SEJARAH nasi goreng dikenali di seluruh dunia, khususnya di Asia. Keenakan rasa di samping pelbagai nama nasi goreng membuatkannya menjadi pilihan sesiapa saja.
Di Malaysia, nasi goreng sememangnya popular, malah ada berbagai macam resipi nasi goreng dengan evolusi tersendiri seperti nasi goreng kampung, nasi goreng USA, nasi goreng belacan, nasi goreng ikan masin, nasi goreng paprik dan sebagainya.
Walaupun terdapat pelbagai jenis nasi goreng, tetapi bahan utama yang digunakan adalah sama iaitu nasi, minyak dan bawang. Bagi yang inginkan memastikan hidangan nasi goreng itu lengkap dengan khasiat pula, lazimnya akan memasukkan sayur-sayuran seperti karot atau kacang panjang yang dipotong kecil, sawi, kobis dan sebagainya.
Untuk menambahkan keenakan rasa pula, ada yang menambahkan ayam, daging, udang, sotong, bebola ikan dan sebagainya sebagai rencah dalam masakan nasi goreng berkenaan.
Tambat selera
Untuk Ramadan ini, mungkin boleh mencuba kelainan menyediakan nasi goreng pilihan anda menggunakan marjerin bagi membangkitkan lebih enak aromanya.
Penggunaan marjerin yang menggantikan minyak masak, membantu anda mendapat khasiat lebih baik dan mampu menambat selera di bulan puasa yang lazimnya agak cerewet dalam memilih hidangan berbuka mahupun bersahur.
Justeru, FAMILI membawa resipi Nasi Goreng Adela dari selebriti masakan, Cef Yang Jamil yang cukup memikat selera dan boleh dijadikan hidangan ringkas untuk berbuka atau bersahur.
Bahan-bahan:
- Udang
- Jagung
- Planta
- Telur
- Bawang putih (ditumbuk)
- Nasi putih
Cara membuatnya;
1. Panaskan kuali dan letak marjerin.
2. Tumis bawang putih dan campurkan udang.
3. Masukkan telur selepas udang yang dimasak tadi bertukar kemerahan.
4. Masukkan nasi putih dan kacau hingga sebati.
5. Akhir sekali, tambahkan jagung dan garam secukup rasa.
6. Siap untuk dihidangkan.
Info
*Penggunaan marjerin menggantikan minyak dapat membangkitkan aroma nasi goreng yang dihidang.
*Marjerin juga enak ditambah dalam rebusan sayur seperti brokoli.
*Nasi putih digunakan untuk membuat nasi goreng perlu dimasak sederhana dan jangan terlalu lembik.
*Boleh gantikan jagung dengan sayur lain mengikut selera anda.