Rabu, 11 Mei 2022 | 8:52am
Pelancong mula ramai datang ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang untuk melihat gajah.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pelancong mula ramai datang ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang untuk melihat gajah.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Makin ramai kunjung, tengok gajah di Kuala Gandah

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini menerima kehadiran lebih 38,406 pelancong tempatan dan asing dalam tempoh empat bulan ini.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi semula, hampir setiap hari pelancong datang untuk melihat pelbagai aktiviti membabitkan gajah di pusat konservasi itu.

Menurutnya, jumlah kehadiran pelancong tempatan bertambah dua hingga empat kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum, mereka datang daripada seluruh negara sambil bercuti.

Katanya, Februari mencatat jumlah teramai kehadiran pelancong tempatan dan asing iaitu seramai 14,050, diikuti Mac dengan jumlah 12,001 pelancong.

"Seramai 9,279 pelancong pada Januari dan 3,076 pelancong pada Mei, kehadiran pelancong dijangka terus bertambah hingga akhir tahun ini.

"Pada cuti perayaan minggu lalu kehadiran pelancong juga ramai membabitkan pelancong tempatan dan asing yang datang bersama bersama keluarga.

"Kita mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan pengunjung, antaranya persembahan gajah, gajah mandi dan memberi gajah makan. Selain itu pameran berkaitan haiwan liar berkenaan di negara ini turut diadakan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, selepas pintu sempadan negara dibuka seramai 854 pelancong asing daripada beberapa negara telah berkunjung ke PKGK Kuala Gandah tahun ini.

Beliau berkata, di PKGK Kuala Gandah kini terdapat kira-kira 32 gajah, anak dan dewasa yang digunakan untuk pameran, persembahan dan denak.

Berita Harian X