Ahad, 5 Februari 2023 | 12:56pm
Inap Desa Pos Gob sedia ada akan diselenggara dan 11 unit baru akan dibina. - Foto NSTP/PAYA LINDA YAHYA
Inap Desa Pos Gob sedia ada akan diselenggara dan 11 unit baru akan dibina. - Foto NSTP/PAYA LINDA YAHYA

Inap desa baru di Pos Gob

GUA MUSANG: Inap Desa Pos Gob yang dulunya terkenal dalam kalangan peminat sukan pacuan empat roda akan dibangunkan kembali dengan membina 11 inap desa baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, berkata inap desa itu menjadi tumpuan pemandu pacuan empat roda walaupun berada jauh di pedalaman dan keadaan jalan mencabar.

Katanya, aktiviti eko-pelancongan itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Kita dapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kira-kira 11 rumah inap desa.

"Saya difahamkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) akan membina lima buah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membina enam buah inap desa untuk kemudahan pelancong.

"Kita juga dapat peruntukan RM250,000 untuk membina dewan terbuka," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha itu akan mengubah taraf ekonomi masyarakat Orang Asli kaum Temiar di kampung itu.

Katanya, Pos Gob mempunyai keindahan alam semula jadi seperti sungai yang bersih dan air terjun.

Penduduk Pos Gob, Aman Pak Ngah, 47, berkata usaha yang dilakukan oleh berkenaan bagi membangunkan eko-pelancongan disambut baik penduduk tempatan.

"Pelancong dapat melihat sendiri cara hidup Orang Asli di kawasan ini. Kami juga akan mendapat manfaat dengan menjual hasil hutan dan kraftangan kepada pelancong," katanya.

Berita Harian X