Isnin, 18 Julai 2022 | 1:58pm
 Khidmat lori tangki digunakan bagi menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas.
Khidmat lori tangki digunakan bagi menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas.

Lebih RM11 juta sedia khidmat lori tangki

KOTA BHARU: Kelantan menyediakan peruntukan lebih RM11 juta setahun untuk menyediakan khidmat lori tangki air bergerak bagi menangani isu bekalan air di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, berkata Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melalui kerajaan negeri membuat bayaran sewa sebanyak RM850 sehari bagi sebuah lori dengan menyediakan lebih 30 lori tangki air yang bergerak ke lokasi ditetapkan.

Katanya, perancangan awal khidmat lori tangki adalah bermula Julai 2021 hingga Jun 2022, namun kini dilanjutkan sehingga Disember tahun ini bagi memastikan penduduk terkesan dengan isu air menerima bekalan secukupnya untuk aktiviti seharian.

"Kerajaan negeri memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana menyedari kepentingan sumber air dalam kehidupan seharian, selain sudah menjadi tanggungjawab kerajaan menyelesaikan masalah sebegini.

"Selain itu, kerajaan negeri turut menyiapkan loji mini di Ketereh, bernilai lebih RM10 juta bagi memastikan penduduk di 36 kampung menerima bekalan air bersih. Inisiatif terbabit membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap isu gangguan bekalan air yang melanda negeri ini.

"Pihak AKSB juga merancang pendekatan jangka panjang seperti peningkatan sumber air mentah, menaik taraf dan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Sementara itu, Azami berkata, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan adalah melalui pengabstrakan air sungai sebanyak 47 peratus, tapisan air sungai 29 peratus dan air tanah sebanyak 24 peratus.

"Perancangan turut dilakukan untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.

"Cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) dirancang di Labok, Machang dan cadangan ini sudah diangkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Apabila projek TAPS ini siap pada 2027, jaminan air mentah di kawasan utara Lembangan Sungai Kelantan akan meningkat," katanya.

Berita Harian X