Rabu, 24 Jun 2015 | 12:16am
ANNIKETYNI bersama hasil kerja kayu di bengkelnya di Kampung Gombak, Kuang. - Foto Aziah Azmee
ANNIKETYNI bersama hasil kerja kayu di bengkelnya di Kampung Gombak, Kuang. - Foto Aziah Azmee

Anniketyni angkat martabat wanita dalam seni arca


MINAT mendalam pada seni halus berunsurkan kayu mendorong Anniketyni Madian untuk menghasilkan karya terbaik bagi mengangkat martabat bidang yang diceburinya.

Anniketyni, 29, bertuah apabila menjadi antara wanita pertama di negara ini yang bergiat secara aktif dalam kerja pertukangan kayu.

Beliau sekali gus mencabar diri dalam bidang seni arca berasaskan medium kayu bagi menghasilkan karya yang diminati dalam kalangan pencinta seni tanah air.

"Arca kayu kurang popular di negara ini berbanding di negara luar namun ia berpotensi besar untuk diketengahkan. Saya melihat arca kayu ini dari perspektif berbeza.

"Ramai beranggapan seni arca kayu ini tidak sesuai dengan kaum wanita dan hanya mampu dilakukan oleh kaum lelaki. Namun saya mahu buktikan, walaupun seni arca kayu ini memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi dalam pertukangan kayu dan penggunaan mesin, wanita juga mampu lakukannya," katanya ketika ditemui BH PLUS di bengkelnya di Kuang, Selangor, baru-baru ini.

PENGUKIR kayu, Anniketyni Madian. - Foto Aziah Azmee
PENGUKIR kayu, Anniketyni Madian. - Foto Aziah Azmee

Mengakui minat terhadap seni arca kayu itu tidak datang begitu saja, wanita berkelulusan Sarjana Seni Halus (Arca) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, cintanya terhadap seni arca berasaskan kayu muncul ketika melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan pada 2008.

"Pensyarah memberi kami kebebasan untuk meneroka penggunaan medium penghasilan arca dan pada saat itulah saya dapat rasakan yang arca kayu itu adalah jiwa saya... hidup saya," katanya.

Tidak mahu terikat dengan karya biasa, Anniketyni atau lebih mesra disapa Anni menerapkan elemen Pua Kumbu dalam setiap hasil karyanya.

Elemen Pua Kumbu popular dalam industri pembuatan tekstil di Sarawak. Pada asalnya ia ditenun oleh wanita Iban dan digunakan dalam kebanyakan acara ritual serta majlis khas termasuk menyambut kelahiran bayi, menyambut ulang tahun kelahiran dan pengebumian.

"Saya rasa penting sebagai anak jati Sarawak untuk mempromosikan budaya masyarakat kami menerusi karya seni. Daripada industri tekstil, saya bawakan ia ke dalam dunia seni arca khususnya medium kayu. Ia sekali gus memberi identiti tersendiri kepada setiap karya yang saya hasilkan," kata wanita campuran Melayu dan Iban itu.

Bagaimanapun, katanya, arca yang dihasilkan lebih bersifat kontemporari dan sesuai dengan selera masyarakat sekarang. Bagi menambahkan lagi keunikan arca kayu itu, Anni berkata, beliau menggabungkan motif Pua Kumbu dengan unsur Islam seperti tulisan kaligrafi dan jawi.

ANTARA motif yang digunakan oleh Anniketyni. - Foto Aziah Azmee
ANTARA motif yang digunakan oleh Anniketyni. - Foto Aziah Azmee

Mengakui idea untuk menghasilkan sesebuah arca tidak datang begitu saja, Anni berkata beliau perlu membuat beberapa lakaran untuk setiap arca yang ingin dihasilkan.

"Kadang-kadang idea datang secara spontan. Kebiasaannya, saya akan lakar kepada lima hingga lapan jenis lakaran untuk setiap arca. Setiap idea yang datang, saya kembangkan idea itu kepada lakaran asal sebelum lakaran lebih terperinci dibuat. Ini penting supaya idea asal tidak tersasar jauh," katanya yang gemar melancong dan membaca untuk mendapatkan inspirasi dalam berkarya.

Beliau berkata, arca kayu yang dihasilkan juga bergantung kepada permintaan pelanggan atau pengumpul. Lazimnya, peminat arca kayu ini akan bertemu dengan Anni terlebih dahulu untuk sesi perbincangan idea dan proses lakaran sebelum beliau memulakan kerja-kerja pertukangan.

ANTARA motif yang digunakan oleh Anniketyni. - Foto Aziah Azmee
ANTARA motif yang digunakan oleh Anniketyni. - Foto Aziah Azmee

"Arca kayu ini datang dalam pelbagai saiz dan jenis. Harganya juga berbeza-beza bergantung kepada jenis kayu yang digunakan. Lazimnya, saiz arca yang saya hasilkan berukuran lima kaki tinggi lima kaki lebar dan paling besar yang saya pernah hasilkan enam kaki tinggi 16 kaki lebar," katanya sambil menambah arca rekaannya dijual sekitar RM5,000 hingga RM50,000 setiap satu.

Anni berkata, antara jenis kayu yang menjadi pilihan adalah kombinasi kayu meranti, meranti merah, pine putih dan pine merah serta resak.

"Kayu-kayu ini sangat terkenal dengan sifat tahan lasaknya. Pemilihan kayu sangat penting bagi menghasilkan arca yang bermutu tinggi.

"Jika guna kayu terlalu lembut atau tidak tahan lasak, ia akan mendatangkan masalah ketika proses memotong nanti," katanya.

Beliau berkata, kayu yang digunakan lazimnya dibeli di sekitar ibu negara atau diimport dari Indonesia dan bergantung kepada pilihan atau bajet pelanggan.

Menjelaskan proses penghasilan sesuatu arca, Anni berkata, kebiasaannya beliau mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan sesebuah karya.

LAKARAN awal sebelum memulakan proses penghasilan arca kayu. - Foto Aziah Azmee
LAKARAN awal sebelum memulakan proses penghasilan arca kayu. - Foto Aziah Azmee

"Daripada proses lakaran, kerja-kerja memotong dan pasak...dan selepas semua kayu yang dipotong dicantum, kerja-kerja melicinkan kayu pula bermula. Proses melicinkan ini dianggap sebagai 'final stage' sebelum ia disapu cat minyak dan dihantar kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, arca kayu bersifat 'matte' kerap menjadi pilihan pelanggan berbanding arca yang berkilat.

"Arca kayu 'matte' dianggap lebih mempunyai nilai estetika dan mempunyai nilai tersendiri berbanding arca berkilat," katanya yang ditemani suami yang juga seorang pereka grafik.

Mengakui pada awalnya kurang yakin untuk bergerak secara solo, Anni berkata beliau sangat bertuah kerana dianugerahkan seorang suami yang sentiasa memberi dorongan dan peransang untuk beliau bertapak dalam dunia arca kayu.

"Suami saya, Kamarudin Diran sentiasa memberikan kata-kata semangat untuk saya bersaing dengan artis-artis lain.

"Pengalamannya sebagai pereka grafik selama lebih 20 tahun juga sedikit sebanyak membantu saya untuk menghasilkan karya yang sentiasa segar dan bernilai tinggi," katanya.

ANNIKETYNI buktikan wanita mampu hasilkan seni arca kayu ini walaupun prosesnya berat dan rumit. - Foto Aziah Azmee
ANNIKETYNI buktikan wanita mampu hasilkan seni arca kayu ini walaupun prosesnya berat dan rumit. - Foto Aziah Azmee

Kini, Anni mampu berbangga dengan usia yang begitu muda, beliau sudah menempa nama di persada antarabangsa dengan menyertai beberapa pameran di luar negara dan mendapat jemputan dalam beberapa program Residensi Seni.

Antaranya, menyertai Residensi Seni di Vermont Art Center dan Rimbun Dahan serta dijemput ke pameran di Vincci Art Gallery di Singapura pada tahun lalu, Pameran Terbuka di Bangladesh pada 2009 dan terbaru pameran berkumpulan di Box Heart Gallery Liberty Ave, Pittsburgh, Amerika Syarikat, awal tahun ini.

Anni berkata, beliau menjadikan pengukir seperti Ruben Margolin, Theo Jansen, Louise Nevelson sebagai sumber inspirasi untuk mengembangkan idea dalam arca kayu moden.

"Louise Nevelson antara individu yang paling saya kagumi. Setiap karya seninya menitik beratkan ketepatan, pengiraan dan pengukuran...dan mendalami setiap hasil karyanya membantu saya untuk terus meningkatkan teknik pengukiran saya," katanya.

PROSES melicinkan kayu. - Foto Aziah Azmee
PROSES melicinkan kayu. - Foto Aziah Azmee

PROFIL

Nama: Anniketyni Madian

Umur: 29 tahun

Asal: Kuching, Sarawak

Pameran yang pernah disertai:

2015

Grande II, Core Design Gallery, Subang Jaya

Hati & Jiwa, Zain Azahari Collections, 20 Trees

Residency Exhibition, Rimbun Dahan Gallery, Kuang, Selangor

Box Heart Gallery, Liberty Ave, Pittsburgh, AS

2 Man Exhibition, Art Cube Gallery, Kuala Lumpur

2014

Grande, Core Design Gallery, Subang Jaya

Remark, ArtCube Gallery, Intermark Kuala Lumpur

Local Only, Taksu Gallery, Kuala Lumpur

Open Exhibition, Segaris Art Center, Publika, Kuala Lumpur

Ilham Sculpture Exhibition, Pelita Hati Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur

Aggressive - Group Sculpture Exhibition, R.A Fine Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur

Pulpa - Paper Exhibition, Chandan Gallery, Publika, Kuala Lumpur

Women Group Exhibition, Black Box, Publika, Kuala Lumpur

Vincci Art Gallery, Singapore

ANTARA seni arca kayu yang menggabungkan unsur Islam seperti tulisan khat dan jawi. - Foto Aziah Azmee
ANTARA seni arca kayu yang menggabungkan unsur Islam seperti tulisan khat dan jawi. - Foto Aziah Azmee

2013

Sekaki Exhibition, Segaris Art Center, Publika, Kuala Lumpur

Destiny - Young Artist Group Exhibition, National Art Gallery, Kuala Lumpur

2011

Figurativismo Exhibition, Core Design Gallery, Kuala Lumpur

This Is It - Black & White Exhibition, Core Design Gallery, Subang Jaya

Reconstruction Trio Exhibition, MAP, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur

2010

Art Triangle Exhibition, National Art Gallery, Kuala Lumpur

Dis-Closure Open Exhibition, Art Village Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur

Open Show, MAP, Publika Gallery, Kuala Lumpur

Earth Hour Exhibition, Zinc Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur

Eight 4 One Group Sculpture Show, R.A Fine Art Gallery, Kuala Lumpur

Local Touch Group Sculpture Exhibition, Art Space The Gallery, Bangsar, Kuala Lumpur

2009

Open Exhibition, Dakha, Bangladesh

Young Artist Exhibition, R.A Fine Art Gallery, Kuala Lumpur

V2 Young Women Exhibition, 360 Gallery, Damansara, Kuala Lumpur

Belief Exhibition, 360 Gallery, Desa Park City, Kuala Lumpur

Raw & Cooked Degree Show, Fine Art Department, UiTM Shah Alam

Berita Harian X