Selasa, 31 Mei 2022 | 8:56pm

Projek penukaran paip 87km selesai

KOTA BHARU: Usaha ke arah meningkat kadar kuantiti, kualiti dan kecekapan agihan air di negeri ini giat dilaksanakan termasuk dengan pembinaan loji rawatan air, menaik taraf loji rawatan air (LRA) dan penukaran paip secara berperingkat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagi projek penukaran paip, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah berjaya menyelesaikan projek penukaran paip sepanjang 87 kilometer (km) yang membabitkan kawasan dalam jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang.

"Tahun ini, 340km paip lama dan uzur akan ditender dan dilaksanakan dalam kawasan Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

"Pada masa sama, pihak Pengurusan Aset Air Berhad dalam proses pelantikan perunding untuk melaksanakan projek penukaran paip seterusnya yang membabitkan seluruh jajahan Bachok sepanjang 220km yang dijangka mula dilaksanakan pada 2023," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad berkata, kawasan yang sudah selesai penukaran paip lama dan uzur kepada paip baharu sudah pun menunjukkan peningkatkan tekanan air, mengatasi isu kebocoran paip air dan seterusnya mengurangkan gangguan bekalan air.

Antara kawasan terbabit adalah bandar Kota Bahru, Dusun Muda, Tanjung Chat, Kampung Telok, Jalan Panji, Bandar Bahru Kubang Kerian dan Jalan Kelaboran sehingga Chabang Neting di daerah Tumpat dengan keseluruhan pengguna adalah 10,000 akaun.

Katanya, Kelantan mempunyai 4,006km paip yang lama dan perlu ditukar untuk meningkat tahap bekalan, sekali gus mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

"Justeru, pelan Induk Air Kelantan Sdn Bhd 2021-2030 yang bertujuan untuk meningkatkan belakan air awam negeri ini menyasarkan tiga objektif iaitu pengurangan NRW daripada 50 peratus kepada 30 peratus, meningkat liputan bekalan air dari 70 peratus kepada 95 peratus dan meningkat rizab bekalan air sehingga 20 peratus.

"Pelan ini akan membabitkan anggaran peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.53

billion dengan beberapa projek seperti program pembangunan Takungan Air, pembinaan Loji LRA Mini, pembinaan LRA baru serta menaik taraf LRA sedia ada," katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis perasmian loji rawatan air Ketereh, di sini, yang menggunakan sistem CHEMILES iaitu rawatan air yang mengguna pakai mekanisme penapisan biologikal dan oksigen yang memenuhi permintaan air untuk 4,000 pengguna di 36 kampung sekitar.

Ahmad berkata, beberapa projek lain seperti Projek LRA Kampung Telok, Kota Bharu, Baikpulih Sistem LRA Wakaf Bharu, Tumpat, pemasangan paip 1.7km tangki Lepan Jaya, Gua Musang dan lain-lain tempat sedang dan disiapkan.

"Sementara bagi projek LRA Meranti Bahru, Kedai Buloh dan Telong, ia dalam proses perancangan untuk dimulakan pembinaannya dan saya yakin semua projek di bawah pinjaman kerajaan negeri sebanyak RM49 juta ini mampu siap seperti ditetapkan," katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) meninjau sistem CHEMILES iaitu rawatan air yang mengguna pakai mekanisme penapisan biologikal dan oksigen yang memenuhi permintaan air untuk 4,000 pengguna di 36 kampung sekitar ketika hadir Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Ketereh, di sini, STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) meninjau sistem CHEMILES iaitu rawatan air yang mengguna pakai mekanisme penapisan biologikal dan oksigen yang memenuhi permintaan air untuk 4,000 pengguna di 36 kampung sekitar ketika hadir Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Ketereh, di sini, STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X