Sabtu, 30 Julai 2022 | 5:09pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada penerima. - Foto ihsan YBR
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada penerima. - Foto ihsan YBR

1,000 pelajar sekolah terima manfaat bantuan persekolahan YBR

MELAKA: Seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Tangga Batu, Kota Melaka dan Asahan, di sini, menerima manfaat hasil bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

YBR memaklumkan RM100,000 peruntukan bantuan disediakan untuk pelajar bagi tujuan meringankan beban persekolahan mereka.

Sehingga kini, katanya 60,558 murid sudah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan itu dengan peruntukkan keseluruhan RM6.72 juta sejak ia dimulakan pada 2018.

Bagi tahun ini sahaja, sejumlah RM3 juta lagi diperuntukkan disediakan bagi menjayakan program sama.

"Bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai RM100 ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga dalam menanggung sesi persekolahan yang dijalankan ketika fasa endemik," katanya melalui kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) diapit Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan (kiri) ketika penyampaian replika cek sumbangan bantuan persekolahan. - Foto ihsan YBR

Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sumbangan terbabit diharap membantu keluarga B40, khususnya bagi meringankan urusan kewangan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah.

"Bantuan ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan," katanya.

Sementara itu, YBR memaklumkan majlis penyerahan replika cek bantuan persekolahan ini disampaikan Megat Zulkarnain pada acara berasingan di sini.

Turut hadir dalam sesi penyampaian bantuan itu Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Berita Harian X