RANTAU PANJANG: Seorang peniaga menyelamatkan lebih 300 burung dan 50 ayam kampung yang dipeliharanya ke tempat selamat, berikutan kedai haiwan serta rumahnya di Kampung Tersang di sini, dinaiki air sejak tiga hari lalu.
Peniaga, Mohd Sirwan Rajiun, 40, berkata dia mengalihkan kesemua haiwan itu ke tempat lebih tinggi hari ini berikutan kedai dan rumahnya dinaiki air lebih satu meter.
Katanya, lebih 10 ayam kampung yang dipeliharanya mati sebelum ini akibat paras air semakin meningkat.
"Untuk mengelakkan lebih banyak burung dan ayam mati, saya bertindak mengalihkan kesemuanya ke tempat yang tinggi hari ini.
"Banjir di kampung ini membabitkan 60 rumah berikutan air dari Danau Tok Uban dilepaskan dan masuk ke kawasan ini.
"Keadaan cuaca amat baik dan tidak hujan, namun disebabkan air dilepaskan menyebabkan rumah saya dan penduduk lain dinaiki air," katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.
Bapa kepada lima anak itu berkata, ketika banjir pada Februari dan Disember tahun lalu, lebih 1,000 ternakan termasuk ayam kampung, burung dan lembu peliharaannya mati menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM200,000.
Katanya, kematian haiwan peliharaan itu dipercayai akibat kesejukan kerana berada di dalam banjir dalam tempoh yang lama.
"Kebiasaannya kampung ini akan dilanda banjir termenung sehingga lebih dua minggu, berikutan air tidak dapat mengalir keluar.
"Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak dapat bekerja dalam tempoh lama terutama mereka yang menoreh getah, pokok kelapa sawit mati dan tanaman lain juga musnah, " katanya.
Katanya, berikutan itu dia memohon pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan membuka saluran benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) bagi memudahkan air keluar dari kampung ini.