Khamis, 23 Jun 2022 | 5:55pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, yang juga ADUN Paloh, pada sidang Pertama DUN Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini. NSTP/IHSAN MEDKOM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, yang juga ADUN Paloh, pada sidang Pertama DUN Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini. NSTP/IHSAN MEDKOM

Johor catat nilai pelaburan RM2.237 bilion tiga bulan pertama tahun ini

ISKANDAR PUTERI: Johor mencatatkan nilai keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan berjumlah RM2.237 bilion bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dah Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, berkata nilai berkenaan meningkat 30 peratus berbanding nilai pelaburan RM1.705 bilion dalam sektor pembuatan bagi tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, bagi sektor perkhidmatan pula, sebanyak RM23 juta nilai pelaburan diterima pada suku pertama tahun ini berbanding RM39 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Johor berjaya mencatatkan jumlah nilai pelaburan yang baik dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak RM6.784 bilion. Angka ini berkembang sebanyak 2.5 peratus kepada RM6.953 bilion tahun lalu.

"Statistik yang dikemukakan ini menunjukkan satu trend yang agak positif. Kerajaan negeri menggandakan lagi usaha untuk menarik pelaburan dengan memperkenalkan dasar yang mesra pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan EXCO pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di sini, hari ini.

Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, nilai pelaburan yang disasarkan di dalam Pelan Mampan Pembangunan Johor, adalah antara RM10 bilion hingga RM15 bilion dapat dicapai pada tahun ini.

Katanya, pelbagai inisiatif sedang dilaksana dan dirancang kerajaan negeri bagi mengekalkan pelaburan sedia ada dan menarik pelabur baharu.

"Menerusi kerjasama semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selain pihak swasta, kerajaan Johor yakin sasaran nilai pelaburan itu akan dapat dicapai.

"Kerajaan Johor melalui Invest Johor telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri dan organisasi sektor pelaburan bagi jalinan usaha sama strategik.

"Setakat Jun tahun ini, dua sesi libat urus membabitkan empat daerah telah dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X