Selasa, 16 Jun 2015 | 12:23am
PENDUDUK kampung menyusun beg plastik berisi kain sebagai benteng mengawal hakisan pantai. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENDUDUK kampung menyusun beg plastik berisi kain sebagai benteng mengawal hakisan pantai. - Foto Syarafiq Abd Samad

Malaysia `mengecil' akibat pemanasan global


BATU PAHAT: Pesisiran pantai serta tanah permukaan rendah di Malaysia akan hilang ditenggelami air laut secara kekal antara 0.2 meter sehingga 1.06 meter menjelang 2100 akibat kenaikan paras laut yang disebabkan pemanasan global.

Kawasan yang paling kritikal berdepan ancaman ditenggelami air laut adalah di sepanjang timur laut dan pantai barat Semenanjung, pantai timur Sabah dan pantai barat daya Sarawak.

Unjuran itu dibuat Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menjalankan kajian kes di sini sejak tahun 2012 sebelum menerbitkan kajian berkenaan menerusi buku Kesan Hakisan Pantai dan Kenaikan Paras Air Laut di Batu Pahat: Impak Kepada Komuniti Setempat, yang diterbitkan tahun ini.

PROF Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah. - Foto Syarafiq Abd Samad
PROF Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pengarah IPI UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, berkata kajian kes hakisan pantai dan kenaikan paras air laut di Batu Pahat itu boleh dijadikan rujukan serta penanda aras mengenai fenomena sama yang berlaku di seluruh negara dan perlu diberi perhatian serius terutama bagi mengurangkan impak kepada kawasan penempatan serta kehidupan penduduk negara ini.

"Menerusi Kajian Susulan Impak Peningkatan Aras Laut Akibat Perubahan Iklim terhadap Sosio Ekonomi di Pesisiran Pantai Batu Pahat, kita mendapati kesan utama kenaikan aras laut adalah kawasan dataran pantai rendah dan muara sungai berpotensi ditenggelami air dan mengalami banjir laut, sekali gus memberi impak terhadap sosio ekonomi kawasan kepadatan penduduk tinggi.

BAHAN buangan dijadikan benteng bagi mengawal hakisan pantai di Kampung Tanjung Ayam, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad
BAHAN buangan dijadikan benteng bagi mengawal hakisan pantai di Kampung Tanjung Ayam, Batu Pahat. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Kajian ini adalah susulan kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pada tahun 2010, yang mengenal pasti pesisiran pantai Semenanjung Malaysia akan mengalami kenaikan aras laut antara 0.25 meter hingga 0.52 meter pada tahun 2100,"  katanya.

Hasil kajian itu selari dengan penemuan pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang mendapati beberapa bandar di kawasan rendah di negara ini, terutama berhampiran pantai, mungkin ditenggelami air laut menjelang 2020 berikutan fenomena paras air laut meningkat akibat pemanasan global.

Sharifah Mastura berkata, unjuran kawasan pesisir pantai Malaysia akan ditenggelami air laut yang dibuat berdasarkan pemerhatian satelit altimeter pada 2010 mendapati kenaikan aras laut di Malaysia lebih tinggi iaitu minimum 2.7 milimeter (mm) hingga 7.0 mm setahun berbanding anggaran kenaikan paras laut global dianggarkan hanya 1.8 mm hingga 3.1 mm setahun.

"Sehubungan itu, penyelidik kami mengunjurkan menjelang tahun 2100 kawasan pesisir pantai Malaysia akan ditenggelami antara 0.2 meter sehingga 1.06 meter secara kekal, sekali gus negara bakal kehilangan tanah dalam jumlah yang besar sehingga ribuan hektar sekiranya tiada sebarang langkah pencegahan diambil.

HAKISAN pantai di Kampung Tanjung Ayam, Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad
HAKISAN pantai di Kampung Tanjung Ayam, Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Berdasarkan keputusan simulasi pada tahun 2013 pula mendapati peningkatan aras laut dijangka boleh masuk sejauh 12.9 kilometer ke kawasan darat terutama pada kawasan beralun lebar dan kawasan pantai landai yang mungkin bakal menjejaskan jaringan jalan raya, kawasan perumahan serta populasi," katanya.

Selain itu, Prof Sharifah Mastura yang juga pemegang Kursi UKM-Yayasan Sime Darby mengenai perubahan iklim serta pemenang Anugerah Langkawi 2014 berkata, kajian dilakukan penyelidik IPI UKM turut menyenaraikan saranan serta beberapa langkah adaptasi bagi mengurangkan impak fenomena peningkatan aras laut itu supaya ia dapat diminimumkan.

"Untuk melaksanakannya memang memerlukan kos yang besar, namun demi untuk memastikan masa depan penduduk di kawasan berkenaan terus terbela, sesuatu harus dilakukan," katanya.

KENAIKAN aras laut menyebabkan kawasan dataran pantai yang rendah ditenggelami air. - Foto Syarafiq Abd Samad
KENAIKAN aras laut menyebabkan kawasan dataran pantai yang rendah ditenggelami air. - Foto Syarafiq Abd Samad

INFO

Hasil Kajian Kesan Hakisan Pantai dan Kenaikan Paras Air Laut di Batu Pahat

  • Kawasan seluas 1676.97 hektar di Batu Pahat diramal akan hilang ditenggelami air laut secara kekal pada tahun 2020 iaitu lima tahun lagi.
  • Tambahan sebanyak 1875.93 hektar lagi di Batu Pahat akan hilang ditenggelami air laut secara kekal pada tahun 2040 jika sebarang langkah pencegahan tidak dilaksanakan segera.
Berita Harian X