Sabtu, 24 September 2022 | 11:54am
Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat.
Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat.

Program Ziarah YBR santuni masyarakat Putatan

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan misi menyantuni masyarakat di sekitar daerah Putatan, Sabah, bagi mengetahui permasalahan masyarakat dan membantu meringankan beban mereka.

Program Ziarah YBR dilaksanakan di beberapa lokasi di sekitar Putatan dan lebih tertumpu kepada golongan asnaf, golongan B40 dan mereka yang sedang dilanda musibah seperti sakit dan yang memerlukan bantuan.

Melalui program ini, bantuan dan sumbangan segera dapat disalurkan kepada individu yang memerlukan alatan atau keperluan lain, antaranya alat bantuan pernafasan, mesin braille dan alatan lain.

Jefferey (dua dari kanan) bersama Syaiful Rizal (kanan) pada Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat di Putatan.
Jefferey (dua dari kanan) bersama Syaiful Rizal (kanan) pada Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat di Putatan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed, berkata dalam rangka lawatan itu, yayasan menziarahi beberapa individu antaranya seorang wanita yang hanya berbaring di rumah selepas menjalani pembedahan tyroid.

Zaitun Ishak, 34, turut menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi selama lebih 10 tahun dan mengalami kesukaran untuk berjalan dan amat memerlukan sumbangan kerusi roda selain katil hospital.

"Sumbangan yang diberikan akan memudahkan beliau untuk bergerak selain lebih selesa apabila berbaring dan selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR akan cuba menyediakan keperluan katil hospital untuk penerima bantuan ini.

"Kerja kebajikan adalah sebahagian daripada program YBR dan saya akan cuba sebaik mungkin, termasuk memberi bantuan yang diperlukan, misalnya seperti kerusi roda, bekalan makanan dan sebagainya, bergantung pada keperluan tertentu mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Turut hadir pada penyerahan bantuan itu ialah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Jefferey (tengah) bersama Syaiful Rizal pada Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat di Putatan.
Jefferey (tengah) bersama Syaiful Rizal pada Program Ziarah Yayasan Bank Rakyat di Putatan.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang menerima bantuan YBR menzahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang mengambil berat dan datang bertanya khabar.

''Saya berharap program ziarah seperti ini dapat lebih kerap diadakan agar dapat memberi manfaat dan mengambil cakna kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti saya.

"Sumbangan yang diberikan menerusi program ini sangat bermakna buat saya dan keluarganya," katanya.

Selain program ziarah, YBR juga melaksanakan program bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah anak.

Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, YBR ) komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Sehingga 1 Januari lalu, YBR telah menaja lebih daripada 5,964 pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan lebih RM165 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Berita Harian X