Ahad, 19 April 2015 | 12:01am
UNRWA dilaporkan berjaya menyalurkan semula bantuan kepada 18,000 pelarian Palestin yang terperangkap di Yarmouk pada awal Mac lalu.
UNRWA dilaporkan berjaya menyalurkan semula bantuan kepada 18,000 pelarian Palestin yang terperangkap di Yarmouk pada awal Mac lalu.
RAKYAT Syria dan Palestin di kem Yarmouk.
RAKYAT Syria dan Palestin di kem Yarmouk.

18,000 pelarian Yarmouk sentiasa dalam ketakutan


KUWAIT CITY: "Mereka takut dibunuh, mereka takut anak terbunuh, mereka takut anak pergi sekolah, malah mereka takut untuk ke tempat penghantaran bantuan".

Demikian jelas Jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Christopher Gunnes, kepada BH mengenai kebimbangan 18,000 pelarian Palestin yang terperangkap di Kem Yarmouk di ibu kota Syria, Damsyik, sejak dua tahun lalu.

Katanya, pelarian amat bimbang mengenai keadaan keselamatan di kejiranan itu, yang kini bertukar menjadi medan pertempuran utama di Damsyik sejak dikepung tentera kerajaan pada akhir tahun 2012.

Lebih memburukkan keadaan, militan Negara Islam (IS) mula menguasai Yarmouk selepas bertempur dengan pejuang dari Aknaf Bayt al-Maqdes (kumpulan sama yang menentang tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad) awal bulan ini.

PELARIAN amat bimbang mengenai keadaan keselamatan di kejiranan itu yang kini bertukar menjadi medan pertempuran utama di Damsyik.
PELARIAN amat bimbang mengenai keadaan keselamatan di kejiranan itu yang kini bertukar menjadi medan pertempuran utama di Damsyik.

IS mula menguasai Yarmouk selepas bertempur dengan pejuang dari Aknaf Bayt al-Maqdes.
IS mula menguasai Yarmouk selepas bertempur dengan pejuang dari Aknaf Bayt al-Maqdes.

"Setiap minit keadaan semakin teruk," kata Gunnes ketika ditemui wartawan BH sempena Persidangan Antarabangsa Kemanusiaan Bagi Mengumpul Dana Untuk Syria di Bayan Palace, Kuwait City, baru-baru ini.

Syria sebelum ini menjadi tuan rumah kepada lebih setengah juta pelarian Palestin selepas tanah mereka dirampas rejim zionis Israel pada tahun 1948.

Sebelum konflik perang Syria meletus pada tahun 2011, terdapat hampir 180,000 pelarian Palestin menetap di Yarmouk, selain didiami hampir sejuta warga tempatan.

Bagaimanapun, kawasan itu bertukar menjadi medan pertempuran antara kumpulan penentang dan tentera kerajaan yang masih setia kepada Assad.

Beberapa kumpulan penentang, termasuk militan Jabhat Al-Nusra, yang dikaitkan dengan Al-Qaeda berkubu di dalam Yarmouk yang dikepung sepenuhnya tentera kerajaan.

Gunnes berkata, keadaan pelarian Palestin di Syria, termasuk mereka yang terperangkap di Yarmouk semakin tenat dengan lebih 95 peratus berharap kepada bantuan asing.

JURUCAKAP Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Christopher Gunnes.
JURUCAKAP Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Christopher Gunnes.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila Lubnan dan Jordan yang bersempadan dengan Syria, menutup kemasukan pelarian Palestin ke wilayah mereka.

"Masalahnya, kami (UNRWA) juga tak cukup dana (bagi menampung keperluan pelarian Palestin)," katanya menjelaskan badan dunia itu terpaksa memotong peruntukan bantuan kewangan kepada pelarian Palestin akibat kekurangan dana.

Media sebelum ini melaporkan mengenai pelarian Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan di Gaza selepas bantuan kewangan itu dihentikan.

Mengulas mengenai Yarmouk, Gunnes berkata, keadaan di kem pelarian itu semakin mendesak berikutan situasi keselamatannya yang tidak menentu.

 PELARIAN Palestin di Syria termasuk mereka yang terperangkap di Yarmouk semakin tenat dengan lebih 95 peratus berharap kepada bantuan asing.
PELARIAN Palestin di Syria termasuk mereka yang terperangkap di Yarmouk semakin tenat dengan lebih 95 peratus berharap kepada bantuan asing.

UNRWA dilaporkan berjaya menyalurkan semula bantuan kepada 18,000 pelarian Palestin yang terperangkap di Yarmouk pada awal Mac lalu selepas lebih dua bulan gagal menghantar bantuan makanan ke kem pelarian itu.

"Jumlah bantuan itu amat kecil. Tahun lalu, kita mendapat 131 hari akses ke Yarmouk dengan purata beberapa dozen kotak makanan berbanding keperluan sebenar 400 kotak makanan sehari di Yarmouk.

"Situasi pelarian Yarmouk amat terdesak. Kita minta semua pihak beri sokongan," katanya berharap penyelesaian politik disegerakan.

Media melaporkan ada pelarian mati akibat kebuluran di kem pelarian itu selain kes bayi mati akibat cuaca sejuk yang melanda Syria awal tahun ini.

Berita Harian X