Ahad, 24 Mei 2015 | 12:01am

Dilema naskhah intelektual

PENGARAH Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron (kiri) bersama ahli panel, Penulis Buku 'Wanita Tahanan Reman', Sri Diah Shaharuddin (dua dari kiri), Zainal Rashid Ahmad (tiga dari kiri) dan Amir Muhammad (dua dari kanan) pada Wawancara Sofa Putih di gerai ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGARAH Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron (kiri) bersama ahli panel, Penulis Buku 'Wanita Tahanan Reman', Sri Diah Shaharuddin (dua dari kiri), Zainal Rashid Ahmad (tiga dari kiri) dan Amir Muhammad (dua dari kanan) pada Wawancara Sofa Putih di gerai ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

SUAPAN intelektual atau tuntutan keuntungan? Nampaknya dua elemen itu seolah-olah saling berselisih dan tidak seiring apabila pembicaraannya membabitkan bahan bacaan yang menggerakkan industri perbukuan di negara ini.

Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan kepentingan karya berunsurkan intelektual termasuk kreatif dalam mendidik masyarakat tetapi bacaan sedemikian tidak berada dalam lingkungan kegemaran masyarakat di negara ini sehingga tidak ramai penerbit sanggup menerbitkannya.

Persoalan keperluan dan usaha untuk menyeimbangkan nilai ilmiah dan soal untung rugi dalam penerbitan buku disentuh dalam Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengurus Besar Penerbitan TV Al Hijrah, Zainal Rashid Ahmad, berkata bahan intelektual sering dipotretkan sebagai keras dan serius seolah-olah 'mengekalkan' penafsiran dekad 1970-an sehingga anak muda 'takut' mendekati naskhah sedemikian.

BUKU hasil tulisan pensyarah pada Festival Akademi Pengajian Melayu. - Foto Saifullizan Tamadi
BUKU hasil tulisan pensyarah pada Festival Akademi Pengajian Melayu. - Foto Saifullizan Tamadi

Pecah tembok persepsi

"Penerbit perlu mencuba langkah baru dan memecahkan tembok yang mengatakan naskhah serius perlu dipasarkan dengan cara lama.

"Mengapa tidak beberapa penerbit bergabung dan menerbitkan umpamanya novel serius yang kemudian diangkat ke drama.

"Mungkin karya seperti itu tetap tidak boleh terjual sehingga 300,000 unit tetapi tidak mustahil ia dapat melepasi 1,500 naskhah yang sebenarnya menjadi petanda yang baik," katanya pada wawancara yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar.

Sementara itu, Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf (GBK), Sri Diah Shaharuddin mengakui usaha mengadun karya intelektual dengan elemen komersial yang dapat menjana keuntungan menjadi cabaran besar kepada penerbit.

ZAINAL (kiri) dan penerbit Buku FiXi, Amir Muhammad pada Wawancara Sofa Putih di gerai ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi
ZAINAL (kiri) dan penerbit Buku FiXi, Amir Muhammad pada Wawancara Sofa Putih di gerai ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Perlu fikirkan untung rugi

"Dalam situasi menentukan bahan bacaan yang ingin dijual, kami sebagai syarikat swasta perlu memikirkan untung rugi.

"Jika dinyatakan sesebuah karya itu tidak akan diterima pasaran sebaliknya tersadai di dalam stor selama enam bulan, kami tidak akan menerbitkannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan isu promosi naskhah intelektual yang perlu berubah 180 darjah sesuai dengan kaedah yang seiring dengan perkembangan hari ini.

"Buku popular pun jika tidak dipromosi, pasti tidak dikenali khalayak. Disebabkan itu, kami melakukan kerjasama dengan rumah produksi bagi mengangkat naskhah itu ke layar televisyen.

"Bagi saya promosi naskhah intelektual perlu berubah. Amat malang buku yang mempunyai kandungan ilmu tinggi tidak dipromosi bersungguh-sungguh hinggakan ramai yang tidak tahu di mana patut mendapatkannya," katanya

PENGUNJUNG, Nur Zaharah Othman, 27, membaca buku Soal Jawab Diet Diabetes yang dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGUNJUNG, Nur Zaharah Othman, 27, membaca buku Soal Jawab Diet Diabetes yang dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Gunakan medium popular

Sementara itu, Penerbit Buku FiXi, Amir Muhammad, berkata karya yang akan memberi impak lebih banyak ialah karya yang diselitkan dalam medium yang sangat popular seperti dilakukan penyair Indonesia, Joko Pinurbo yang menerbitkan karya yang asalnya dipaparkan di laman Twitter.

Katanya, naskhah intelektual perlu dipisahkan daripada wajah tertentu yang menyebabkan pembaca merasa jauh daripada bahan bacaan sedemikian.

Menurut Amir, Sasterawan Negara (SN) pada dekad 1960-an banyak menulis untuk majalah popular, filem dan hiburan tetapi mereka kemudian lebih dikenali sebagai pengarang sastera pada dekad berikutnya.

Sementara itu, pada sesi Bahasa, Sastera, Dunia Cetak dan Budaya Membaca: Bagaimana Persatuan Melestarikannya.

DATUK Zainal Abidin Borhan pada Wawancara Sofa Putih ITBM di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DATUK Zainal Abidin Borhan pada Wawancara Sofa Putih ITBM di PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kemampuan persatuan

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata persatuan mempunyai kemampuan yang berbeza berbanding kerajaan dalam isu itu.

Memberi contoh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Zainal Abidin berkata, persatuan itu melalui 23 badan kerabatnya di seluruh negara sudah menggerakkan bengkel penulisan sejak sekian lama.

Bagaimanapun katanya, peranan itu berbeza jika dibandingkan dengan kemampuan kerajaan misalnya dalam isu mengecualikan industri perbukuan daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sesi itu turut disertai oleh Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah dan Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani.

Berita Harian X