Ahad, 4 September 2022 | 10:27am
Asmadi melawat Mohd Hairol yang diserang angin ahmar di FELDA Bukit Goh. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Asmadi melawat Mohd Hairol yang diserang angin ahmar di FELDA Bukit Goh. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP agih bantuan RM107.2 juta

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan kewangan lebih RM107.2 juta kepada 137,524 penerima dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan kewangan terbanyak membabitkan pembiayaan zakat berjumlah RM68.9 juta yang diagihkan kepada 103,219 penerima diikuti pendidikan lebih RM19.9 juta yang diterima oleh 16,720 pihak termasuk penuntut yang sedang belajar di pusat pengajian tempatan dan luar negara.

Katanya, pengurusan hal ehwal Islam membelanjakan RM12.8 juta yang diterima oleh 15,491 penerima, pembangunan asnaf lebih RM2.8 juta kepada 186 individu dan RM2.7 juta untuk pembangunan modal insan diterima oleh 1,908 individu.

"Agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan diberikan secara berterusan sepanjang tahun ini dan jumlahnya bertambah setiap tahun.

"Wang zakat yang dibayar oleh pembayar zakat di negeri perlu segera diagihkan dalam usaha membantu golongan yang layak dan memerlukan. MUIP dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sentiasa berusaha memberi kesedaran kepada penduduk di negeri ini yang layak membayar zakat supaya berbuat demikian," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada Mohd Hairol Yusof, 43, yang diserang angin ahmar di FELDA Bukit Goh, di sini.

Asmadi berkata, pihaknya memberi bantuan segera sebanyak RM2,000 dan permohonan bantuan bulanan RM800 sebulan diluluskan bagi meringankan beban keluarga itu.

"Dia (Mohd Hairol) sebelum ini bekerja sebagai pengutip buah sawit di FELDA Bukit Goh dan isterinya, Rozilawati Ismail, 42, sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah. Kini, Rozilawati tidak lagi bekerja kerana menjaga suaminya.

"Saya ingin menasihatkan umat Islam di negeri ini yang berdepan kesulitan hidup disebabkan mengidap penyakit kronik, kemiskinan, tiada tempat tinggal dan tiada perbelanjaan untuk melanjutkan pengajian boleh berhubung dengan MUIP.

"MUIP ada menyediakan bantuan dalam usaha meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Berita Harian X