ASAM pedas sememangnya hidangan sinonim dan cukup popular di Melaka dan Johor. Lazimnya masakan ini menggunakan ikan patin, parang, mayong dan pari sebagai bahan utama.
Selain Johor dan Melaka, Kedah juga antara negeri turut popular tetapi dengan cara yang berbeza dari segi bahan dan kaedah penyediaannya.
Asam pedas Kedah direbus dan menggunakan sedikit belacan manakala asam pedas Johor dan Melaka pula ditumis menggunakan halba.
Kesamaan tercipta dalam semua jenis asam pedas ialah menggunakan daun kesum dan bunga kantan menaikkan aroma.
Bahan lain seperti cili kering, bawang putih, bawang merah, belacan kisar dan serai menjadikan ia lengkap sebagai hidangan istimewa yang penuh menyelerakan.
Bagaimanapun, untuk menikmati kelainan asam pedas ini, Hotel Seri Pacific tampil dengan cara masakan berbeza iaitu menggunakan bahagian ekor lembu dengan limau mangga.
Chef eksekutif Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, Chef Mohd Saad Othman, berkata keenakan resipi ini setanding dengan yang ada di Melaka mahupun Johor.
"Resipi ini, saya cipta berbeza berbanding resipi asam pedas lain. Keistimewaannya apabila ia dimakan dengan jeruk mangga bagi menambah rasa masam," katanya.
Di bawah cara penyediaan asam pedas ekor lembu dengan limau mangga
(hidangan untuk tiga orang).
Bahannya:
* 50 gram (gm) - bawang merah
* 30 gm - bawang putih
* 10 gm - halia
* 40 gm - cili kering
* 20 gm - cili boh
* 40 gm - jus asam jawa
* 5gm - belacan
* 1 biji - bunga kantan (keping)
* 3 batang - serai (diketuk )
* 5 gm - daun kesum
* 3 helai - daun limau
* Minyak masak
Bahan tambahan:
* 3 keping - limau mangga
* 2 sudu - jus tomato
* 2 sudu jus - limau nipis
* 1 kilogram (kg) - bahagian ekor lembu (direbus empuk )
Caranya :
1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai sehingga naik bau.
3. Tambah cili boh, cili kering dan belacan dan tumis lagi.
4. Tuangkan sedikit jus daging lembu ke dalam kuali dan tambahkan sedikit jus asam jawa.
5. Rebus sehingga daging lembut, masukkan bunga kantan, daun kesum, daun limau purut dan garam.
7. Akhir sekali tambah sedikit sos tomato dan biarkan mendidih sebentar.
8. Hiaskan dengan hirisan jeruk mangga dan hirisan limau dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas.
Info:
* Empat jenis asam digunakan dalam masakan asam pedas iaitu air limau, cuka, asam gelugur dan asam jawa.
* Dua jenis asam pedas iaitu rebus dan tumis.
* Kedah, Johor dan Melaka mempunyai asam pedas berbeza dengan ciri tersendiri.
* Di Johor, asam pedas ayam dan daging tetel adalah keunikan bagi menu itu.
* Ikan yang sering digunakan untuk asam pedas antaranya mayong, duri, parang, tenggiri dan pari.
* Di Melaka dan Johor , anda boleh menikmati asam pedas dalam mangkuk tanah liat.
* Bahan sampingan untuk asam pedas adalah nanas, belimbing buluh, mangga muda, bendi, terung, daun kesum, bunga kantan, daun limau purut dan daun buas.
Petua asam pedas:
1. Gunakan ikan segar kerana kuah asam pedas automatik sedap dan manis jika kita guna ikan segar berbanding ikan lama.
2. Jangan guna cili boh atau cili kisar di jual di pasaran kerana bahan pengawet mencacatkan rasa. Guna cili kering dan kisar sendiri.
3. Gunakan kunyit hidup.
4. Jika suka kuah pekat, masukkan dua atau tiga biji tomato.
Terima kasih: Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur