Rabu, 1 Jun 2022 | 10:20pm
Minyak masak paket yang cuba diseludup keluar menerusi perairan pantai timur Sabah sebelum dirampas Maritim Malaysia. - Foto IHSAN MARITIM MALAYSIA
Minyak masak paket yang cuba diseludup keluar menerusi perairan pantai timur Sabah sebelum dirampas Maritim Malaysia. - Foto IHSAN MARITIM MALAYSIA

Maritim rampas lebih satu tan minyak masak paket

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak paket di perairan timur laut Pulau Kulapuan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.7 batu nautika di kawasan berkenaan sebelum melakukan pintasan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata tekong bot bagaimanapun mengemudi bot ke kawasan lebih cetek sebelum terjun melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

"Pemeriksaan ke atas bot menemukan lebih satu tan minyak masak paket disyaki cuba diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Norrimi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggar RM8,000.

Katanya, usaha mengesan pemilik dan dalang penyeludupan barang kawalan berkenaan giat dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi," katanya.

Berita Harian X