Isnin, 22 Jun 2015 | 12:17am
ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang memeriksa pasport pekerja asing dalam Ops Bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pahang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. - Foto Khairulmizan Yahya

Tambahan pekerja asing tak diperlukan

KUALA LUMPUR: Kadar keperluan pekerja asing dilihat sudah mencapai tahap tepu berbanding kadar pertumbuhan sektor pembinaan.

Penganalisis bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata ini kerana pertumbuhan pembinaan termasuk bangunan ketika ini begitu perlahan dan ia hanya berlaku selepas satu projek lain siap.

Justeru, katanya, tambahan pekerja asing tidak lagi diperlukan.

"Pada 10 atau 20 tahun dulu, kadar keperluan tenaga buruh asing adalah tinggi kerana negara ketika itu pesat membangun.

"Sebagai contoh, katakanlah negara memerlukan sejuta pekerja asing. Jika 100,000 orang dibawa masuk setahun, jadi dalam masa 10 tahun, ia sudah mencukupi," katanya kepada BH di sini.

Beliau mengulas laporan BH semalam mengenai dua juta pekerja asing `ghaib' selepas masuk sebagai buruh pembinaan tetapi menyertai sektor lain secara haram untuk tinggal lebih lama di negara ini.

LAPORAN BH semalam mengenai dua juta pekerja asing 'ghaib' selepas masuk sebagai buruh binaan.
LAPORAN BH semalam mengenai dua juta pekerja asing 'ghaib' selepas masuk sebagai buruh binaan.

Shahul Hamid menyifatkan tindakan menambah jumlah pekerja asing pada jumlah yang sama selepas 20 tahun adalah tidak masuk akal kerana pertambahan sebelum ini sudah tentu melebihi keperluan.

"Kenapa masih perlukan sejuta pekerja asing jika kini sudah melebihi dua juta orang! Ke mana mereka pergi? Ke mana mereka menghilang? Sudah tentu bukan berada di sektor pembinaan lagi. Perkara ini sudah bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokhtar Samad, mencadangkan agar diwujudkan satu undang-undang khas yang menetapkan pengambilan pekerja asing mesti dilakukan mengikut keperluan pertumbuhan sektor pekerjaan.

ANTARA pekerja kilang warga asing yang diperiksa dalam serbuan oleh Imigresen Negeri Sembilan di sebuah kilang di Nilai. - Foto NSTP
ANTARA pekerja kilang warga asing yang diperiksa dalam serbuan oleh Imigresen Negeri Sembilan di sebuah kilang di Nilai. - Foto NSTP

"Hingga kini, tiada satu mekanisme standard bagi menentukan kadar keperluan pekerja asing mengikut pertumbuhan pembangunan atau sebaliknya yang menjadikan sektor pembinaan sebagai transit warga asing masuk ke negara ini sebelum berpindah ke sektor pekerjaan lain.

"Pengambilan pekerja asing mesti dilaksanakan bersama pengawasan yang ketat bagi memastikan mereka tidak hilang ketika atau selepas selesai projek pembinaan," katanya.

Berita Harian X