjad jawi, iaitu alif ba ta yang mengimbas memori belajar mengaji ketika di zaman kanak-kanak," katanya.

Beliau yang juga generasi ketujuh keturunan campuran Australia dan Melayu Bugis juga pernah tampil dengan pameran solo bertemakan kehidupannya daripada sisi Islam, Melayu dan Australia bertajuk Magrib di Galeri Venn, Perth pada 2013 yang mendapat perhatian komuniti masyarakat di negara itu.

Abdul Rahman yang berpeluang melakukan siri lawatan ke galeri seni awam dan swasta termasuk Balai Seni Visual Negara (BSVN), muzium serta universiti yang menawarkan kursus seni halus berkata, banyak idea baharu dikutip yang boleh digunakan dalam menghasilkan karya baharu.

HASIL karya pelukis Australia, Abdul Rahman Abdullah. - Foto NSTP
HASIL karya pelukis Australia, Abdul Rahman Abdullah. - Foto NSTP

"Malaysia amat penting sebagai sumber inspirasi dan banyak perkara baharu yang boleh digali sebagai pelukis, apatah lagi ia sebahagian daripada diri saya, walaupun tidak mempunyai peluang panjang untuk mengenali dengan lebih dekat susur-galur keluarga Melayu di sini.

"Sepanjang berada di negara ini, saya melihat naratif lebih luas terutama seni warisan yang terhasil daripada pelbagai budaya untuk digabungkan dengan persekitaran dan cara hidup masyarakat di Australia," katanya yang turut tercalon sebagai finalis dalam banyak anugerah seni di Australia termasuk Hadiah Seni Bankwest, Anugerah Fishers Ghost dan Hadiah Wynne.

Sementara itu, Badrolhisham yang berpeluang mengikuti program sama di Muzium Islam Australia pada 1 hingga 14 Jun lalu berkata, banyak pengalaman baharu dikutip terutama ruang untuk bersama dengan komuniti Islam di Melbourne.

"Banyak tempat yang dilawati sepanjang 14 hari di Melbourne termasuk dibawa ke Grimwade Centre di Universiti Melbourne untuk melihat bagaimana konservasi hasil seni dilakukan, selain ditemubual oleh media di sana yang ingin tahu lebih lanjut mengenai budaya dan kepercayaan Islam serta kontroversi Islamofobia.

PELUKIS tanah air, Badrolhisham Mohamad Tahir. - Foto Aziah Azmee
PELUKIS tanah air, Badrolhisham Mohamad Tahir. - Foto Aziah Azmee

"Platform ini amat baik kerana selain menggalakkan pertukaran seni, ia juga menjadi medan untuk memupuk kefahaman terutama mereka yang tidak memahami Islam dan inginkan penjelasan lanjut.

"Saya yang mempunyai kepakaran dalam seni kaligrafi turut melakukan demonstrasi seni Islam itu yang ternyata mendapat sambutan positif daripada masyarakat di Australia," katanya.

Mengenai program residensi, Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim, berkata program itu menjadi pemangkin dalam memperkaya kebudayaan dan seni untuk dihayati oleh masyarakat di dalam serta luar negara.

"Ada yang mempertikaikan Galeri Petronas membawa pelukis luar masuk ke dalam negara tetapi program sebegini sebenarnya amat penting kerana cuba membawa pengkarya dengan profil menarik seperti Abdul Rahman yang dibesarkan dengan suasana berbeza sebagai Muslim di Australia.

"Kita ingin melihat bentuk pemikirannya dan bagaimana ia menjadi inspirasi untuk menghasilkan karya yang sarat interpretasi budaya untuk diketengahkan kepada masyarakat.

"Kami juga ingin menjadi galeri kontemporari yang peka terhadap isu semasa dan membantu mengangkat hal penting untuk dibincangkan dalam wacana seperti Islamofobia yang menekan umat Islam dan mengelirukan masyarakat bukan Islam," katanya.

PENGARAH Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim. - Foto Aziah Azmee
PENGARAH Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim. - Foto Aziah Azmee

Berita Harian X