Khamis, 2 Julai 2015 | 12:07am
PRESIDEN Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri. - Foto NSTP
PRESIDEN Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri. - Foto NSTP
PENOLONG Pegawai Penguatkuasa JPJ, Bandar Indera Mahkota, Hashim Mustapha (kanan) bersama anggotanya, Azman Safari, mengukur spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan di kaunter pemeriksaan kenderaan secara percuma di Kompleks JPJ Indera Mahkota. - Foto Halim Mat Ali
PENOLONG Pegawai Penguatkuasa JPJ, Bandar Indera Mahkota, Hashim Mustapha (kanan) bersama anggotanya, Azman Safari, mengukur spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan di kaunter pemeriksaan kenderaan secara percuma di Kompleks JPJ Indera Mahkota. - Foto Halim Mat Ali

JPJ wajar ada kuasa periksa kedai aksesori


KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi kuasa mengambil tindakan ke atas pemilik kedai aksesori dan komponen kenderaan yang menjual aksesori tidak diluluskan pihak berkuasa.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata operasi di jalan raya sebelum ini membuktikan permasalahan itu tidak dapat diselesaikan di peringkat awal, sebaliknya hanya pengguna dikenakan tindakan walaupun ada antara mereka diperdaya oleh peniaga.

"Kami menyokong kenyataan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad agar akta sedia ada dipinda dan memberi kuasa kepada JPJ mengadakan operasi di premis. Jika kuasa tidak diberikan kepada JPJ, kami tidak mampu menyekat pemilik kedai aksesori daripada terus menjual barangan larangan.

"Kuasa yang ada pada JPJ sekarang di jalan raya tidak memberi kesan dalam membanteras kesalahan itu," katanya yang yakin jika JPJ diberi kuasa, permasalahan di peringkat awal dapat diatasi, sekali gus dapat mengelakkan pengguna daripada terus diperdaya oleh peniaga.

Hamzah menyarankan agar pengguna yang dikenakan tindakan saman atas kesalahan menggunakan aksesori larangan, membuat aduan dan menyalurkan maklumat mengenai premis yang menjual produk terbabit berserta bukti pembelian kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

  "Pengguna berasa ditipu peniaga yang mendakwa barangan dijual mereka dibenarkan oleh JPJ, laporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNKK) serta TTPM. Pengguna perlu bijak, ambil gambar ketika aksesori dipasang dan simpan resit pembelian.

"Sekiranya mereka disaman kerana menggunakan aksesori kenderaan tak lulus JPJ, laporkan kepada TTPM," katanya.

TIMBALAN Ketua Pengarah JKJR, Abdul Haris Lakar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Ketua Pengarah JKJR, Abdul Haris Lakar. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abdul Haris Lakar meminta pembeli supaya membuat penilaian dan semakan dahulu sebelum membeli barang untuk dipasang pada kenderaan.

Katanya, pengguna tidak seharusnya menerima bulat-bulat apa yang disarankan penjual terhadap sesuatu produk berikutan bimbang peniaga mempunyai helah untuk mengaut keuntungan.

"Sebagai contoh, tayar. Ramai antara kita tidak tahu tayar yang bagaimana harus dibeli. Kebanyakan kita akan memilih tayar (jenis sama) yang lebih murah berbanding harga asal sedangkan ia dijual murah kerana usia tayar berkenaan hampir tamat tempoh tarikh pembuatannya," katanya ketika ditemui BH, di pejabatnya di Putrajaya.

Abdul Haris, berkata tarikh pembuatan juga adalah satu elemen penting yang perlu dititikberatkan pengguna kenderaan ketika membeli tayar. 

Katanya, kebanyakan pengilang tayar menghasilkan tayar yang jaminan ketahanan sehingga lima tahun sahaja.

"Apabila melebihi tempoh yang dibenarkan, ia boleh mengundang bahaya seperti keretakan pada permukaan tayar dan tidak lagi mencengkam di jalan dengan sempurna berikutan bahan getah yang sudah luput dan menjadi keras pada tayar," katanya. 

Mengulas penjualan topi keledar separuh, Abdul Haris berkata, penggunaan topi keledar berkenaan boleh mengundang bahaya kepada penunggang dan pembonceng motosikal jika berlaku kemalangan.

ORANG ramai dinasihatkan supaya menggunakan topi keledar penuh dan bercermin yang diluluskan SIRIM.
ORANG ramai dinasihatkan supaya menggunakan topi keledar penuh dan bercermin yang diluluskan SIRIM.

"Kami menasihati orang ramai supaya memilih topi keledar penuh dan bercermin yang diluluskan SIRIM sebagai langkah keselamatan," katanya.

Beliau berkata, JKJR memperuntukkan 1,400 topi keledar, termasuk 500 topi keledar kanak-kanak bagi setiap negeri untuk kempen keselamatan jalan raya sebagai langkah awal mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal.

"Kami menukarkan topi keledar yang baharu dengan topi keledar yang tidak mengikut spesifikasi dan yang sudah rosak milik pengguna. Walaupun pelbagai punca boleh menyebabkan kematian, usaha ini adalah langkah awal dalam mendidik pemilik motosikal menggunakan topi keledar yang mengikut spesifikasi," katanya. 

Bagi tempoh 2005 hingga 2014, daripada 66,286 kematian yang dicatatkan, sebanyak 39,744 kematian membabitkan golongan bermotosikal dengan kebanyakan mangsa berusia 21 tahun hingga 25 tahun.

Ada peniaga aksesori menjual secara dalam talian bagi mengelak diberkas. Ikuti siri seterusnya, esok.

Berita Harian X