Jumaat, 20 Mei 2022 | 2:46pm
Kawasan tanah terbiar di Kampung Gamin Kuala Pilah yang dimajukan Program Pemajuan Kawasan Tanjong Ipoh dengan tanaman jagung manis komersial. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.
Kawasan tanah terbiar di Kampung Gamin Kuala Pilah yang dimajukan Program Pemajuan Kawasan Tanjong Ipoh dengan tanaman jagung manis komersial. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

Negeri Sembilan komited majukan tanah terbiar

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk memajukan tanah terbiar dengan projek ekonomi khususnya membabitkan aktiviti pengeluaran makanan bagi keperluan negeri dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir, berkata isu tanah terbiar yang tidak dimajukan bukan perkara baharu tetapi ianya sudah berlarutan sekian lama.

Beliau berkata, statistik sebelum ini menunjukkan terdapat 33,000 hektar tanah termasuk sekitar 14,000 hektar tanah adat terbiar di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya bilangan itu sudah berkurangan sedikit selepas sebahagian daripadanya sudah dipulih dan diusahakan dengan projek pertanian dan pengeluaran produk makanan.

"Jumlah sebenar tanah yang masih terbiar sedang diperincikan kerana sebahagian daripada kawasan terbabit sudah dimajukan dengan projek ekonomi pengeluaran makanan.

"Usaha pemulihan tanah terbiar sentiasa diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri, malah kita menyediakan insentif bantuan dan pembiayaan sebanyak RM1 juta tahun ini bagi pembangunan tanah terbiar di Negeri Sembilan kepada pengusaha yang berminat.

"Insentif maksimum sehingga RM15,000 bagi setiap hektar meliputi bekalan input pertanian seperti baja, racun dan anak benih.

"Untuk tahun ini, insentif berkenaan masih ada dan individu atau pengusaha boleh membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Bakri yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Klawang, berkata kempen pembangunan tanah terbiar terus dijalankan seiring program anjuran agensi atau jabatan lain seperti program hari ladang, pameran jabatan dan seminar petani.

Beliau berkata, selain pengusaha individu atau pemilik tanah, kerajaan negeri memberi ruang kepada agensi seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membangunkan tanah terbiar dengan projek ekonomi secara berskala besar.

"Bagi meringankan kos bahan input selain menggalakkan pengeluaran yang selamat dimakan, kerajaan negeri juga melaksanakan Insentif Keselamatan Makanan iaitu pemberian insentif kepada pengusaha yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berupa infrastruktur ladang dan input pertanian dengan kadar RM10,000.

"Insentif Pengeluaran Hasil iaitu pemberian insentif pengeluaran hasil dengan tuntutan RM0.20 bagi setiap kilogram pengeluaran ladang dengan had tuntutan maksimum RM5,000, juga dilaksanakan," katanya.

Mengenai tanah adat terbiar, Bakri berkata tidak dinafikan kesulitan dihadapi bagi membangunkan tanah berkenaan kerana terdapat kekangan tertentu dari segi adat masyarakat Adat Perpatih.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya sudah merujuk kepada pihak yang berkaitan seperti Datuk Lembaga bagi membantu menjayakan program membangunkan tanah adat terbiar berkenaan.

"Setakat ini di daerah Kuala Pilah antara kawasan paling banyak yang mempunyai tanah adat terbiar berbanding daerah lain namun perinciannya sedang dilakukan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Persekutuan terbuka kepada cadangan untuk memajukan tanah terbiar atau belum dibangunkan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah kepada aktiviti lebih menguntungkan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dilaporkan, berkata mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan boleh memohon membangunkan tanah terbiar menerusi kerajaan negeri atau tanah milik kerajaan melalui Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Berita Harian X