Ahad, 18 September 2022 | 5:55pm
Gajah liar yang dipindahkan ini akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara Terengganu. - NSTP/Ihsan PERHILITAN
Gajah liar yang dipindahkan ini akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara Terengganu. - NSTP/Ihsan PERHILITAN

Kala dan Suria bantu pindah dua gajah liar

KUALA KRAI: Pusat Konservasi Gajah Terengganu menggunakan dua ekor gajah denak iaitu Kala dan Suria bagi membantu operasi pemindahan dua gajah liar di Kampung Peria, Kuala Krai, di sini, hari ini.

Sebelum itu haiwan berkenaan ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan yang dibantu oleh enam anggota.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata operasi pemindahan dua ekor gajah liar jantan membabitkan 26 kakitangan iaitu lima kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, 10 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Terengganu dan 11 kakitangan Perhilitan Negeri Kelantan.

"Gajah liar yang dipindahkan ini akan dibawa dan dilepaskan semula di Taman Negara Terengganu.

"Kedua-dua ekor gajah liar yang dipindahkan ini adalah daripada kumpulan gajah sama yang mengganggu tanaman penduduk di beberapa buah perkampungan di Lata Rek antaranya di Kampung Tok Uban dan Kampung Chatin sejak Mei lalu," katanya katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya berjaya menangkap dua gajah liar itu yang kerap merosakkan tanaman penduduk pada Khamis lalu dan anggaran jumlah kerugian yang dialami oleh penduduk kawasan berkenaan pada tahun ini adalah lebih kurang RM60,000.

"Dua ekor gajah liar jantan yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun itu ditangkap di dalam kawasan kebun berhampiran rumah penduduk.

"Gajah liar ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sg Rek dan populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 12 ekor.

"Kami menerima aduan mengenai gangguan gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk di kampung berkenaan pada 5 September lalu.

"Keadaan ini menyebabkan penduduk bimbang untuk ke kebun selain turut mengalami kerugian akibat tanaman dirosakkan haiwan berkenaan," katanya.

Mohamad Hafid berkata, sejak Januari hingga kini, Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan sudah menangkap 14 ekor gajah liar iaitu enam ekor di Jeli, empat ekor di Gua Musang serta empat (ekor di Kuala Krai dan kesemua gajah liar itu sudah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat dan sesuai.

"Oleh itu, cadangan pembinaan sistem pagar eletrik gajah (SPEG) merupakan langkah paling berkesan bagi menghalang gajah liar memasuki kawasan kebun dan seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kepada pekebun.

"Bagaimanapun, pembinaan SPEG hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan bagi memastikan ianya berfungsi dan efektif," katanya.

Berita Harian X