Ahad, 5 April 2015 | 12:03am

Hafreez Adam akui rapat dengan Izreen Azminda


KUALA LUMPUR: Di sebalik spekulasi yang timbul mengaitkan wujud cinta lokasi drama Eksperimen Cinta terbitan Zeel Production antara Izreen Azminda dan Fahrin Ahmad, nama Hafreez Adam yang pernah dikaitkan dengan pelakon wanita itu masih berbekas.

Kebelakangan ini dilihat di beberapa acara hiburan termasuk majlis kahwin, Hafreez datang ditemani Izreen. Tapi pintasnya seakan mahu mengalih perhatian, hubungan itu tidak lebih daripada sekadar teman seperjuangan dalam seni.

Malah sempat diusik dengan pertanyaan apakah dia sudah berpunya, jejaka bernama penuh Hafreez Adam Aizat Zahalan itu memilih untuk tidak menjawab soalan menyentuh peribadinya.

"Saya memang tak akan jawab soalan peribadi. Tetapi dengan Izreen kami kawanlah. Mula kenal kerana kelab peminat masing-masing. Kebetulan ada dalam kalangan peminat memang meminati sesama kami sehingga menganjurkan acara bersama.

IZREEN Azminda dan Hafreez Adam. - Foto Munira Abdul Ghani
IZREEN Azminda dan Hafreez Adam. - Foto Munira Abdul Ghani

"Tak sangka pula selepas acara itu, kami ditawarkan berlakon bersama dalam telefilem 5 Kali Cinta. Saya rapat dengan dia dan menyenangi sikapnya.

"Dia pelakon senior yang sentiasa memberi tunjuk ajar, berkongsi ilmu dan nasihat," katanya yang baru muncul dengan drama Hati Perempuan untuk slot Akasia TV3 bermula sejak 30 Mac lalu.

Calon artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 ini sedang mengukuhkan profil seninya. Malah selepas menyertai syarikat pengurusan Uprising Entertainment, kerjaya seninya kian teratur.

Mengenai pencalonan sulung sebagai top 5 di ABPBH 2014, Hafreez menyifatkan ia sebagai ruang terbaik untuk terus mendekatkan diri dengan peminat apatah lagi anugerah berkenaan bersandarkan undian daripada peminat.

"Saya lagi dekat dengan peminat kerana ABPBH 2014. Impaknya sangat besar dalam kerjaya seni saya. Tawaran sentiasa ada. Malah ada tawaran yang terpaksa dilepaskan kerana bercanggah. Menang atau kalah soal kedua," katanya.

Hafreez Adam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Hafreez Adam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

INFO

Hafreez Adam

- Bermula dengan drama rantaian, Tanah Merah, kemunculannya dalam Puteri Malam yang pernah disiarkan TV9 memberi kesan hingga melonjakkan nama bakat beliau.

- Ketika ini slot Akasia TV3 berjudul Hati Perempuan turut dibintanginya.

- Berasal dari Kuala Lumpur.

- Pernah menyertai pertandingan Hero Remaja 2012.

- Kini menaungi syarikat pengurusan artis Uprising Entertainment.

DIDIE Alias (kiri) dan Deen HotFM (kanan) menemuramah Shah Iskandar (dua dari kanan), Christina Suzzane (tengah) dan Hafreez Adam pada siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 di Berjaya Megamall Kuantan. - Foto Aziah Azmee
DIDIE Alias (kiri) dan Deen HotFM (kanan) menemuramah Shah Iskandar (dua dari kanan), Christina Suzzane (tengah) dan Hafreez Adam pada siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 di Berjaya Megamall Kuantan. - Foto Aziah Azmee

Berita Harian X