Selasa, 16 Jun 2015 | 12:01am
BABAK watak Owen, lakonan Chris Pratt bersama dinosaur di dalam filem Jurassic World. - Foto Universal Pictures
BABAK watak Owen, lakonan Chris Pratt bersama dinosaur di dalam filem Jurassic World. - Foto Universal Pictures

Amukan dinosaur hibrid



Judul: Jurassic World
Pelakon: Chris Pratt, Bryce Dallas Howard, Irrfan Khan, Vincent D'Onofrio, Ty Simpskin, Nick Robinson, Jake Johnson dan BD Wong.
Pengarah: Collin Trevorrow
Penulis: Rick Jaffa, Amanda Silver, Collin Trevorrow, Derek Connolly dan Michael Crichton
Genre: Aksi / Pengembaraan / Fiksyen Sains / Cemas
Durasi: 124 minit
Tarikh Tayangan: Mulai 11 Jun 2015

SEBAIK saja judul susulan ini menjengah pawagam mulai Khamis lalu, sokongan padu peminat siri filem Jurassic Park yang mula diperkenalkan pada 1993 dulu sememangnya usah disangkal lagi.

Berduyun-duyun penggemar filem yang mengetengahkan haiwan purba, yang pernah menguasai bumi 65 juta tahun lalu, ke pawagam bagi menyaksikan aksi terbaharu pelbagai dinosaur hasil lakaran grafik komputer nan canggih dan barisan bintang terkini yang menjayakannya.

Ditambah dengan promosi hebat dilakukan, maka tidak hairanlah apabila Jurassic World berjaya muncul judul terbaik dari segi kutipan tayangan minggu pembukaan di seluruh dunia, dengan RM1.93 bilion.

Jumlah itu pula diyakini akan terus meningkat dalam masa beberapa hari lagi, yang seterusnya pasti mengembalikan kegemilangan era Jurassic Park, arahan dan terbitan Steven Spielberg, 22 tahun lalu.

Kejayaan filem pertama itu pula membolehkan judul kedua, The Lost World: Jurassic Park dihasilkan pada 1997, manakala filem ketiga, Jurassic Park III menemui penonton pada 2001.

Seperti yang pernah diimpikan pengasas Jurassic Park, John Hammond, ketika menubuhkan taman tema dinosaur itu lebih dua dekad lalu, kini apa yang dihajatkan lelaki itu menjadi kenyataan.

SALAH satu kemudahan yang disediakan di dalam taman tema Jurassic Park. - Foto Universal Pictures
SALAH satu kemudahan yang disediakan di dalam taman tema Jurassic Park. - Foto Universal Pictures

Taman yang terletak di kepulauan Isla Nubar berdekatan Costa Rica kini dibuka kepada umum dengan tarikan baru, iaitu seekor dinosaur hibrid, dikenali sebagai Indominus Rex.

Haiwan gergasi kacukan DNA beberapa spesies dinosaur serta haiwan lain itu dihasilkan atas permintaan pemilik taman tema terbabit, Simon Masrani, yang mahu menggunakannya sebagai umpan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman berkenaan.

ANATAR babak di mana Indominus Rex hendak menyerang musuh. - Foto Universal Pictures
ANATAR babak di mana Indominus Rex hendak menyerang musuh. - Foto Universal Pictures

Keseronokan pengunjung melihat haiwan zaman purba itu bagaimanapun bertukar menjadi tragedi apabila Indominus Rex terlepas daripada sangkar, seterusnya mengancam keselamatan orang ramai dan haiwan lain di pulau berkenaan.

Panik dengan situasi yang berlaku, Claire Dearing (Bryce Dallas Howard), yang bertanggungjawab terhadap operasi taman tema itu meminta bantuan kakitangannya, Owen Grady (Chris Pratt), bagi menghapuskan dinosaur hibrid terbabit.

ADEGAN watak Owen Grady lakonan Chris Pratt (kiri) dan Claire Dearing lakonan Bryce Dallas Howard. - Foto AP
ADEGAN watak Owen Grady lakonan Chris Pratt (kiri) dan Claire Dearing lakonan Bryce Dallas Howard. - Foto AP

Hakikatnya, karya berdurasi lebih dua jam ini tidak banyak bezanya dengan judul susulan filem Jurassic Park yang lain. Formula yang diguna pakai tetap sama, iaitu kekecohan timbul apabila dinosaur mengamuk dan menyerang manusia.

Cuma bezanya kali ini, dinosaur yang direka itu lebih pintar, amat ganas dan sangat menakutkan. Banyak babak mengerikan dipaparkan dalam naskhah yang dikatakan menelan kos sehingga RM670 juta untuk dihasilkan, sehingga membuat penonton tidak duduk diam dan gelisah menantikan apakah yang akan berlaku seterusnya?

Seperkara yang menarik mengenai filem ini ialah penghasilan imej janaan komputer (CGI) yang dipersembahkan dengan amat teliti sehingga membuatkan kita percaya taman tema dinosaur itu benar-benar wujud. Malah kesan khas yang digunakan juga berjaya membuatkan haiwan prasejarah itu nampak cukup hidup.

Walaupun sarat dengan babak aksi dan mengerikan, filem ini tidak lupa mengetengahkan tema kasih sayang dan semangat kekeluargaan.

WATAK adik-beradik, Zach lakonan Nick Robinson (kiri) dan Gray lakonan Ty Simpkins. - Foto AP
WATAK adik-beradik, Zach lakonan Nick Robinson (kiri) dan Gray lakonan Ty Simpkins. - Foto AP

Watak adik-beradik, Zach dan Gray, yang berkunjung ke taman tema itu diwujudkan bagi menunjukkan betapa unsur kesepakatan diperlukan antara sesama kita walaupun mungkin adanya percanggahan pandangan dalam beberapa perkara.

Lebih utama, penonton sekali lagi diberikan peringatan, andainya manusia cuba menjadi Tuhan, tiada apa yang bakal diperoleh kecuali musibah.

Bagi mereka yang menggemari genre filem seperti ini, Jurassic World harus masuk dalam senarai karya yang tidak harus dilepaskan.

Ends

Berita Harian X