Ahad, 5 Februari 2023 | 10:31pm
Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (dua dari kiri) mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya.
Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (dua dari kiri) mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya.

Penantian 24 tahun pemilik rumah Bandar Sungai Buaya berakhir

HULU SELANGOR: Penantian lebih 24 tahun pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, dekat sini untuk mendapatkan hak milik individu kediaman masing-masing, akhirnya menjadi kenyataan.

Penyerahan surat kelulusan hak milik individu dilangsungkan pada majlis dihadiri 300 pemilik rumah yang disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad yang mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Majlis di pejabat syarikat pemilik tanah, Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB) itu turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri; Jurutera Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali serta wakil pengurusan MJDB.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad yang mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Sharipada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya.
Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad yang mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Sharipada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya.

Mohamad Hanafe berkata, Kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya dan memastikan isu geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah diselesaikan.

"Dengan kelulusan hak milik ini yang akan disusuli pengeluaran geran hak milik individu selepas ini, pemilik rumah akan dapat melaksanakan urusan pindah milik, jual beli, pembahagian harta pusaka dan urusan-urusan lain dengan lebih mudah.

"Baki lagi 3,130 pemilk rumah akan menerima surat kelulusan hak milik individu secara berfasa dan dijangka selesai menjelang Mac ini," katanya.

Setakat ini, surat kelulusan itu sudah diserahkan kepada 450 pemilik, bermula 16 November lalu di Dataran Niaga Serendah membabitkan 100 pemilik dan kemudian pada 4 Disember, membabitkan 50 pemilik sempena program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, walaupun masih terdapat sebahagian besar pemilik belum menyelesaikan kos yang diperlukan, kecekapan pentadbiran pegawai daerah dan PDTHS telah berjaya merungkai isu berkenaan bersama tuan tanah, iaitu MJDB.

"Hasil persetujuan bersama, sebahagian besar kos telah diserap oleh MJDB dan penduduk yang pada hakikatnya hanya perlu membayar sekitar satu pertiga sahaja daripada kos sebenar.

"Inilah pentingnya penduduk memilih pentadbiran kerajaan yang memikirkan masalah rakyat secara holistik dan memikirkan penyelesaian sehingga ke akarnya," ujar beliau.

Sekretariat Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Mahmod Mat Ali yang turut hadir pada majlis itu, berkata GNBSB banyak memainkan peranan dengan menjadi pemudah cara di antara pemilik rumah dan MJDB dalam melancarkan proses permohonan geran hak milik individu itu.

"GNBSB telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan MJDB dan setiap kali selepas pertemuan, akan memberi pencerahan kepada penduduk melalui 16 wakil NGO gabungan GNBSB.

"NGO-NGO telah memperjuangkan isu hak milik individu ini agak lama dan menghadapi masalah selama ini kerana pemaju asal Bandar Sungai Buaya telah muflis," katanya turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu merealisasikan hasrat penduduk.

Katanya, pada peringkat awal, ada sesetengah penduduk meragui dan tidak yakin akan diberikan hak milik individu, namun perkembangan terkini bersama dokumen berkaitan yang sudah mula disampaikan menghapuskan kegusaran mereka.

Rata-rata penduduk yang ditemui, bersyukur dan terharu dengan usaha pelbagai pihak menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang telah berlanjutan sekian lama.

Zulkifli Abu Bakar, 62, yang menetap lebih 20 tahun di Bandar Sungai Buaya, doa dan kesabaran beliau selama ini terbalas dengan hasil yang diharapkan.

"Penyerahan Notis 5A ini dikira penghujungnya. Syukurlah 24 tahun menanti, penantian yang cukup lama, terima kasih banyak. Ramai kawan-kawan yang sudah pergi dulu, jadi kita yang masih ada ini, bersyukurlah," katanya sebak dan terharu menerima surat kelulusan hak milik tersebut.

Pesara kerajaan, Suhaimi Ariffin, 62, berkata surat kelulusan hak milik individu itu menjadi harta paling berharga untuknya dan akan terus dihadiahkan kepada anak beliau.

"Sudah lama beli rumah di situ dan bersyukur dapat hak pemilikan sepenuhnya setelah bersara. Perjuangan ini atas kerjasama semua penduduk, usaha dan doa semua Allah makbulkan. Saya harap selepas ini, kawasan ini dibangunkan," katanya.

Berita Harian X