Khamis, 30 Julai 2015 | 12:09am

Shanghai dari sudut pandang Cina Malaysia

NOVEL Hujan Bulan Juni hasil penulisan Sapardi Djoko Damono.
NOVEL Hujan Bulan Juni hasil penulisan Sapardi Djoko Damono.

JIKA anda biasa membaca rakaman nostalgia penulis kelahiran China yang berhijrah ke Barat mengenai negara kelahiran mereka, Five Star Billionaire membawa kisah yang hampir serupa, tetapi dari sudut pandang yang terbalik.

Tash Aw, pengarang kelahiran Taiwan yang dibesarkan di Malaysia ini membawa kisah lima anak Malaysia berbangsa Cina menuju ke Shanghai untuk mengubah nasib, mencari cinta dan tentu sahaja kekayaan.

Selami dunia orang Cina

Naskhah setebal 437 halaman ini membawa pembaca menyelami dunia orang Cina dan bagaimana mereka melihat Shanghai sesudah China membuka pintunya kepada dunia atau mungkin dalam konteks novel ini sebagai orang Cina Seberang Laut.

Tidak dinafikan, tarikan terkuat terhadap novel ini kerana ia pernah berada dalam senarai panjang Hadiah Man Booker 2013, selain faktor pengarang itu sendiri.

Meskipun beliau senang dikenali sebagai pengarang berasal dari Malaysia, tetapi naskhah ini tidaklah terlalu bersifat 'Malaysiana' jika mahu dibandingkan dengan karya novelis kelahiran Pulau Pinang, Tan Twan Eng.

Five Star Billionaire membawa kisah yang mudah, tetapi dibina dengan gaya segar, ia mengumpulkan kisah Phoebe, gadis muda dari utara Malaysia yang pergi ke Shanghai untuk mencari kekayaan dan cinta; Justin, yang sepatutnya mewarisi kekayaan keluarga, tetapi impian itu berkecai selepas perniagaan keluarganya gagal; Yinghui seorang usahawan dan Gary bintang pop remaja Taiwan yang berasal daripada keluarga miskin di Malaysia.

Motivasi kekayaan

Semua watak dimotivasikan dengan kekayaan yang menyaksikan mereka dikaitkan dengan satu watak yang sama, Walter Chao, yang memberi panduan untuk mengumpulkan kekayaan.

Desakan untuk kaya terlihat pada watak Phoebe yang sanggup menjadi hipokrit untuk mencari lelaki kaya sebagai suami. Namun, Phoebe pastinya bukan seorang.

Lima watak dalam sebuah novel mungkin sedikit semak untuk ditangani, tetapi gaya bercerita yang bijak menjadikan naskhah ini mampu menarik pembaca hingga ke akhirnya.

Aw ternyata seorang pencerita yang berbakat dan sesuatu yang nyata, setiap penulis pasti membawa masa silamnya ke dalam karya dan Aw adalah seorang daripadanya.

Five Star Billionaire

  • Pengarang: Tash Aw
  • Penerbit: Fourth Estate
  • Halaman: 437
  • Penilaian: ***

PROFIL

  • Tash Aw atau nama penuhnya Aw Ta Shi adalah pengarang Malaysia yang menetap di London.
  • Mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang Jesus College Cambridge dan Universiti Warwick.
  • Beliau menghasilkan novel pertamanya The Harmony Silk pada tahun 2005 yang memenangi Anugerah Novel Pertama Whitbread pada tahun yang sama.
  • Novel keduanya, Map of the Invisible World diterbitkan pada Mei 2009.

LARIS DI PASARAN

  • MPH 5 -11 Jun 2015

Bukan Cereka

  • DIAgnosis 2 (Dr Anwar Fazal, Dr Azzah, Dr Fatin Liyana, Dr Beni Rusani, Dr Mafeitz and Dr Mahyuddin)
  • DIAgnosis (Dr Anwar Fazal, Dr Aizzat dan Dr Azzah)
  • Catatan Matluthfi (Matluthfi)
  • DIAgnosis2: Prognosis (Dr Jacknaim)
  • Membongkar Rahsia Dunia Melayu Pribumi Asia Tenggara (Srikandi Al-Semantani Ibnu Rusydi)

Cereka

  • Dia...Isteri Luar Biasa (Umie Nadzimah)
  • Gelap (Ariff Adly)
  • M.A.I.D (Suri Ryana)
  • Jangan Baca Novel Ni (Ismi Fa Ismail)
  • Andai Itu Takdirnya 2 (Siti Rosmizah)

Sumber: MPH Midvalley Megamall, www.mphonline.com

POPULAR 8 -14 Jun 2015

Bukan Cereka

  • Resipi Pengikat Kasih Keluarga (Chef Fazalina Ismail)
  • Tarbiah sentap (Adnin Roslan)
  • Saiful Nang:Kisah Orang Menang (Saiful Nang)
  • 101 Resipi Pengikat Kasih Mertua (Chef Noorzailina Nordin)
  • Bro : Balik Sekolah (Ernest Ng)

Cereka

  • Andai Itu Takdirnya 2 (Siti Rosmizah)
  • Kimchi Untuk Awak (Suri Ryana)
  • M.A.I.D (Suri Ryana)
  • Dia... Isteri Luar Biasa (Umie Nadzimah)
  • Chandelier (Acik Lana)

Sumber: Popular Book Co Sdn Bhd, www.popular.com.my

Penilaian Dunia Buku:

  • * Teruk
  • ** Cuba baca dulu
  • *** Tak rugi baca
  • **** Patut baca
  • ***** Rugi tak baca
  • ***** Rugi tak baca

Berita Harian X