RANTAU PANJANG: Seorang pelajar lelaki terpaksa meredah banjir dengan mendayung perahu sejauh 400 meter (m) untuk ke sekolah selepas kampungnya di Kampung Lanchang dinaiki air.
Lebih malang, pakaiannya basah kerana air yang memasuki perahu menyebabkan dia tidak dapat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, yang jaraknya hampir 15 kilometer (km).
Shuhadi Putra Mohd Mamaruddin, 13, mengakui agak sedih kerana tidak dapat ke sekolah walaupun sudah berusaha untuk keluar dari penempatan yang dinaiki air mencecah 1.5m.
"Saya sudah keluar awal dari rumah untuk mendayung perahu ke tempat selamat sebelum menunggang motosikal untuk ke sekolah. Tetapi paras air yang agak tinggi serta deras menyebabkan saya sukar mengawal perahu dan membawanya dengan perlahan.
"Saya turut membawa nenek bersama kerana dia mahu keluar mencari makanan. Kami tidak menyangka banjir naik mendadak sebegini, jadi keperluan dapur juga tidak disediakan lebih awal.
"Selepas ini saya akan menelefon guru untuk memaklumkan keadaan sebenar," katanya ketika ditemui di Kampung Lanchang, di sini, hari ini.
Tinjauan ke beberapa penempatan rendah sekitar Rantau Panjang, hari ini, mendapati ada kampung digenangi air sejak semalam seperti Kampung Tersang dan Kampung Luar, selain beberapa jalan tidak boleh dilalui.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, air Sungai Golok melepasi paras amaran dengan bacaan 8.85m, setakat jam 9 pagi ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Tersang, di sini, Marlina Abd Rahman, 43, berkata tiada hujan lebat yang berlaku di kawasan itu tetapi air tiba-tiba muncul dan naik dengan mendadak.
"Keadaan ini mungkin berlaku susulan paras Sungai Lachang yang memang berada pada paras tinggi, ditambah dengan penambahan air dari Sungai Golok akibat hujan lebat di sebelah hulu.
"Saya berharap banjir ini segera reda kerana penat bah pada Disember lalu, masih terasa. Saya tidak mahu kehilangan harta benda sekali lagi," katanya.