Rabu, 15 April 2015 | 12:03am
BELLA memuatnaik gambar bersama Aliff Aziz di laman Instagramnya.
BELLA memuatnaik gambar bersama Aliff Aziz di laman Instagramnya.

Penyanyi kontroversi, Aliff Aziz bercanda dengan gadis Sabah


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz dikhabarkan sudah mempunyai cinta baharu selepas berdepan dengan pelbagai siri kontroversi sebelum ini.

Beberapa kali juga Aliff, 24, dikatakan memuat naik gambar gadis yang dikatakan kekasihnya itu di laman Instagram.

Biarpun tidak secara langsung menjelaskan hatinya sudah dimiliki, ia seakan memberi bayangan jelas mengenai kamar hatinya yang tidak lagi sepi. BH Plus turut melihat laman Instagram gadis berkenaan, yang juga beberapa kali memuatkan gambar mereka bersama dengan keterangan gambar yang berbaur cinta.

Gadis yang dimaksudkan itu berasal dari Sabah dan menetap di ibu kota. Gadis yang dikenali dengan nama Bella Astilah itu juga berjinak-jinak dengan dunia nyanyian. Bella mempunyai adik bernama Didi Astillah, seorang penyanyi naungan Warner Music yang popular dengan lagu Fikirkan Kamu.

ALIFF Aziz pada pra dengar album barunya. - NSTP/Afendi Mohamed.
ALIFF Aziz pada pra dengar album barunya. - NSTP/Afendi Mohamed.

Baru-baru ini, BH Plus bertemu Aliff secara tak sengaja di Pandan Indah dan kebetulan Bella turut ada di samping Didi serta ibu mereka.

Aliff pernah dikaitkan sebagai kaki wanita dan pernah menjalinkan cinta, termasuk dengan seorang pelakon yang kini bergelar isteri kepada seorang ahli politik dan penyanyi yang bakal menamatkan zaman bujang tak lama lagi.

"Kalau cakap bab cinta atau peribadi, bohonglah kalau cakap saya tak ada keinginan untuk berkawan dan berkenalan. Tapi pengalaman banyak mengajar saya terutama dalam soal cinta. Saya tidaklah keterlaluan menulis sesuatu seperti ungkapan I Love You di laman sosial.

"Macam dulu, saya kompang (kongsi) cerita peribadi dan tak jadi, siapa yang malu? Diri sendiri juga yang malu. Cuma berbalik kepada soal ini (merujuk kepada Bella), saya juga manusia biasa. Ia perkara baik apabila saya kenal dengan orang yang baik dengan kita.

"Saya rasa apa yang dikongsi di laman sosial, termasuk Instagram tidaklah keterlaluan seperti dahulu kala. Apapun, doakan saya dalam semua hal, termasuk kerjaya dan peribadi," katanya.

Sepanjang menceburi dunia seni, jejaka tinggi lampai ini pernah dituduh lalok, kaki perempuan, lari dari set penggambaran drama dan pulang ke Singapura sehingga cerita dia dituduh mencuri telefon bimbit di negara kelahirannya.

Aliff mengakui masih ada pihak yang terus skeptikal dengan dirinya.

"Memang ada pihak yang tersinggung dan kurang senang dengan sikap saya. Saya minta maaf. Saya juga manusia biasa yang tak lepas daripada melakukan kesilapan. Saya yang pilih jalan seni ini. Jadi mahu atau tidak saya harus laluinya.

KEMESRAAN Aliff Aziz bersama Bella Astillah begitu terserlah. - Foto Instagram
KEMESRAAN Aliff Aziz bersama Bella Astillah begitu terserlah. - Foto Instagram

"Berilah saya satu peluang untuk membuktikan yang diri ini mahu benar-benar berubah. Berubah bukan dengan kata-kata sahaja tapi dengan tindakan. Cuma harap biarlah perubahan ini dilakukan tanpa tekanan dan datang dari dalam hati.

"Kalau ada yang kata saya ini sudah suam-suam kuku, saya tak kisah. Lebih baik macam ini daripada dikenali dengan kisah negatif bertalu-talu. Nanti orang akan cakap, kata tak berubah tapi buat lagi. Biar perubahan ini terjadi secara perlahan tetapi pasti," katanya.

Kata Aliff lagi, beliau amat berharap orang luar di sana tidak terus menghukum dirinya dengan kisah silam. Pengalaman pahit lalu mahu diluputkan daripada ingatannya.

"Saya bukan nak kata diri ini alim. Tapi biar berubah sekecil zarah pun, itu antara saya dengan Tuhan. Untuk orang macam saya yang dahulu dikenali dengan imej bad boy, saya tahu skeptikal itu takkan terhakis begitu mudah.

"Tetapi, tak semua orang jahat akan jahat selamanya. Tak semua yang nampak baik itu, baik orangnya. Lumrah hidup. Saya manusia biasa. Saya takkan ringan mulut memohon kemaafan andai masih ada yang kurang senang dengan diri ini. Beri saya peluang kerana ia umpama satu nafas baharu," katanya.

Sebelum ini, Aliff ditemui sekitar November tahun lalu di pejabat Sony Music di Publika, Solaris Dutamas. Ketika itu, Aliff muncul selepas sekian lama 'bersembunyi' daripada muncul di khalayak ramai, termasuk rakan media untuk majlis pradengar album terbarunya berjudul Rebirth.

ALIFF Aziz dikatakan sudah bertemu cinta baharu. - NSTP/Afendi Mohamed.
ALIFF Aziz dikatakan sudah bertemu cinta baharu. - NSTP/Afendi Mohamed.

Info Aliff Aziz

* Aliff memiliki album pertama pada usia 16 tahun.

* Aliff kini sibuk melunaskan album keempatnya, Rebirth, yang sudah tertunda lama ekoran beberapa masalah.

* Kehadiran Rebirth itu membawa semangat baharu serta umpama kelahiran semula buat dirinya.

* Antara lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan ialah Selayaknya Aku, Hari Ini, Coba, Setelah Kau Pergi, Dengarkan Aku, Pujangga, Novella, Tak Ada Cinta Sepertimu serta Dan Lagi Cinta.

* Adiknya, Aisyah Aziz turut mengikut jejaknya dan pernah menyertai Akademi Fantasia 2013.

* Aliff berjaya merangkul gelaran sebagai juara Anugerah 2007 di Singapura.

* Lagu popularnya, Sayang Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku.

Berita Harian X