Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:18pm
Norena (kanan) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika melakukan Walkabout di Pasar Awam Bachang, hari ini. - NSTP/ NURALIAWATI SABRI
Norena (kanan) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika melakukan Walkabout di Pasar Awam Bachang, hari ini. - NSTP/ NURALIAWATI SABRI

20 premis panas cuba sorok minyak masak botol di Melaka dipantau

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti kira-kira 20 peruncit di sekitar negeri ini sebagai 'premis panas' kerana cuba mengawal penjualan minyak masak botol sebelum pemansuhan subsidi bahan itu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata, semua 20 premis panas itu kini dipantau rapi pihaknya dengan lebih separuh berada di daerah Melaka Tengah, manakala selebihnya di Jasin dan Alor Gajah.

Justeru, katanya pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan pemantauan termasuk melalui kaedah penyamaran dengan berpakaian preman bagi mengesan dan mengekang kegiatan ini.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan pihaknya melalui pemantauan yang dijalankan menerusi Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (OP ATM) sejak awal Jun.

"Ada peniaga pada waktu ini disyaki mengawal jualan minyak masak botol bagi mendapat keuntungan berganda selepas 30 Jun ini.

"Pemilik premis dikenal pasti disyaki sedang cuba mengawal jualan bekalan minyak masak tulen bagi pek kemasan botol.

"Kita percaya peniaga ini akan jual semula stok bekalan ini selepas 1 Julai pada harga jauh lebih mahal atau dua kali ganda berbanding harga dibeli mereka ketika ia masih bersubsidi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Walkabout bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Pasar Awam Bachang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norena berkata, sepanjang awal tahun ini sebanyak 235 kes direkodkan dengan 161 daripadanya diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Sebanyak 344 aduan juga direkodkan dengan 111 daripadanya berkaitan harga, diikuti transaksi dalam talian, perkhidmatan mengelirukan selain beberapa lagi kategori aduan.

"KPDNHEP turut mengeluarkan 161 notis aduan kepada peniaga bagi mengesan sebarang kemungkinan berlakunya pencatutan," katanya.

Berita Harian X