Isnin, 13 Julai 2015 | 12:04am

Izreen tak kisah beraya tanpa suami


KUALA LUMPUR: Tahun kedua bakal meraikan lebaran yang akan kunjung tiba dengan status ibu tunggal atau lebih tepat tanpa insan bernama suami tidak langsung membuatkan pelakon dan pengacara Izreen Azminda bermuram durja serta meratapi nasib yang sudah tertulis.

Malah ibu tunggal berhati waja dan kental ini dilihat semakin bahagia melayari bahtera kehidupan.

Malah pertemuan dengan ibu kepada Adrian Umar Sabtu lalu di majlis berbuka puasa anjurannya bersama meraikan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur dan kelab peminat, Izreen Azminda FC di Hotel Silka, Cheras, pengacara Mahligai Cinta di TV3 itu jelas begitu ceria.

Seolah-olah beliau tidak pernah langsung ditimpa duka dan kesedihan gara-gara kisah peribadi yang bahagianya hanya seketika.

Kepada BH PLUS, Izreen berkongsi kamar hatinya.

"Perasaan sama sahaja seperti tahun lalu dan saya reda dengan takdir yang bahagia itu belum menjadi milik mutlak lagi. Saya tidak mahu terus mengenang memori lalu. Biarlah ia tersimpan rapi dalam lipatan sejarah.

"Cukup saya cakap kini diri ini sangat bahagia dan gembira. Saya ada anak dan keluarga di belakang. Malah kini selain anak, ibu dan adik saya juga tinggal sekali di rumah.

"Alhamdulillah rezeki saya juga bertambah dan murah. Rezeki anak juga. Ikutkan tak ada sebab tertentu pun kenapa orang lihat saya semakin bahagia. Mungkin juga kerjaya saya berjalan dengan lancar tahun ini. Saya memang sangat bahagia... sangat bahagia. Kehidupan saya kini sangat positif sekalipun ada isu negatif dan perkara yang tak enak singgah dalam diri," katanya.

IZREEN tidak berputus asa untuk mengenali insan bernama kekasih yang boleh dijadikan bakal suami. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
IZREEN tidak berputus asa untuk mengenali insan bernama kekasih yang boleh dijadikan bakal suami. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Benar pertemuan dengannya tempoh hari menimbulkan tanda tanya apakah ia didorong dengan diri beliau yang sedang melayari fasa percintaan dengan seseorang. Gembiranya memang lain macam namun Izreen menafikan ia ada kaitan dengan kamar hatinya yang sudah terisi selepas beberapa siri kekecewaan melanda.

"Oh tidak...tak benar sama sekali kalau ada yang menyifatkan kebahagiaan dan kegembiraan maksimum ini kerana kehadiran seorang lelaki. Tapi saya boleh tegaskan kerana tidak ada lelakilah kehidupan saya cukup indah kini. Tapi itu tak bererti saya sudah berputus asa untuk mengenali insan bernama kekasih yang boleh dijadikan bakal suami.

"Memang saya tak pernah putus asa dengan dugaan dan ujian yang bertandang. Apa yang dilalui mengajar saya jadi lebih matang. Cuma saat ini, saya belum jumpa mana-mana lelaki yang sesuai.

"Saya sekarang selesa bekerja keras. Saya nak cari duit untuk anak dan sara keluarga. Tapi kalau sekalipun hadir insan bernama kekasih dalam masa terdekat, saya anggap ia bonus," katanya.

IZREEN akan mengadakan rumah terbuka serentak dengan hari lahir anaknya dan majlis akikah selepas Aidilfitri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
IZREEN akan mengadakan rumah terbuka serentak dengan hari lahir anaknya dan majlis akikah selepas Aidilfitri. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2013 itu kini selesa mengalih perhatiannya terhadap kerjaya lakonan dan pengacaraan. Duta kempen Syukur Selalu di TV3 dan TV9 itu memanjat kesyukuran kerana tawaran berlakon termasuk komitmennya sebagai pengacara Mahligai Cinta terus mengukuhkan portfolio seninya.

Drama Eksprimen Cinta terbitan Zeel Production di TV3 bergandingan dengan Fahrin Ahmad juga sedang rancak disiarkan ketika ini. Pendek kata banyak juga tawaran dan wajahnya ke udara di TV3.

"Tak timbul cerita saya asyik muncul di TV3 sahaja. Mungkin juga semua terjadi secara kebetulan. Tapi saya anggap ini rezeki. Apa pun terima kasih kepada TV3 dan TV9 atas tawaran yang diberikan.

"Namun pada masa yang sama, saya juga ada berlakon dengan stesen TV lain. Raya ini juga ada tiga buah telefilem raya akan bersiaran di TV3 iaitu Jodohke Uols, Bukan Wanita Sempurna dan Homestay Raya selain Laki Aku Drakula di TV9," katanya.

Tahun ini, Izreen memberitahu dia hanya cuti seminggu untuk pulang beraya di Jitra, Kedah.

"Tahun ini rumah terbuka memang tak dirancang untuk diadakan di Kedah. Insya-Allah akan diadakan di KL. Rumah terbuka itu diraikan serentak dengan hari lahir anak saya yang akan menyambut ulang tahun ke-2 tahun pada 13 Julai lalu dengan majlis akikah. Tapi ia akan diadakan lepas raya nanti. Saya dan bekas suami yang anjurkan majlis ini.

TAHUN kedua meraikan lebaran sebagai ibu tunggal tidak membuatkan Izreen bermuram durja dan meratapi nasib yang sudah tertulis. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
TAHUN kedua meraikan lebaran sebagai ibu tunggal tidak membuatkan Izreen bermuram durja dan meratapi nasib yang sudah tertulis. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Malahan saya dengan bekas suami juga tak ada masalah atau berdendam. Kami gembira dan tak bermusuh. Masing-masing mempunyai tanggung jawab kepada anak dan ini cara kami membuktikan perceraian bukan isu untuk tidak menghargai anak kami," katanya.

Mengenai majlis berbuka puasa yang diadakan itu, Izreen memberitahu asalnya dia mahu mengadakan secara kecil-kecilan. Ia turut dianjurkan bersempena ulang tahun pertama kelab peminat beliau.

"Tapi Alhamdulillah ada pihak yang berbesar hati untuk menaja termasuklah pihak Hotel Silka, kopi Kapal Api dan khidmat jurugambar Dmuslim Photostudio Official. Malah saya juga dipilih untuk mempromosikan hotel berkenaan termasuk pakej bufet Ramadan dan pakej penginapan yang disediakan," katanya.

IZREEN menyerahkan replika cek kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur pada majlis berbuka puasa di Hotel Silka, Cheras.
IZREEN menyerahkan replika cek kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur pada majlis berbuka puasa di Hotel Silka, Cheras.

Info Izreen Azminda

  • Kemenangan sulung diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2013.
  • Izreen dan bekas suaminya Muhammad Riza Baharuddin berkahwin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah. Izreen melahirkan Umar pada 13 Julai 2013.
  • Pasangan ini sah bercerai pada 9 Jun lalu selepas Riza memfailkan tuntutan cerai pada 14 Mei.
  • Ke pentas teater buat pertama kali menerusi teater Takhta 3 Ratu di Panggung Sari Istana Budaya , Izreen memegang watak sebagai Galuh Chenderai.
Berita Harian X