JERANTUT: Kebanyakan sayur kampung seperti pucuk paku, maman, rebung, nangka muda dan ulam-ulaman yang sebelum ini hanya dijual RM2 seikat atau sebungkus, kini tidak lagi boleh dibeli pada harga berkenaan.
Mengeluh mengenai perkara itu, suri rumah, Khariah Mat Isa, 48, berkata sekarang sayur kampung berkenaan dijual pada harga RM3 hingga RM5 seikat atau sebungkus.
"Saya sedar kenaikan ini berlaku sejak pertengahan tahun lalu. Kini agak sukar untuk mendapat ikatan sayur kampung yang berharga RM2. Selain harga makin mahal, ikatan sayur pun semakin kecil dan tidak seperti dahulu.
"Sekarang dah tak ada RM2 seikat atau sebungkus. Semua dah jadi RM3 dan ada dijual RM5," katanya ketika membeli-belah di Pekan Sehari Jerantut, di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati harga sayuran terbabit seperti kerdas, jering ada dijual dengan harga RM5 sepiring manakala terung pipit dan terung asam, RM3 sepiring.
Sementara sayur kampung dan ulam-ulaman seperti pucuk ubi, ulam putat, pegaga, selom, ulam raja dan maman dijual pada harga RM3 seikat.
Pesara, Shamsul Bahari, 56, mengakui terkejut dengan kenaikan harga sayur kampung berbanding dahulu.
Katanya, sejak Julai tahun lalu, banyak barangan naik harga dan bila datang ke sini, saya terkejut juga apabila lihat harga sayur kampung turut meningkat.
"Saya suka datang ke Pekan Sehari yang diadakan seminggu sekali kerana berminat membeli sayur kampung dan ulam-ulaman.
"Selain itu saya nak menyokong peniaga kecil yang berniaga seminggu sekali dan berharap harga tidak terus naik sehingga membebankan pengguna," katanya.
Peniaga sayur yang tidak mahu dikenali pula mendakwa kenaikan itu berlaku berikutan kesukaran mendapat bekalan.
Katanya, kenaikan itu juga berpunca daripada pekebun yang menjualnya dengan harga tinggi.
"Saya dapat bekalan daripada orang kampung dan akui memang ada pelanggan merungut kerana harga lebih mahal. Pembekal dari kampung juga mendakwa sukar menyediakan bekalan dengan banyak kerana banyak kebun ditenggelami air berikutan banjir," katanya.