Ahad, 26 Jun 2022 | 11:32am
Jambatan Pulau Pinang. - NSTP/ARKIB
Jambatan Pulau Pinang. - NSTP/ARKIB

Rondaan kerap, CCTV tangani kes terjun Jambatan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Rondaan kerap dilaksanakan pihak berkuasa bersama pemantauan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dilihat berupaya mengawal kejadian bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, tiada kes bunuh diri dilaporkan di jambatan berkenaan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dan ia menunjukkan segala usaha yang diambil untuk menangani isu tersebut membuahkan hasil.

"Rondaan kerap pihak berwajib termasuk pemantauan CCTV berupaya mengawal insiden seumpama itu berulang, sekali gus tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera.

"Selepas pertemuan pelbagai agensi bagi menangani isu berkenaan dengan agensi berkaitan turun padang diketuai Ketua Polis Pulau Pinang (Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain) bulan lalu, tidak lagi kita dengar kes sedemikian setakat ini.

"Antara langkah drastik termasuk memperbanyakkan rondaan. Pihak bomba turut berganding bahu melakukan pemantauan terutama di lokasi 'hotspot' di Jambatan Pulau Pinang," katanya ketika ditemui selepas program Signature Pusat Maklumat Rakyat, di sini hari ini.

Saadon (tengah) menyaksikan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yusof Latiff (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada anggota BBP Jalan Perak, Muhammad Syahir Jamaludin, 31, pada program Signature Pusat Maklumat Rakyat di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Saadon (tengah) menyaksikan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yusof Latiff (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada anggota BBP Jalan Perak, Muhammad Syahir Jamaludin, 31, pada program Signature Pusat Maklumat Rakyat di Georgetown, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

Dalam pada itu, Saadon berkata, ini kali pertama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dijadikan lokasi penganjuran program kesedaran yang turut membabitikan Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Yayasan Bina Ilmu, Persatuan Melayu Pulau Pinang selain penduduk setempat.

Beliau berpendapat pemilihan topik Risiko dan Kesedaran Jenayah Siber yang diketengahkan dalam program itu dekat di hati masyarakat, sekali gus dapat membina ekosistem dalam talian yang lebih selamat di samping mendidik orang ramai agar bertanggungjawab menggunakan media sosial.

Berita Harian X