Khamis, 1 Disember 2022 | 10:33am
Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar. - NSTP/ARKIB
Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar. - NSTP/ARKIB

Syor buka pintu sempadan Perlis-Thailand hingga tengah malam

KANGAR: Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, dekat sini perlu dibuka sehingga jam 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini bagi merancakkan ekonomi di kawasan Padang Besar.

EXCO Kemudahan dan Prasarana, Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam Perlis, Izizam Ibrahim, berkata sejak dulu lagi, Padang Besar menjadi pusat pertumbuhan ekonomi di sempadan bagi negeri ini.

Katanya, Padang Besar menjadi tempat tumpuan pelancongan, terutama dengan kewujudan arked niaga serta tempat menjamu selera.

"Kita melihat Padang Besar sudah menjadi tempat tumpuan pelancong untuk membeli-belah, namun pertumbuhan ekonomi ini hanya wujud pada waktu siang. Menjelang malam, pekan itu dilihat 'mati'.

"Kita sering dengar pendapat orang ramai bahawa Padang Besar ini 'hidup' di siang hari, tapi 'mati' pada waktu malam apabila tiada langsung aktiviti ekonomi atau kunjungan pelancong di kawasan itu.

"Disebabkan itu, kita cadangkan agar waktu operasi pintu sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Padang Besar dapat dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam berbanding 10 malam pada waktu ini," katanya.

Ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini, beliau berkata, lanjutan waktu pembukaan pintu sempadan itu akan menjadikannya sama seperti pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi itu melihat perkembangan sosio ekonomi di Padang Besar dapat dihidupkan kembali menjadi tarikan pelancong sekiranya satu pembangunan prasarana di situ dapat ditingkatkan.

"Kerajaan terdahulu ada membuat inisiatif Persiaran Makanan Bintong, kawasan itu meriah dengan gemerlapan lampu di sepanjang Jalan Raja Syed Saffi. Pelancong dapat menikmatinya sambil menjamu selera.

"Bagaimanapun, saya melihat kekurangan tapak parkir untuk pelancong dan masyarakat tempatan menyebabkan ia menjadi tempat yang tidak fleksibel kepada orang ramai. Namun, idea sama boleh dibawa untuk menghidupkan suasana malam di kawasan pekan Padang Besar.

"Boleh wujudkan Pekan Cina atau 'Chinatown' di sekitar kawasan Bank Simpanan Nasional (BSN) agar ia dapat menjadi tumpuan pelancong, termasuk menjamu selera di kedai makan yang banyak di kawasan itu," katanya.

Izizam berkata, pembangunan ekonomi sempadan juga tidak harus bertumpu di Padang Besar sahaja, sebaliknya perlu juga melibatkan kawasan Wang Kelian yang dulunya meriah dengan pasar sehari menerusi pelaksanaan zon aliran bebas (free flow).

"Zon aliran bebas akan membolehkan rakyat negara ini dan warga asing di sempadan memasuki kawasan Wang Kelian dan Wang Prachan di Thailand untuk membeli-belah.

"Malah, tidak hanya di Padang Besar sahaja, pembangunan ekonomi di Wang Kelian yang selama ini ditinggalkan sehingga menjadi pekan 'hantu' wajar dihidupkan kembali bagi memberi peluang ekonomi kepada rakyat tempatan mencari rezeki di kawasan itu.

"Saya faham faktor keselamatan menyebabkan kaedah itu dimansuhkan tujuh tahun lalu, namun ini dapat dihidupkan kembali sekiranya satu kaedah berkesan dapat dilaksanakan di Wang Kelian daripada terus membiarkan ia menjadi pekan tinggal tanpa ada sebarang perancangan masa depan," katanya.

Arked Niaga Pekan Sehari Wang Kelian sepi sejak hampir lapan tahun lalu selepas pemansuhan Zon Aliran Bebas. - BERNAMA
Arked Niaga Pekan Sehari Wang Kelian sepi sejak hampir lapan tahun lalu selepas pemansuhan Zon Aliran Bebas. - BERNAMA

Zon aliran bebas atau 'free flow' yang dilaksanakan di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dimansuhkan 1 April 2015. Ia memudahkan pergerakan keluar masuk warga Malaysia dan Thailand tanpa pas sempadan atau pasport sejauh satu kilometer dalam kawasan Wang Kelian dan Wang Prachan.

Keistimewaan itu dimansuhkan atas faktor keselamatan berikutan penemuan kubur besar mangsa pemerdagangan manusia di atas Bukit Wang Burma pada tahun berkenaan.

Berita Harian X