Khamis, 12 Mei 2022 | 3:24pm
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra bersama orang ramai sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium di Kota Bharu. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (tengah) beramah mesra bersama orang ramai sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium di Kota Bharu. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

TAPS tangani isu bekalan air, masalah banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan dibangunkan di Machang, dekat sini, bukan sekadar untuk menangani isu gangguan bekalan air, malah dijangka dapat mengurangkan masalah banjir yang melanda negeri.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini proses kajian di peringkat tapak sedang berjalan dan sebaik ia selesai, TAPS boleh dimulakan bila-bila masa sahaja.

Mengulas lanjut, katanya loji itu akan dibina di tanah rizab seluas 400 hektar berhampiran Sungai Kelantan dengan tangki yang mampu membekalkan pengeluaran air 500 juta liter sehari (MLD) itu, dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk siap pembinaannya.

"Projek TAPS di Machang ini masih di peringkat kajian tapak dan ia ada dua fungsi yang mana dapat mengurangkan masalah banjir dan isu air.

"Air sungai yang diambil akan ditakungkan terlebih dulu sebelum dibekalkan kepada semua loji yang besar, supaya kos rawatan di loji lebih murah," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan, di sini, hari ini.

Majlis berlangsung di Dataran Warisan Stadium itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Tuan Ibrahim berkata, selain projek TAPS, dua lagi inisiatif dijalankan untuk menangani masalah air di Kelantan adalah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) serta paip bersambung, dengan ketiga-tiga komponen itu menelan kos RM1.3 bilion.

Beliau berkata, buat masa sekarang, beberapa loji sedang dibangunkan termasuk di Semerak, Pasir Puteh dan ada juga loji baharu beroperasi termasuk di Kampung Telok di Kota Bharu, Teluk Mesira di Bachok, selain di Ketereh dan Gua Musang.

"Ada empat atau lima loji yang sudah siap dan kita mulakan operasinya sekarang, cuma kapasiti pengeluaran air masih belum sepenuhnya. Contohnya untuk loji Kampung Telok, pengeluaran air hanya dikeluarkan 10MLD sahaja sekarang berbanding kapasitinya mencecah 30MLD.

"Bagi perancangan jangka panjang, kami bercadang memanfaatkan air dari Tasik Tok Uban di Pasir Mas untuk membekalkan air kepada pengguna sekitar kawasan itu.

"Semalam kami buat mesyuarat 'task force' untuk membangunkan projek itu yang akan dibuat dalam dua fasa membabitkan 50MLD dan ini adalah perancangan kami untuk jangka panjang," katanya.

Berita Harian X