Khamis, 16 April 2015 | 12:07am

SIRI MISTERI: Di mana lokasi bahtera Nabi Nuh?

RAMAI percaya Banjaran Ararat menjadi tempat bahtera Nabi Nuh berlabuh.
RAMAI percaya Banjaran Ararat menjadi tempat bahtera Nabi Nuh berlabuh.

SEBILANGAN penyelidik yakin bahtera Nabi Nuh masih wujud sehingga ke hari ini tetapi mukjizat agung berusia ribuan tahun itu tersembunyi di lokasi rahsia yang tidak diketahui ramai pihak.

Kisah pembinaan bahtera Nabi Nuh dan banjir besar melanda kaumnya bukanlah mitos atau dongeng tetapi peristiwa itu diyakini pernah berlaku dalam lipatan sejarah ribuan tahun lalu.

Hal ini disebabkan kisah benar membabitkan malapetaka hukuman Tuhan dan pembinaan kapal agam itu diceritakan dalam kitab tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Mengikut Islam, kisah bahtera Nabi Nuh difirmankan Allah SWT menerusi ayat ke-64 surah al-A'raf dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang yang bersamanya di dalam bahtera dan Kami tenggelamkan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)."

Rentetan kisah itu bermula apabila kaum Nabi Nuh enggan mengesakan Allah SWT walaupun Tuhan memberikan mereka pelbagai nikmat.

Nabi Nuh berdakwah siang dan malam tetapi kaumnya enggan mengikuti ajaran Baginda, malah sanggup memperlekeh dan mencabar Allah mendatangkan azab buat mereka.

Umat Nuh kufur

Keangkuhan dan kekufuran umat Nabi Nuh menyebabkan Allah akhirnya memerintahkan rasul itu membina kapal besar di kawasan tinggi yang jauh dari laut sehingga kaumnya menuduh Baginda gila.

Allah kemudian menurunkan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir paling besar dan menenggelamkan serta mengorbankan umat ingkar. Pengikut Nabi Nuh bagaimanapun terselamat kerana menaiki bahtera.

Bala Tuhan itu difirmankan dalam ayat 25, surah Nuh yang bermaksud: "Disebabkan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong bagi mereka selain Allah."

Selepas beberapa lama, banjir surut dan kapal itu berlabuh di satu kawasan, seterusnya bermulalah misteri dalam kalangan pengkaji dalam mencari lokasi bahtera itu tersadai sehingga kini.

Pengkaji Barat menggambarkan bahtera Nabi Nuh berbentuk seakan-akan kotak dengan panjangnya kira-kira 137 meter, 30 meter lebar dan 14 meter tinggi. Mereka juga menganggarkan banjir besar itu berakhir lebih 4,000 tahun lalu.

Mengenai lokasi kapal itu berlabuh, penyelidik Barat merujuk terjemahan Injil yang menyatakan bahtera Nabi Nuh terdampar di Banjaran Ararat antara Turki dan Armenia.

Ekspedisi pencarian

Dengan petunjuk itu, maka ekspedisi pencarian dijalankan sejak ratusan tahun lalu bagi mencari kembali bahtera agung itu untuk dipertontonkan kepada masyarakat moden.

Laman informasi Wikipedia menyenaraikan siri ekspedisi dan dakwaan penemuan lokasi bahtera di Ararat. Antaranya pada 1829, pendaki terkemuka, Dr Friedrich Parrot, menulis dalam jurnalnya `Journey to Ararat' bahawa: "Penduduk Armenia amat yakin bahtera Nabi Nuh berada di puncak Ararat dan bagi menjaga rahsia kewujudannya, tiada manusia dibenarkan menghampiri kawasan itu."

Pada tahun 1883, beberapa pihak termasuk British Prophetic Messenger melaporkan petugas Suruhanjaya Turki yang menyiasat kejadian salji runtuh di Ararat berjaya melihat bahtera itu.

Terdapat juga dakwaan Maharaja Russia, Tsar Nicholas II, menghantar 150 pakar pelbagai bidang untuk mencari bahtera itu di Ararat sekitar 1916 hingga 1918.

Bagaimanapun, laporan ekspedisi tidak sempat dikemukakan kerana Perang Bolshevik meletus di Russia.

Daniel McGivern. - Foto AP
Daniel McGivern. - Foto AP

Terbenam dalam salji

Pertengahan tahun 2004, sekumpulan saintis bersama ahli perniagaan, Daniel McGivern, menyatakan mereka menemui objek yang mempunyai ciri bahtera Nabi Nuh terbenam dalam salji di puncak Ararat.

Cuaca panas tahun itu menyebabkan salji cair dan membolehkan satelit merakamkan gambar berkenaan yang diyakini McGivern bahawa imej itu adalah bahtera Nabi Nuh.

Malangnya, ekspedisi mencari tidak dapat diteruskan apabila gagal mendapat kebenaran kerajaan Turki berikutan kawasan itu amat bahaya dan berada dalam zon perang.

Pada tahun 2007, ekspedisi pertubuhan Noah's Ark Ministries International (NAMI) mendakwa menemui `gua aneh' berdinding kayu di Ararat. Kenyataan itu seolah-olah menggambarkan mereka sudah menjumpai bahtera itu dan masuk ke dalamnya.

Mereka juga mendakwa ujian karbon menganggarkan kayu dinding gua itu berusia kira-kira 4,800 tahun. Lokasi itu bagaimanapun dirahsiakan sehingga kini.

Walaupun ramai percaya banjaran Ararat menjadi tempat bahtera Nabi Nuh berlabuh, malah banyak ekspedisi dilakukan ke sana sejak ratusan tahun lalu, hakikatnya tiada bukti kukuh didedahkan untuk mengesahkan dakwaan itu.

Bukit Judi

Berbanding Kristian, umat Islam mengimani ayat ke-44, surah Hud yang jelas menyatakan bahtera Nabi Nuh terdampar di Bukit Judi.

Bagaimanapun, sehingga kini, lokasi sebenar Bukit Judi masih diperdebatkan. Dalam tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan Bukit Judi terletak di wilayah Al-Jazirah atau barat laut Mesopotamia. Pengkaji, Muhammad Isa Dawud pula menyatakan Bukit Judi terletak di Bhutan.

Terdapat juga kawasan lain turut dikaitkan sebagai lokasi tersembunyinya bahtera Nabi Nuh antaranya Durupinar di utara sempadan Iran, Gunung Alborz di Iran dan di Yaman.

Berita Harian X