Isnin, 6 Februari 2023 | 5:07pm

Tiga kampung di bandar baharu banjir selepas hujan lebih 2 jam

BANDAR BAHARU: Hujan lebat lebih dua jam sejak 2 petang tadi menyebabkan tiga kampung di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat.

Tiga kampung itu adalah Kampung Seribu Relong, Kampung Sungai Itam Dalam dan Kampung Sungai Terap Dalam yang masing-masing mula dinaiki banjir jam 3.18 petang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, setakat jam 4.30 petang ini paras air banjir direkod mencecah 0.5 meter.

"Pasukan APM Bandar Baharu melakukan pemantauan paras air sungai dan mendapati Sungai Terungsing dan Sungai Air Punti kini melebihi paras bahaya.

"Pemantauan juga mendapati air sungai mengalir laju dan deras," katanya.

Abdul Rahim menasihati penduduk sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa, selain sedia untuk berpindah sekiranya paras air semakin meningkat.

Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk memindahkan mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

Anggota APM memantau keadaan banjir di bandar baharu. - Foto ihsan APM
Anggota APM memantau keadaan banjir di bandar baharu. - Foto ihsan APM
Berita Harian X