Ahad, 28 Jun 2015 | 12:11am

Rumah tangga pakatan, DAP kata putus, PAS masih pertahankan


RETAK menanti belah dan menunggu masa untuk pecah. Krisis tanpa penghujung dalam Pakatan Pembangkang sudah tidak mampu disorok lagi tetapi setakat ini PAS dilihat masih mahu mempertahankan rumah tangga pakatan walaupun DAP sudah memberi kata putus.

Bahkan wujud ura-ura mahu menubuhkan parti Islam baharu hasil serpihan pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan Muktamar baru-baru ini. Sejauh mana mereka mampu bertahan atau akan ada kejutan besar bakal diumumkan Majlis Syura PAS yang kini dikuasai golongan ulama, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dilihat mahu memilih jalan selamat.

DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi pembangkang. - Foto Azmaidi Abidin
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi pembangkang. - Foto Azmaidi Abidin

Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN merungkai persoalan ini dengan mendapatkan pandangan Timbalan Presiden PAS yang baharu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST) yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar untuk membincangkannya

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto fail NSTP
DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto fail NSTP

Apakah tumpuan utama kepemimpinan PAS selepas muktamar yang menyaksikan pertandingan sengit?

J: Fokus utama ialah perpaduan seluruh ahli dan memperkasakan parti. Biasanya selepas pemilihan, kita lihat ada beberapa insiden berlaku sepanjang muktamar, soal pemilihan, ada menang dan kalah. Jadi, perlu ada usaha penyatuan ahli. Kita baru lantik jawatankuasa peringkat Pemuda dan Jawatankuasa PAS Pusat. Kita kena bergerak segera dengan fokus utama ialah penyatuan ahli parti dan keduanya ialah meningkatkan keahlian baharu di setiap cawangan dan ketiga, menyusun jentera PRU-14 nanti.

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Syarafiq Abd Samad
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Adakah pemimpin yang tewas akan diberi peluang kedua dalam parti?

J: Biasanya, mereka yang tewas akan ditawarkan semula jawatan, cuma kita ada enam kekosongan yang kita boleh lantik. Tiga jawatan dilantik khas iaitu Setiausaha, Bendahari dan Pengarah Pilihan Raya. Tiga yang ditawarkan kepada bekas Ketua Dewan Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusoff; Salahuddin Ayub (bekas Naib Presiden PAS) dan Datuk Mahfuz Omar (bekas Ketua Penerangan). Setakat ini, Zailah menolak tawaran kerana mahu fokus kepada kawasan Parlimen dan kita beranggapan dua lagi akan menerimanya kerana belum memberikan jawapan menolak.

Kenapa sehingga kini Majlis Syura belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS dalam pelbagai isu?

J: Kita kena maklum, tempoh Majlis Syura ialah lima tahun sekali, berbeza dengan Jawatankuasa Pusat iaitu dua tahun sekali. Secara kebetulan, sesi akhir baru saja tamat pada penghujung Mei lalu. Mesyuarat pertama baru-baru ini baru saja selesai lantikan jawatankuasa baru. Empat wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, Ulama Pusat (empat), Pemuda (dua) dan Muslimah (dua). Semuanya 12 orang dan mereka akan lantik lima AJK tambahan. Pada mesyuarat lalu, kita sahkan senarai wakil itu dan mengekalkan Datuk Haron Din (Mursyidul Am) dan Datuk Ahmad Yakob (timbalan). Lima wakil tambahan belum diputuskan. Mereka akan berbincang, jadi banyak keputusan muktamar lalu belum dibincangkan di Majlis Syura, kena tunggu.

DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi pembangkang. - Foto Azmaidi Abidin
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi pembangkang. - Foto Azmaidi Abidin

PAS mahu memperkasakan parti, bagaimana pula hubungan dengan pakatan. Adakah Datuk sendiri ada berhubung dengan wakil gabungan lain?

J: Kita ada buat pertemuan dengan PKR tetapi belum lagi dengan DAP kerana kita masih menunggu keputusan Majlis Syura. Di peringkat negeri, mereka ada pertemuan contohnya di Pahang. Di negeri lain pun turut mengadakan perbincangan sesama pakatan. Di Selangor, urusan peringkat negeri berjalan seperti biasa kerana cuma ada sedikit saja perkara yang perlu diselesaikan di peringkat pusat yang perlu diperbetulkan.

Bukankah DAP sudah putuskan hubungan dengan PAS. Kenapa peringkat negeri masih berhubung dengan rakan pakatan?

J: Sehingga kini, kita kekal dengan keputusan untuk kekal dalam Pakatan. Jadi, tidak timbul isu bubar atau tidak. Dalam Pakatan itu sendiri, tiada borang masuk atau borang keluar, kecuali parti itu menarik diri. Kalau ketiga-tiga parti mahu bubar, maka pakatan akan terbubar. Bak kata Presiden, Pakatan itu sendiri masih dianggap berpakat walaupun cuma dua parti saja. Kita anggap Pakatan masih wujud cuma tidak berfungsi di peringkat Majlis Presiden. Di peringkat Selangor, kita menyokong penuh pentadbiran di bawah Mohamad Azmin Ali dan Exconya. PAS kita sudah buat pengisytiharan menyokong kepemimpinan negeri. Pegawai kerajaan dan pentadbir Selangor tidak perlu risau dengan apa yang berlaku. Itu jaminan PAS.

Komen mengenai PasMA dan cadangan menubuhkan parti baru yang bakal menggantikan PAS dalam Pakatan?

J: Secara demokrasi, semua orang boleh tubuhkan parti, cuma apa matlamatnya. Parti tak sepatutnya ditubuhkan kerana kecewa dengan muktamar. Mesti ada asas yang kuat. Banyak parti baharu yang cuba ditubuhkan tetapi secara umumnya rakyat melihat sudah cukup dengan tiga parti yang ada. Tiada keperluan tambah parti baharu. Bagi PAS, kita tak boleh melarang tetapi apa tujuannya. Jika alasan nak banteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, semua itu sudah ada dalam agenda perjuangan PAS. Cuma yang menjadi konflik ialah antara PAS dan DAP. Isunya ialah prinsip dan dasar parti masing-masing. Selagi kita saling menghormati dasar setiap parti, selagi itulah kita boleh bekerjasama, tetapi jangan menyerang sesama sendiri. Kita berpakat untuk saling menguatkan sesama sendiri bukan untuk melemahkan satu sama lain. Jika berpakat, PAS, PKR dan DAP mesti menjadi kuat. Tetapi jika menyerang dasar, itu tidak betul kerana setiap parti ada dasar berbeza. Kena hormati dasar mereka kerana dasar itu tak boleh elak, tak boleh ubah. Tak mungkin kita boleh ubah dasar parti lain. PAS memperjuangkan Islam tetapi bukan yang fanatik dan ekstremis. Kita bawa Islam yang membawa rahmat kepada semua dan modelnya adalah di Kelantan. Itu contoh bukan Islam tidak perlu bimbang dengan dasar PAS.

Bekas pemimpin PAS yang tewas (G-18) dilihat lebih mesra DAP dan PKR. Tidakkah itu mengancam PAS jika mereka menubuhkan parti baharu?

J: Jika mereka lebih mesra Pakatan, kita juga mahu lihat apa yang mereka mahu perjuangkan, apa agenda yang dibawa. Itu kita belum tahu lagi dan sehingga kini, kita anggap mereka masih ahli parti. Sebagai ahli parti, mesti akur dengan arahan dan keputusan pucuk pimpinan. Jika bercanggah dengan parti, kita ada hak untuk menasihati atau sebagainya. Itu bukan mudah kerana PAS ada kekuatan sendiri dengan lebih sejuta ahli. Sebarang usaha nak wujudkan parti baharu akan timbulkan konflik iaitu pertamanya isu di kerusi DUN atau Parlimen, di mana nak bertanding. Jika bertanding di kerusi PAS, itu tidak akan berlaku. Mungkin akan ada pertandingan beberapa penjuru. Sebab itulah sebarang usaha mestilah ke arah mengambil alih pentadbiran negara. Kita mahu tahu apa perjuangan dan hala tuju parti baharu itu. Apakah parti yang ada tidak cukup perjuangannya? Jika hanya kerana berbeza pandangan, kita mesti akur akan sentiasa ada perbezaan sampai bila-bila. Sebabnya, gabungan yang ada ialah pakatan, bukannya satu parti. Tiga parti bertanding atas logo sendiri, perbelanjaan sendiri tetapi bermuafakat. Apabila berpakat, harus saling menghormati prinsip kita.

Sebenarnya Pakatan Pembangkang ini masih wujud atau berkubur seperti didakwa DAP?

J: Mereka kata sudah berkubur, tetapi di Pulau Pinang mereka masih terima wakil PAS dalam kerajaan. Itu kita pelik. Kalau berkubur, maknanya sudah mati dan mereka tiada dalam kerajaan. Bagi PAS, Pakatan masih ada tetapi tidak berfungsi secara sempurna dan sepatutnya. Saya tak nak komen pandangan DAP mengenai soal ini. Sebab itu di sebahagian negeri masih ada Pakatan dan wakil PAS masih diterima di Pulau Pinang. Kerajaan Pulau Pinang bukan dibina oleh DAP. Itu bukan kerajaan DAP tetapi kerajaan bersama. Jika PKR menarik diri, kerajaan negeri akan tumbang. Antara Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, kerajaan yang paling stabil ialah Kelantan, diikuti Selangor. PAS sudah bagi komitmen untuk kekal di Selangor.

Isunya, sudah ramai wakil PAS, termasuk Mohamad Sabu meletak jawatan di Pulau Pinang.

J: Kita agak dukacita dengan tindakan drastik yang dibuat kononnya disebabkan usul ketika Muktamar. Ia bukan disebabkan usul itu tetapi perlu dilihat kenapa usul itu timbul. Usul itu lahir berikutan tindakan memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah dan Sarawak, termasuklah dengan PKR. Memang kita berbeza pendapat tetapi jangan sampai terkeluar perkataan seperti itu. Jika tindakan awal itu dapat dipulihkan, dikawal mungkin usul seperti itu tidak akan berlaku. Jadi, kita terima usul putuskan hubungan sebulat suara tetapi ramai yang tidak faham. Sebenarnya usul itu datangnya daripada ulama yang memberi cadangan tetapi mereka tiada kuasa buat keputusan. Pihak yang berkuasa ialah Majlis Syura. Kenapa bukannya muktamar, sebabnya jika isu itu dibahaskan sehebat mana pun, keputusan akhir akan diserahkan kepada Majlis Syura. Perbahasan itu hanya akan timbulkan polemik tanpa boleh buat keputusan. Disebabkan kita masuk ke Pakatan itu melalui hukum, jadi apabila mahu keluar, ia perlu diputuskan melalui hukum. Hukum itu terletak di tangan Majlis Syura. Bagi kes wakil kita dipecat, kita terima dan bagi yang dikekalkan, mereka boleh kekal.

Bagaimana dengan PRU-14. Adakah pakatan akan kekal dengan formula lama atau mungkin bergerak bersendirian?

J: Dulu, kita ada Barisan Alternatif (BA). Kita ada beberapa format iaitu pertamanya Pakatan yang ada pada hari ini berkait dengan beberapa polisi. Kedua, autonomi negeri iaitu kita boleh mentadbir negeri berkenaan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan dasar setiap parti. Ketiganya, kita berpakat untuk tidak berlawan sesama sendiri. Itu kerjasama paling minimum tanpa menyentuh perkara lain. Kita boleh duduk bersama dalam isu yang sama contohnya membanteras rasuah. Sebagai orang Islam kita tidak boleh syirik kepada Allah, kita boleh kompromi saja. Prinsip ini mesti dijaga dan ia langsung tidak mengganggu rakan dalam Pakatan. Saya percaya, dalam PRU-14 nanti, perkara seperti itu akan diteliti. PAS pernah bersendirian dan bergabung. Sehingga kini begitulah pendirian kita kecuali kita ditendang keluar atau Pakatan dibubarkan.

Jika ditendang keluar Pakatan Pembangkang, bolehkah PAS berdikari?

J: Segmen pengundi PAS adalah orang Melayu dan kita bertanding di banyak kawasan majoriti Melayu. Isunya ialah bagaimana PAS boleh mendapat sokongan majoriti Melayu? Jika berjaya tarik pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir bandar ditambah pula dengan keadaan pelbagai isu dihadapi BN, kita percaya PAS mampu melakukannya. Contohnya, pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin, saya adalah Pengarah PRK di sana. Dalam keadaan PAS diserang dan Pakatan bermasalah, kita jangka akan kalah teruk, tetapi jumlah undi meningkat di semua peti undi. Ahli baharu bertambah 700 orang dalam tempoh 14 hari dan lima cawangan baru dibuka. Rahsianya ialah pengundi melihat ketegasan kita yang tidak melanggar hak orang lain. Itulah kekuatan yang kita pertahankan. Sepatutnya rakan Pakatan tidak curiga, sepatutnya lebih gembira kerana jika PAS dapat lonjakan. Jika PAS bersendirian, kita akan hadapi dengan kekuatan yang ada dan berusaha tingkatkan cawangan dan ahli baru.

Jika masih kekal, perlukah Pakatan itu diikat seperti BN?

J: Untuk masa depan, memang ada keperluan tetapi kena selesaikan beberapa isu asas dan utama. Jika tidak selesai, ia akan bermasalah. Saya fikir, dulu kita sudah selesaikan dan tandatangan beberapa deklarasi. Jika ia dipegang, tidak timbul masalah seperti hari ini. Kita setuju untuk setuju dan akur pada perkara yang tidak setuju.

Dr Chandra Muzaffar

PRESIDEN JUST, Dr Chandra Muzaffar
PRESIDEN JUST, Dr Chandra Muzaffar

Boleh Dr ulas benarkah pakatan pembangkang sudah berkubur seperti didakwa DAP?

J: Saya berpendapat pakatan pembangkang belum berkubur kerana dari satu segi, tiga parti itu masih wujud dan masih bekerjasama khasnya di peringkat negeri, seperti di Selangor. Walau apa pun nama yang mereka guna, itu soal lain tetapi pembangkang masih berfungsi. Guna nama pakatan atau tidak, itu soal lain tapi mereka masih berfungsi berdasarkan program tertentu.

Pada pendapat Dr, parti manakah dalam pakatan yang sebenarnya menimbulkan permasalahan?

J: PAS dan DAP masing-masing bertanggungjawab dengan krisis pembangkang. DAP yang mula-mula mencetuskan krisis dalam pakatan. DAP mula buat masalah apabila membuat ketetapan tidak boleh menerima kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS. PAS pula bertindak balas menerusi muktamarnya dengan menerima usul Dewan Ulama untuk menamatkan hubungan dengan DAP tetapi kekal dalam pakatan. Tapi dari segi keputusan PAS itu, ia sebenarnya tertakluk kepada keputusan Majlis Syura. Setakat ini, belum ada keputusan dibuat Majlis Syura. Saya lihat apabila DAP bertindak selepas muktamar PAS, parti itu sebenarnya tidak menghormati keputusan PAS. Dewan Ulama buat resolusi, hantar ke muktamar tetapi tidak bermakna resolusi itu dipersetujui dan dilaksanakan. Ia masih menunggu kelulusan Majlis Syura. Jika dilihat latar belakang krisis pakatan ini, saya terpaksa memilih DAP yang lebih bertanggungjawab mencetus krisis dalam pakatan.

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Shahrul M Zain
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng. - Foto Shahrul M Zain

Sejauh mana krisis ini akan menjejaskan sokongan rakyat dalam cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14?

J: PRU-14 perlu diadakan sebelum 2018. Bermakna ada masa lagi untuk pembangkang mengatasi atau membetulkan masalah ini. Namun, masih terlalu awal untuk membuat ramalan prestasi pembangkang dalam PRU akan datang kerana ada lebih tiga tahun lagi. Jika masih gagal mengatasi masalah ini, atau masih bermusuhan dengan menganggap rakan seperjuangan sebagai seteru politik dan berlarutan sehingga sebelum PRU, tentunya ia akan memberi kesan. Rakyat akan menganggap pembangkang tidak bekerjasama, gagal menyatukan ideologi dan memerintah. Pada perkiraan saya, mereka sukar mengatasi masalah ini kerana PAS tidak akan berganjak dengan ideologi memperjuangkan hudud. DAP menolak hudud. Saya tidak fikir masalah ini akan dapat diatasi melainkan ada perubahan pendirian di pihak DAP atau PAS.

Timbul ura-ura pembangkang mahu menubuhkan gabungan baharu yang akan dianggotai DAP, PKR dan parti Islam baharu yang ditubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA) bagi menggantikan PAS. Adakah ini akan membantu mengembalikan kepercayaan rakyat?

J: Ini satu kemungkinan yang boleh berlaku. Akan tetapi perlu dinilai dan dilihat pula apakah ideologi parti Islam baharu itu nanti. Jika parti baharu ini cuba menjauhkan diri daripada ideologi PAS, termasuk mengetepikan agenda memperjuangkan hudud dan sebagainya yang menjadi teras Islam, ini akan menjadi isu dalam kalangan pengundi Melayu. Sekiranya parti serpihan PAS ini tidak begitu jelas perjuangannya dengan hudud Islam, ia mungkin tidak diterima orang Melayu. Saya tidak berani hendak mengatakan yang gabungan ini jika wujud nanti akan dapat meyakinkan orang Melayu. Tapi kalau tengok bagaimana PKR boleh menang dalam pilihan raya, parti itu boleh menang di kawasan campuran pelbagai etnik hasil daripada kempen dilakukan PAS. Jika tiada PAS, apa nasib mereka. Inilah dilemanya. Kita perlu ingat DAP penentang keras hudud kerana ia bertentangan dengan dasar parti itu. Orang Islam perlu memahami ada makna lebih mendalam mengenai hudud. Dalam kalangan bukan Islam, mereka menentang hudud kerana ia ada hubung kait dengan Islam dan Melayu. Sudah tentu orang Melayu dan parti Melayu yang menjadi rakan seperjuangan dengan DAP akan berasa tidak selesa. DAP adalah parti perkauman. Dia memperjuangkan sesuatu isu dari sudut politik kaum. Pada tahun 1960-an misalnya, DAP mendesak agar diwujudkan empat bahasa rasmi kerana mereka tidak menerima kedaulatan bahasa Melayu. Itu masalah DAP. Mereka tidak mahu menerima sejarah latar belakang identiti negara ini. Sekiranya pembangkang hendak buat satu gabungan, ia mestilah terbuka dan inklusif.

Jadi, apa masalah sebenar yang dihadapi pembangkang sehingga mereka gagal mempertahan gabungan mereka?

J: Saya lihat masalah yang sukar diatasi ialah ideologi DAP dan PAS. PAS sebuah parti berpegang kepada ideologi memperjuangkan hudud. Ini membawa persepsi tertentu dalam masyarakat. Sebenarnya sukar untuk sesebuah parti seperti PAS yang memperjuangkan hudud untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam. DAP pula parti yang menentang hudud, termasuk hal berkaitan Islam dan Melayu. Saya tidak tahu sampai bila pertembungan ideologi DAP dan PAS ini boleh berakhir. Jika PAS mengetepikan perjuangan hududnya, ia pasti tidak akan mendapat sokongan Melayu. Jika ada parti Islam baharu diwujudkan tetapi tidak menjadikan hudud atau hukum Islam sebagai asas perjuangannya, ia juga tidak akan diterima orang Melayu sepenuhnya. Misalnya parti serpihan PAS iaitu HAMIM (Parti Hizbul Muslimin Malaysia) yang keluar dari perut PAS tidak dapat meneruskan kelangsungan perjuangan mereka.

KETUA Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
KETUA Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Dalam krisis pakatan hari ini, PKR dilihat lebih banyak berdiam diri seperti cuba 'bermain dengan selamat'. Sebagai bekas Timbalan Presiden PKR, boleh Dr ulas hal ini?

J: PKR membisu kerana mereka berada dalam dilema. Dalam parti itu ada orang Melayu dan bukan Melayu yang menjadi ahli. Jika PKR menentang ideologi PAS, sokongan ahli Melayu dan juga PAS kepada PKR akan merosot. Jika cenderung kepada PAS pula, PKR akan hilang sokongan ahli bukan Melayu sama ada di dalam atau luar parti. PKR tersepit antara DAP dan PKR dan juga perlu menjaga hati dua golongan Melayu dan bukan Melayu. Maknanya PKR tidak ada prinsip dalam perjuangan. Dia hanya hendak kuasa.

Adakah relevan atau tidak PAS meneruskan hubungannya dengan PKR?

J: Saya yakin PAS akan terus bekerjasama dengan PKR kerana PKR tidak menyerang PAS dalam isu hudud secara terbuka dan lantang seperti dilakukan DAP. Ada manfaat bagi PAS dan PKR sekiranya dua parti ini bekerjasama iaitu mungkin mereka boleh mendapat undi orang Melayu dan bukan Melayu. Bukan Melayu yang beri sokongan ini adalah mereka tidak begitu lantang mengkritik PAS.

Apakah iktibar yang boleh dihayati kesan daripada perpecahan yang berlaku kepada pembangkang ini?

J: Jelas di sini bahawa Pakatan Pembangkang adalah satu gabungan kerjasama yang rapuh. Mana-mana parti gabungan perlu memastikan mampu untuk bermuafakat atau memiliki ideologi yang dapat diterima semua parti serta kepemimpinan. Jika tiada muafakat, amat sukar untuk mendirikan satu gabungan. Kalau kita tengok kepada BN dan gabungan yang diwarisi daripada Perikatan, mereka mampu bermuafakat. Pada waktu awal penubuhannya, Perikatan boleh bersatu kerana sama-sama menuntut kemerdekaan. Kalau tengok latar belakang kepemimpinannya sama ada UMNO, MCA atau MIC ada persefahaman dalam kalangan mereka. Taraf pendidikan, ekonomi dan pengaruh memiliki banyak persamaan ketika itu. Sebab itu mereka boleh bekerjasama dalam Perikatan dan memenangi pilihan raya sejak 1955. Saya nampak BN dan Perikatan ini adalah dua gabungan yang berjaya kalau dibanding dengan gabungan parti pembangkang. Dari segi pengalaman pakatan politik, BN lebih berjaya.

Berita Harian X