Ahad, 21 Jun 2015 | 12:10am

Dua juta pekerja asing 'ghaib'

DIANGGARKAN 30 peratus daripada 200 pekerja asing dalam setiap pengambilan bagi projek pembinaan, 'ghaib' setiap tahun, dipercayai menyambung sara hidup dalam sektor lain untuk menetap lebih lama di negara ini.

Setakat ini, jumlah pekerja asing yang 'ghaib' dianggarkan sudah mencecah dua juta orang berpunca daripada ketiadaan penempatan khusus bagi memudahkan pemantauan sepanjang tempoh projek dilaksanakan. Keadaan itu menjadikan sektor pembinaan tidak ubah seperti satu transit oleh pekerja asing bagi memasuki dan menetap lebih lama di negara ini.

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia) memandang serius perkara itu dan mahu pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya sebelum ia mengundang pelbagai masalah.

PRESIDEN PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion.
PRESIDEN PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion.

Presiden PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion, berkata kebanyakan kontraktor pembinaan hanya menyediakan rumah kongsi jenis pangsa, kontena atau pondok kecil berbentuk kotak yang diperbuat daripada papan lapis tanpa sistem kawalan yang rapi untuk pekerja asing.

Situasi itu menyebabkan pekerja asing yang biasanya memperoleh permit kerja selama dua tahun mengambil kesempatan untuk melarikan diri, sama ada ketika projek dilaksanakan atau selepas ia siap. Mereka berpindah ke sektor perkhidmatan lain seperti khidmat penyediaan makanan, stesen minyak, kedai serbaneka dan sektor pekerjaan lain yang lebih mudah tanpa perlu berpanas terik seperti di tapak binaan.

KEADAAN rumah kongsi tanpa sistem kawalan yang rapi untuk pekerja asing. - Foto Ghazali Kori
KEADAAN rumah kongsi tanpa sistem kawalan yang rapi untuk pekerja asing. - Foto Ghazali Kori

Lebih membimbangkan apabila ada pekerja asing ini lari ke perkampungan di pedalaman dan berkahwin dengan penduduk tempatan untuk mendapat sah taraf di negara ini. Apabila ini berlaku, mereka hampir 100 peratus pasti gagal dikesan.

Tukiman juga tidak menafikan perkara itu berlaku mungkin disebabkan ada pakatan antara ejen dan pekerja asing terbabit.

Tinjauan BH ke tapak binaan dan rumah kongsi di Setapak, di ibu kota, mendapati penempatan yang disediakan untuk pekerja asing bukan sahaja sempit, malah menjejaskan pemandangan bandar. Dengan keluasan kurang satu hektar, ia menempatkan kira-kira 250 pekerja asing dengan kemudahan penginapan yang serba kekurangan - tanpa sistem saliran dan parit serta tiada tempat untuk membuang sampah.

KEADAAN tandas yang kotor di sekitar penempatan rumah kongsi. - Foto Ghazali Kori
KEADAAN tandas yang kotor di sekitar penempatan rumah kongsi. - Foto Ghazali Kori

Penempatan padat dan tidak tersusun ini menimbulkan masalah lain yang lebih besar seperti gejala sosial, pergaduhan dan jenayah.

Seorang kontraktor di tapak projek yang enggan dikenali, berkata masalah pergaduhan sehingga menyebabkan kematian sering berlaku di penempatan pekerja asing dan keadaan itu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk setempat.

KEHIDUPAN warga Indonesia yang menetap di sebuah penempatan di Kelana Jaya. - Foto Ghazali Kori
KEHIDUPAN warga Indonesia yang menetap di sebuah penempatan di Kelana Jaya. - Foto Ghazali Kori

"Perbezaan politik di negara asal pekerja asing ini seperti di Bangladesh, Myanmar dan Indonesia juga menyebabkan sering tercetus pergaduhan. Rumah kongsi di sini tidak dipantau. Kalau ada pun penguat kuasa belot yang mahu kutip wang perlindungan.

"Malah, rumah kongsi menjadi lubuk emas bagi mereka yang mengutip RM500 hingga RM1,000 daripada pekerja yang tiada dokumen sah atau permit tamat tempoh," katanya.

Pekerja asing juga mendakwa banyak `gangguan' dari dalam dan luar rumah kongsi menyebabkan ramai `ghaib' sebelum kontrak kerja di tapak binaan siap.

Seorang pekerja Indonesia dikenali sebagai Malim berkata, gangguan seperti pergaduhan sesama penghuni dan daripada pihak yang `mengutip cukai' setiap hari, memberi tekanan kepada mereka.

Katanya, setiap hari, 'pengutip cukai' itu menunggu mereka pulang kerja di dalam rumah kongsi sendiri.

"Bayangkan setiap hari kami kena bayar sejumlah tertentu kepada pengutip haram ini yang mengugut kami dengan pelbagai isu seperti tiada dokumen dan permit tak diperbaharui.

"Bila sudah tiada duit, ada yang terpaksa mencuri demi sesuap nasi. Kami memang mahu tinggal selama boleh untuk bekerja di negara ini tetapi apakan daya tekanan dan gangguan menyebabkan ramai yang terpaksa lari.

"Situasi begini berlaku hampir di semua rumah kongsi. Selain itu, isu permusuhan kaum dari negara asal juga antara gangguan yang perlu kami tempuhi," katanya ketika ditemu bual di rumah kongsi Setapak, di sini.

BH difahamkan pengutip cukai haram itu menjadikan rumah kongsi sebagai lubuk emas mereka.

Malah, rata-rata pekerja asing berkata, mereka berhadapan kesukaran kerana dokumen sah dipegang oleh majikan.

"Jika keluar dari kawasan rumah kongsi dan bernasib tidak baik dicekup pihak penguatkuasa, kami terpaksa pula membayar cukai haram berkenaan," katanya.

Sumber CIDB memberitahu, masalah pekerja asing ghaib ini bukan sahaja menjejaskan perjalanan projek pembinaan, malah menimbulkan isu lain seperti jenayah.

Kadar keperluan pekerja asing dilihat sudah mencapai tahap tepu berbanding kadar pertumbuhan bangunan. Tambahan pekerja asing tidak lagi diperlukan. Bilangan pekerja asing yang ramai dikatakan tidak lagi diperlukan buat masa ini. Justeru, ada pihak mencadangkan supaya undang-undang khas diwujudkan bagi menangani perkara ini. Ikuti kupasan selanjutnya, esok.

Berita Harian X