Ahad, 14 Jun 2015 | 12:11am
FARAH Ann bersama keluarganya. - Foto BHOnline
FARAH Ann bersama keluarganya. - Foto BHOnline
PINGAT perak yang dimenangi oleh Farah Ann pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
PINGAT perak yang dimenangi oleh Farah Ann pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
PINGAT emas yang dimenangi oleh Farah Ann pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
PINGAT emas yang dimenangi oleh Farah Ann pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Farah Ann `Ratu Terbang'


FARAH Ann Abdul Hadi bukan nama asing bagi pencinta sukan tanah air, ditambah pula dengan kejayaannya meraih pingat emas dalam acara gimnastik pada Sukan Sea Singapura 2015.

Seminggu dua ini, namanya sering menjadi sebutan di laman sosial, bukan sekadar kejayaannya cemerlangnya dalam sukan gimnastik tetapi juga atas kecantikannya. Ramai yang jatuh cinta, tidak kurang juga yang menyatakan atlet gimnas ini lebih sesuai menjadi pelakon atau model peragaan.

AHLI gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pernah berlakon untuk iklan ketika kanak-kanak.
AHLI gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pernah berlakon untuk iklan ketika kanak-kanak.

Farah Ann dikenali hanya di lantai gimnastik. Tidak ramai yang tahu siapa sebenarnya gadis ini. BH Plus berpeluang bertemu Farah Ann, dua hari selepas beliau menghadiahkan pingat emas buat negara menerusi acara senam lantai gimnastik artistik.

FARAH Ann Abdul Hadi.
FARAH Ann Abdul Hadi.

Farah Ann yang berusia 21 tahun ini menyatakan selain gimnastik, dia sangat menyukai dunia lakonan dan pernah beberapa kali berlakon teater.

"Saya suka drama, suka berlakon sebab rasa seronok bila kita boleh menjiwai pelbagai watak. Saya pernah juga beberapa kali berlakon teater tetapi hanya setakat peringkat sekolah saja. Saya tak rasa yang saya bagus dalam lakonan tetapi saya memang sukakan bidang lakonan. Saya suka buat pelbagai watak, gembira menangis dan paling saya suka, buat watak 'gedik'.

FARAH Ann juga menyimpan impian menjadi peragawati.
FARAH Ann juga menyimpan impian menjadi peragawati.

"Saya juga pernah berlakon untuk iklan, ketika itu saya masih kanak-kanak lagi. Saya masih ingat lagi saya berlakon dalam iklan kitar semula dan iklan KLCC," katanya.

Farah Ann mengakui ramai sering beranggapan beliau sombong dan sukar didekati. Jelas Farah Ann, beliau memiliki dua karakter yang berbeza.

Beliau bukanlah sombong tetapi malu apabila bersama dengan orang yang baru dikenali, justeru, beliau lebih suka berdiam diri dan duduk berseorangan.

FARAH Ann meminati bidang lakonan dan pernah beberapa kali berlakon teater. - Foto BHOnline
FARAH Ann meminati bidang lakonan dan pernah beberapa kali berlakon teater. - Foto BHOnline

"Tapi kalau dengan orang yang saya rapat seperti kawan-kawan, baru karakter sebenar diri saya akan keluar. Saya seorang yang kuat gelak dan suka buat perkara yang gila-gila. Kalau dalam pasukan, saya lebih bersifat 'mummy' (keibuan), mungkin sebab saya antara senior dalam pasukan dan nak semua orang fokus tapi selalunya jadi 'mummy' yang gila-gila.

"Sebenarnya saya seorang yang 'clumsy' (cemerkap). Kalau bercakap, saya suka gerakkan tangan, tak boleh duduk diam. Sampai ada peristiwa saya pernah jatuhkan cawan dua kali sebab sambil bercakap tangan saya pun bergerak sama.

"Agak pelik seorang gimnastik boleh 'clumsy', tapi inilah diri saya. Sampaikan saya boleh terjatuh sendiri masa tengah berjalan. Kalau nak kira berapa kali telefon saya jatuh, memang tidak terkira sampaikan kawan-kawan suruh saya gunakan casing besi," katanya.

Melihatkan raut wajahnya yang lembut, ditambah aksi gemalainya ketika melunaskan tugas di lantai gimnastik, tidak percaya rasanya apabila Farah Ann memberitahu beliau adalah seorang kanak-kanak yang terlalu aktif ketika kecil.

Beliau seorang kanak-kanak yang tidak reti duduk diam, suka memanjat, bergayut, menjerit dan menangis sehingga membuatkan ibu bapanya mengambil keputusan menghantarnya ke kelas gimnastik sejak usia tiga tahun lagi.

ANTARA pingat yang dimenangi oleh Farah Ann. - Foto BHOnline
ANTARA pingat yang dimenangi oleh Farah Ann. - Foto BHOnline

"Mummy pernah cerita, ketika itu mummy bawa saya ke pusat beli-belah. Masa tengah beli barang, saya boleh buat perangai menjerit dan menangis yang terlalu teruk. Disebabkan perangai aktif keterlaluan itu membuatkan mummy tak jadi membeli-belah, tinggalkan barang-barang dan terus balik.

"Tapi sejak saya belajar gimnastik, perwatakan saya mula berubah. Gimnastik banyak mengajar saya karakter diri, disiplin, mengawal emosi dan tahu menilai kehidupan. Saya belajar macam mana nak kawal diri ketika susah dan senang, bila kecewa macam mana nak tenangkan diri. Paling penting belajar mengenai masa, bagaimana nak bahagikan masa dengan baik," katanya.

Setiap kejayaan pasti ada pendorong dan pembakar semangat. Begitu juga dengan Farah Ann, kejayaannya selama ini banyak mendapat sokongan dan motivasi kedua orang tuanya, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberley Ann Gagnon. Malah, bapa Farah Ann adalah Pengurus pasukan gimnastik negara.

Kimberley Ann ketika bercerita mengenai Farah Ann, mengakui anak kedua daripada tiga beradik itu seorang yang terlalu aktif ketika kecil. Beliau tidak menyangka kanak-kanak 'nakal' itu mampu menjadi kebanggaan negara.

Ketika ditanya bagaimana beliau memastikan Farah Ann dapat membahagikan masa antara sukan dan pelajaran dengan baik, Kimberley menyatakan, itulah pentingnya peranan ibu bapa.

"Kita perlu pastikan walaupun berlatih gimnastik, dia tidak lupakan pelajaran. Kami sentiasa pastikan Farah dan adik-beradiknya tidak lupa dengan pelajaran. Boleh dikatakan kami sendiri turut menjadi guru, ajar dan tolong mereka membuat kerja rumah. Pengorbanan ibu bapa perlu ada bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam apa juga bidang yang diceburi," katanya.

FARAH Ann bergambar kenangan bersama kakaknya, Katrina Ann (kiri) serta ayahnya, Abdul Hadi di Sukan SEA, Singapura.
FARAH Ann bergambar kenangan bersama kakaknya, Katrina Ann (kiri) serta ayahnya, Abdul Hadi di Sukan SEA, Singapura.

Bagi Abdul Hadi pula, ibu bapa perlu sentiasa memberikan sokongan kepada anak kerana kejayaan anak adalah kejayaan keluarga.

"Tidak kira Farah atau kakaknya (Ratu renang berirama Malaysia, Katrina Ann Abdul Hadi), kami akan pastikan kami sentiasa memberi sokongan. Malah, sepanjang mereka menjadi atlet dan bertanding, tidak pernah sekalipun kami terlepas hadir memberikan sokongan, tidak kira di dalam atau di luar negara. Kami sentiasa ada, kalau pun tidak pergi berdua, mesti ada seorang daripada kami, saya sahaja atau ibunya.

"Boleh dikatakan kami jadi pemandu, pembantu peribadi dan pengurus mereka. Terpaksa berkorban ambil cuti, pergi temankan mereka. Setiap pengorbanan pasti ada hikmahnya, jangan putus asa dan sokong apa minat anak," katanya.

FARAH Ann beraksi untuk rutin `beam' pada pusingan akhir gimnastik artitisk individu wanita Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
FARAH Ann beraksi untuk rutin `beam' pada pusingan akhir gimnastik artitisk individu wanita Sukan SEA 2015 di Kompleks Sukan Bishan, Singapura. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

6 soalan untuk Farah Ann

Warna kesukaan?

Saya suka warna hijau tapi sekarang ini lebih suka warna ungu. Kadang-kadang warna merah jambu pun nampak menarik.

Makanan kegemaran?

Saya suka makanan dan makan. Semua makanan saya suka, bagi apa saja, mesti akan habis saya makan. Tapi kalau tanya makanan yang boleh dimakan setiap hari, saya rasa 'salmon sushi'. Makanan kampung pun sedap, tambah pula kalau ada sambal tempoyak.

Pandai masak?

Tidak pandai, bukan tidak mahu belajar masak tapi tidak ada kesempatan. Kalau masak untuk diri sendiri itu boleh tapi masak untuk orang lain itu, mungkin tidak. Tak nak dipersalahkan kalau sakit perut.

Aktiviti yang paling digemari jika tiada latihan gimnastik?

Saya suka membaca, suka benda yang tenang macam pantai. Aktiviti paling digemari adalah selam skuba. Saya ada lesen skuba dan jika ada waktu terluang pergi bercuti, pilihan utama adalah pantai sebab boleh skuba.

Jika bukan seorang gimnastik, Farah Ann adalah seorang?

Tidak pernah terfikir. Mungkin juga seorang pelakon atau tukang masak walaupun saya tidak mahir dalam kedua-dua bidang ini.

Jika diberikan kuasa adiwira, kuasa apa yang diidamkan?

Kuasa terbang, boleh terbang ke mana saja. Tapi sebenarnya saya sukakan kuasa yang boleh menyelamatkan orang. Terbang dan menyelamatkan orang, mungkin boleh jadi The Flying Girl.

Berita Harian X