Sabtu, 18 Jun 2022 | 7:29pm
Ab Rauf (lima dari kiri) dan Zaidi (tiga dari kiri) bersama kakitangan SWCorp mengumpul sampah dikutip pada majlis perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di Padang Kemunting, Masjid Tanah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR
Ab Rauf (lima dari kiri) dan Zaidi (tiga dari kiri) bersama kakitangan SWCorp mengumpul sampah dikutip pada majlis perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di Padang Kemunting, Masjid Tanah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR

Sukarelawan jaga kebersihan pantai Tanjung Bidara-Pengkalan Balak

MASJID TANAH: Skuad Sukarelawan Pantai (SSP) akan ditubuhkan bagi membantu memelihara kebersihan di pantai peranginan dari Tanjung Bidara hingga Pengkalan Balak, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, skuad berkenaan dianggotai remaja, terutama penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau berkata, mereka akan meronda sepanjang pantai kira-kira dua kilometer, bukan setakat mengutip sampah, malah mendidik anggota komuniti dan pengujung supaya lebih prihatin terhadap aspek pemeliharaan kebersihan dan alam sekitar.

"Mereka akan bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membersihkan pantai daripada sisa kotoran seperti botol, plastik dan seumpamanya.

"Setakat ini saya tidak nampak ada dalam kalangan anggota masyarakat kita berani menegur pengunjung pantai yang membuang sampah merata-rata atau meninggalkan sisa makanan dan pembungkus makanan di tepi pantai," katanya.

Beliau yang juga EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, berkata sama ada rondaan itu akan dilakukan secara mingguan atau bulanan masih belum diputuskan.

Ab Rauf berkata demikian pada majlis perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di Padang Kemunting, dekat sini hari ini yang disempurnakan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan danAlam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Katanya, pantai harus dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih kerana ia antara lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar Melaka, sekali gus perlu keprihatinan masyarakat untuk menegur mereka yang membuang sampah merata-rata.

Beliau juga meminta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memastikan syarikat mengurus pungutan sisa pepejal, SWM Environment Sdn Bhd menyediakan tong mencukupi bagi memudahkan pengunjung membuang sampah.

"Yang lebih penting adalah anggota komuniti dan pengunjung harus memiliki jati diri untuk bersama-sama memelihara kebersihan," katanya.

Berita Harian X