Isnin, 22 Jun 2015 | 12:04am

Honor 6 plus berteknologi premium

HUAWEI menepati kehendak ramai dengan mempertingkatkan peranti paling popularnya, Honor 6 kepada Honor 6 plus dengan memuatkan pelbagai spesifikasi teknologi terkini pada harga lebih rendah berbanding produk setanding dengannya di pasaran.

Honor 6 plus yang ditawarkan pada harga RM1,399 di laman rasmi mereka, VMall.MY, dibangunkan dengan skrin lebih besar 5.5 inci berdefinisi tinggi penuh (Full HD), diperkasakan dengan Kirin 925 prosesor lapan teras 1.8GHz dan RAM 3GB.

Dengan keupayaan Cat6 4G LTE, Huawei berjaya meletakkan telefon pintar itu antara pilihan utama pengguna yang mahukan telefon sokongan 4G pada harga lebih murah di bawah RM1,500 berbanding telefon pintar 4G yang lain.

Ruangan storan mencecah 32GB sememangnya memberikan standard baharu dalam segmennya yang kebiasaan menawarkan kapasiti storan sekitar 8GB atau 16GB, namun jika tidak mencukupi pengguna masih berpeluang mempertingkatkannya menerusi slot microSD.

Itu pun jika pengguna bersedia mengorbankan satu daripada dua slot kad SIM semata-mata untuk memiliki kapasiti storan lebih besar, kerana bagi penulis kapasti 32 GB sudah mencukupi untuk telefon pintar bagi menjamin operasi yang lebih seimbang bergantung kepada penggunaan.

Slot pada microSD juga boleh digunakan untuk memuatkan kad SIM kedua di bahagian slot kad nano-SIM, sekali gus membolehkan pengguna menggunakan dua kad SIM serentak.

Kamera berkembar 8MP

Satu aspek penting dalam pemilihan telefon adalah kamera dan Honor 6 Plus menyediakan kamera berkembar 8MP di bahagian belakang yang memberikan beberapa sentuhan kreatif bagi imej yang dirakam dan satu kamera 8MP di bahagian depan telefon memberikan selfie.

Kelebihan memiliki kamera lensa berkembar sememangnya diakui memberikan kualiti rakaman lebih baik dari segi kedalaman imej, kesan khas dan fokus lebih tinggi, sekali gus memberikan imej jelas walaupun dalam persekitaran kurang cahaya.

Imej yang terhasil bagi mod pemandangan juga lebih menarik dan seimbang, cuma ia kurang memberikan perincian apabila diperbesarkan dan kadang-kala pembetulan pada imej putih terlalu dilihat berlebihan.

Antara faktor menarik yang boleh dipuji ialah skrin seluas 5.5 inci yang meliputi hampir keseluruhan sisi lebar telefon dalam menjamin kepuasan tontonan dan reka bentuk lebih lebar serta rata untuk pegangan kemas.

Paparan skrin LCD beresolusi 1,920x1,080 piksel sememangnya cukup memuaskan menyamai paparan telefon premium dengan kualiti kejelasan dan kedalaman warna yang tepat.

Seperti dijangka Huawei akan terus menekankan nilai estetika reka bentuk binaan telefon Honor 6 Plus dan skrin Gorilla Glass 3 memberikan sentuhan kemewahan, walaupun secara kasar pada bahagian belakang ia sebenarnya dibangunkan dengan perumah plastik.

Berita Harian X