Ahad, 16 Ogos 2015 | 12:09am

Parti, penderma dana politik tak boleh lagi berselindung


KETIKA banyak pihak mahukan semua parti politik, termasuk Barisan Nasional (BN) dan pembangkang lebih telus dalam menguruskan dana politik, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin, mengumumkan pelan tindakan politik berintegriti melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) sebagai langkah pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang.

Persoalannya, adakah pihak yang sering melaungkan demokrasi total akan sanggup bekerjasama menjayakan cadangan itu atau sekadar gimik politik apabila kerap mempersoalkan dana politik lawan.

Bagaimana pula dengan penderma yang selama ini cuma bersembunyi di sebalik tabir dan sanggupkah mereka tampil mendedahkan sumbangan kepada umum.

Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan pandangan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dan EXCO Pemuda UMNO, Mohd Ar-Rahman Hussin mengenai mekanisme cadangan serta impaknya jika ia dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak

NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. - Foto NSTP
NAIB Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak. - Foto NSTP

S: Penubuhan JKNMPP dilihat sebagai tindak balas segera mengenai isu pembiayaan dana politik. Apa komen Prof?

J: Penubuhan jawatankuasa ini satu cadangan yang baik. Ia sepatutnya jawatankuasa yang boleh mewakili semua parti politik kerana jika ia diwakili parti tertentu saja atau bukan semua parti menyertai jawatankuasa ini, maka ia tidak akan jadi jawatankuasa konsultatif yang merangkumi semua pihak. Pertamanya, apa penting semua parti terbabit. Keduanya, ia mesti datangnya daripada mereka yang ada kredibiliti dan diyakini boleh membuat satu cadangan, usul yang bermakna dan berkesan kepada kerajaan supaya ia boleh diangkat sebagai usul dan dibincangkan di Dewan Rakyat. Komposisi jawatankuasa itu penting. Cadangan itu boleh digubal oleh kerajaan atau pejabat peguam negara sebagai rang undang-undang kerana jika ia sekadar cadangan dan tidak dikanunkan sebagai rang undang-undang dan tidak diluluskan di Parlimen, maka tidak boleh dikuatkuasakan. Tentunya perkara ini akan mengambil masa kerana urusan nak menggubal undang-undang bukan perkara mudah. Jika nak digubal, mestilah dapat persetujuan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang. Inilah yang pasti menimbulkan kesukaran kerana bukan semua parti politik akan bersetuju dalam semua perkara. Cadangan mesti diangkat dan sudah tiba masanya Malaysia mempunyai peraturan dan undang-undang yang khusus mengenai sumbangan politik supaya kita dapat mengelak daripada perkara yang boleh membawa keadaan politik kita dipenuhi unsur rasuah dan sebagainya.

S: Jawatankuasa itu diberikan tempoh setahun untuk mencari input terbaik. Adakah ia sempat dilaksanakan ketika PRU-14 nanti?

J: Jika ada tempoh masa ditetapkan, ia boleh dilaksanakan. Ia memerlukan satu sistem di mana semua pendapat umum diambil kira, dirujuk, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan, pakar dan sebagainya sebelum dijadikan usul. Kemudian, barulah ia dikanunkan sebagai undang-undang. Tempoh setahun kajian dan dibawa ke Parlimen, saya yakin ia sempat dilaksanakan sebelum PRU-14. Ini sangat penting untuk mengelak tohmahan, tanggapan serong terhadap sistem demokrasi di Malaysia khasnya mengenai dana politik. Di Amerika Syarikat (AS), ia sudah lama diamalkan. Hakikatnya, dalam sistem kehidupan politik moden hari ini, kerja menguruskan pilihan raya, parti atau proses demokrasi, semuanya perlukan dana besar, terutama jika nak bertanding di peringkat nasional yang mempunyai kawasan luas. Perbelanjaan mengurus sangat besar. Lihat saja berapa banyak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbelanja untuk menguruskan pilihan raya walaupun mereka tidak terbabit dalam kempen atau calon. Itu sudah membabitkan beratus juta. Jadi, parti yang bertanding tentunya perlukan dana lebih besar dan dana perlu dicari tanpa mengira daripada mana datangnya sumber berkenaan. Mungkin sumber perniagaan atau sesuatu parti itu sendiri sudah ada dana yang cukup.

S: Jadi, Prof bersetuju jika jumlah derma diumumkan secara terbuka?

J: Ya, secara prinsipnya saya bersetuju, cuma pelaksanaannya mungkin akan timbul masalah. Sewajarnya ia diumumkan, siapa bagi apa, kepada siapa, banyak mana. Itu penting kerana sumbangan untuk parti politik boleh didedahkan dan rakyat tahu berapa banyak sumbangan yang mereka terima. Akaun mesti diaudit dan ini boleh mengelakkan salah guna serta tohmahan.

S: Adakah penderma itu sendiri sanggup tampil ke depan untuk mengumumkan sumbangan mereka?

J: Itulah masalahnya. Apakah kita sudah sampai ke tahap penderma bersedia mendedahkan identiti mereka. Inilah yang akan menimbulkan masalah kerana ramai yang sanggup menderma tetapi mungkin tidak sanggup dedahkan identiti. Tak kiralah kepada siapa mereka menderma. Kadang-kala, kita pun tak tahu, ada penderma yang menyokong kedua-dua pihak supaya mereka kekal di kedudukan selamat. Mereka tidak pasti siapa yang akan menang, jadi untuk pastikan mereka selamat, mereka akan menderma kepada kedua-dua pihak. Cuma jumlahnya mungkin berbeza. Saya percaya, bukan semua penderma mahu identiti mereka didedahkan.

S: Tetapi jika cadangan itu dijadikan undang-undang, mereka perlu patuh?

J: Ya, jika mahu derma, mereka tiada pilihan, mesti terima syarat ditetapkan undang-undang iaitu identiti mereka akan didedahkan. Persoalannya, adakah dasar ini akan mengehadkan jumlah penderma kerana mereka yang tidak suka didedahkan identiti tentunya keberatan untuk melalui proses ini, sekali gus mungkin menjejaskan jumlah derma. Asasnya, mesti ada ketelusan. Persoalan utama ialah ada derma yang tidak didedahkan sekali gus menjurus kepada salah guna. Jika wujud undang-undang khas, perkara seperti ini akan dapat dielakkan. Parti politik yang tidak menamakan penderma akan dianggap kesalahan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low (kiri) dan dan timbalannya Datuk Seri Idris Jala (kanan) ketika sidang media di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low (kiri) dan dan timbalannya Datuk Seri Idris Jala (kanan) ketika sidang media di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

S: Adakah derma atau sumbangan itu merujuk kepada aspek kewangan saja, bagaimana dengan sumbangan lain?

J: Ia boleh merujuk pada apa saja sumbangan berbentuk kewangan. Contohnya termasuklah perkhidmatan kapal terbang, bot atau apa saja kemudahan yang sepatutnya dikenakan bayaran tetapi dikecualikan sewa kepada parti tertentu. Ia mesti merangkumi derma kewangan dan bukan kewangan. Ia mesti direkodkan dan siapa yang menderma mesti didedahkan untuk mengelak tohmahan dan spekulasi. Akhirnya, parti politik tidak akan mempertikaikan semua isu itu. Tetapi apabila perkara ini tidak dijadikan sah mengikut undang-undang, maka akan timbul tuduh menuduh. Kita perlu dapatkan kata putus, apakah perlu ada had sumbangan atau tidak. Dengan cara itu, kita akan dapat kawal. Jika tiada batasan dan kawalan, ia akan menimbulkan masalah. Ada yang cadangkan mungkin tidak perlu ditetapkan had.

S: Mungkin derma boleh disalurkan untuk tempoh tertentu saja atau sepanjang masa bagi memudahkan kawalan?

J: Jika boleh, buat dalam bentuk laporan tahunan - sama macam organisasi atau syarikat yang menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Syarikat (ROS). Mereka kena hantar sekali dengan laporan kewangan yang diaudit peringkat dalaman dan audit luar bertauliah. Pengaudit bertauliah tidak akan dipertikaikan kerana mereka tidak akan menipu demi menjaga kredibiliti dan risiko lesen mereka ditarik balik jika melakukan kesalahan. Kalau nak hantar setiap bulan, ia terlalu sukar.

S: Sebelum ini, kerap timbul persepsi sumbangan itu dianggap rasuah kerana penderma mengharapkan imbuhan kepada parti yang disokong?

J: Tentunya pihak yang menderma ada sebab tersendiri kerana mereka menderma. Mungkin mereka suka pihak tertentu kerana suka dengan dasar, kepemimpinan, manifesto dan sebagainya. Ada sesetengah syarikat tidak setuju dengan dasar yang ditawarkan dan mereka boleh buat pilihan. Di AS sendiri, sesebuah syarikat penderma itu sentiasa berubah-ubah dan tidak kekal kepada satu parti jika mereka tidak setuju dengan dasar yang dilaksanakan. Ia bergantung kepada situasi tertentu. Sebab itulah, cara berkempen sangat penting kepada parti di AS kerana jika menerima dana yang besar, secara tidak langsung menunjukkan parti mereka mendapat sokongan ramai dan popular.

S: Berdasarkan senario politik di Malaysia, adakah Prof yakin cadangan itu akan menjadi realiti?

J: Cadangan ini bukan begitu mudah. Nak dapatkan konsensus pun bukan senang. Tentu ada perbezaan antara parti. Kena lihat reaksi semua pihak, apakah akhirnya nanti jawatankuasa ini akan dapat diwujudkan. Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai satu undang-undang khas berkaitan pembiayaan dana politik. Ia dapat mengelak salah tanggapan dan parti politik lebih telus. Semua pihak tidak mahu berselindung. Kita tahu semua parti politik perlukan pembiayaan, termasuk pembangkang. Disebabkan tiada undang-undang khas, semua derma itu disalurkan secara senyap-senyap, rakyat tidak tahu siapa yang membiayai mereka. Tidak adil kita membuat tohmahan kepada sesuatu pihak saja sedangkan pihak lain terlepas. Hanya melalui cara ini, semuanya akan lebih telus dan semua pihak boleh menilai sendiri apa yang berlaku.

Mohd Ar-Rahman Hussin

EXCO Pemuda UMNO, Mohd Ar-Rahman Hussin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
EXCO Pemuda UMNO, Mohd Ar-Rahman Hussin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

S: Dana atau derma politik menjadi topik perbualan hangat ketika ini. Timbul pelbagai persepsi mengenainya. Apa pandangan saudara dalam hal ini?

J: Isu dana politik ini perlu dilihat dalam skop yang meluas. Ia bukan sekadar menyentuh isu politik dan wang, tetapi menyentuh juga aspek keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi politik. Hari ini, rakyat seperti salah faham dengan konsep dana politik. Ada yang menyangka jika sebut sahaja dana politik, parti perlu mengisytiharkan duit parti dan sumber dana diperoleh sepanjang masa. Sebenarnya, dalam isu ini, ia hanya menyentuh soal perbelanjaan parti apabila menghadapi pilihan raya. Bukan jumlah dana diterima dan berapa banyak digunakan untuk membiayai perjalanan parti dalam ruang politik.

S: Ada pihak mendakwa dana politik ini satu bentuk rasuah. Apa komen saudara?

J: Saya berpendapat, sudah sampai masa satu peraturan atau undang-undang yang dapat mengawal selia dana politik ini diwujudkan bagi menangani persepsi ini. Kita harus berani dan jujur dalam isu ini supaya institusi politik dilihat boleh dipercayai rakyat. Mungkin kita boleh ambil contoh di AS. Negara itu mempunyai Akta Kempen Pilihan Raya Persekutuan (FECA) 1971, yang memiliki undang-undang khusus mengawal selia dana politik. Sebagai contoh, akta itu meletakkan had tertentu kepada individu untuk menderma kepada calon dan kepada parti. Ini adalah antara model yang boleh kita kaji. Atau, mungkin kita boleh kaji sistem kempen 'crowd sourcing' diamalkan Presiden Barrack Obama. Menerusi sistem itu, Obama sangat berjaya menarik banyak derma daripada orang awam. Selain itu, AS juga ada Akta Pembaharuan Kempen Dua Parti 2002 (BCRA). Akta ini melarang syarikat atau kesatuan untuk menderma secara terus kepada parti dan diwujudkan bagi mengelak seseorang calon dikawal mana-mana kesatuan atau perbadanan. Dalam konteks Malaysia, ini boleh digunakan sebagai asas mewujudkan akta kawal selia dana politik supaya wakil rakyat kita tidak dikawal pihak berkepentingan.

MOHD Ar- Rahman Hussein menyokong Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dijadikan asas untuk mengawal selia dana politik. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MOHD Ar- Rahman Hussein menyokong Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dijadikan asas untuk mengawal selia dana politik. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

S: Negara sudah mempunyai Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Adakah saudara mencadangkan satu akta baru diwujudkan atau ditambah baik sahaja akta sedia ada ini untuk menangani isu membabitkan dana politik ini?

J: Saya menyokong akta yang ada ini dijadikan asas untuk mengawal selia dana politik tetapi ia perlu ditambah baik kerana apa yang penting ialah kita mahu lihat akta ini dapat menjaga integriti parti dan calon. Namun, mungkin perkara ini tidak disenangi pihak tertentu atas beberapa sebab seperti tidak mahu identiti penderma didedahkan sehingga dilihat lebih erat dengan parti politik tertentu. Ini perkara sensitif yang perlu diperhalusi. Sementara itu, akta yang ada ini mungkin berlaga antara satu sama lain, justeru, jika ada kelemahan dan kekurangan, kita boleh tambah baik atau pinda. Apa yang penting, apa juga undang-undang yang diguna pakai itu diterima rakyat. Saya juga percaya jika wujud akta yang lebih mengikat, ia akan menutup ruang dan peluang kepada golongan tertentu yang cuba memporak-porandakan sistem yang diamalkan.

S: Tidakkah ini akan mewujudkan masalah kepada parti dan rakyat nanti?

J: Ya, sudah pasti ia akan wujud masalah atau kekangan. Pertama, adakah rakyat sudah cukup matang untuk menerimanya. Kita sering berharap supaya pemimpin bersikap jujur, tetapi bolehkah pengundi atau rakyat juga jujur dan telus. Adakah rakyat sudah boleh terima yang mereka perlu mengisytiharkan dana politik yang mereka salurkan kepada parti tertentu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kedua, mungkin akta itu akan menyukarkan parti untuk menjalankan aktivitinya. Tetapi yang lebih penting, kita perlu melihat kepentingan akta itu dapat membantu memastikan rakyat terus percaya terhadap institusi politik. Mungkin dengan ada akta itu nanti, ia akan mengurangkan politik wang kerana semua orang tahu siapa yang memberi. Secara tidak langsung ia dapat memandu wakil rakyat untuk menjadi lebih bertanggungjawab kepada rakyat. Tidak mustahil juga akta ini akan menghapuskan persepsi serong rakyat terhadap sistem politik kita. Besar kemungkinan kewujudan akta ini akan membantu menyelesaikan konflik di peringkat dalaman parti.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sidang media penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

S: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan yang kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP). Apa pandangan saudara?

J: Saya percaya walau apa pun usaha dan iltizam yang kita rancang serta ingin laksanakan dalam isu dana politik ini, ia harus tertumpu ke arah menjadikan pilihan raya yang lebih telus dan bebas. Pilihan raya adalah instrumen penting bagi menentukan parti mana layak menjadi pemerintah. Ia perlu telus dan bebas. Sebagai rakyat dan pengundi, kita mesti hendak tahu dari mana calon itu mendapat dana dan siapa membiayai dirinya atau parti diwakili. Ini penting kerana kita tidak mahu wakil rakyat yang terpilih ini terikat dengan pembiaya sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

S: Dalam isu dana politik ini, pembangkang dilihat tidak senada dengan cadangan supaya semua parti mengisytiharkan dana yang mereka peroleh. Apa komen saudara?

J: Saya percaya ini semua mainan politik pembangkang. Mereka tidak ikhlas untuk menerima cadangan ini. Ketika calon Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam pilihan raya, calon pembangkang tidak melakukannya. Saya fikir pembangkang mengamalkan pendekatan populis. Kalau betul-betul ikhlas, mengapa tidak menyokong cadangan kerajaan sebelum ini.

S: Apa harapan Pemuda UMNO dalam isu dana politik ini?

J: Kami optimis yang peraturan kesalahan pilihan raya berkaitan isu ini dapat ditambah baik. Saya percaya perkara ini akan membantu wakil rakyat dan ahli politik untuk lebih berintegriti serta memastikan wakil rakyat tidak dipengaruhi anasir yang tidak sepatutnya. Kita kena lihat realiti politik negara hari ini, yang mana rakyat kita mudah mendapat maklumat kerana kadar penembusan Internet di negara kita sudah hampir 75 peratus. Mereka mahu melihat sistem politik yang lebih telus dan bebas. Justeru, wajar peraturan yang dapat mengawal selia dana politik ini diadakan untuk mengelak persepsi negatif rakyat kepada sistem yang ada ini.

Berita Harian X