Isnin, 2 Mei 2022 | 12:58pm
Asmadi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada pesakit di Hospital Daerah Pekan. - NSTP / MOHD RAFI MAMAT
Asmadi (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper kepada pesakit di Hospital Daerah Pekan. - NSTP / MOHD RAFI MAMAT

MUIP ceriakan 710 pesakit di 3 hospital

PEKAN: Keperitan dialami 710 pesakit yang menjalani rawatan di tiga hospital di negeri ini sedikit terubat apabila masing-masing menerima sumbangan raya daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Sejumlah RM142,000 disumbangkan MUIP yang antara lain bertujuan menceriakan golongan yang mengidap pelbagai penyakit itu, dengan setiap seorang menerima RM200 serta hamper kuih raya dihasilkan usahawan asnaf.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, selain 400 pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sumbangan turut diagihkan kepada 110 pesakit di Hospital Daerah Pekan

dan 200 lagi di Hospital Daerah Lipis.

"Kita harap bantuan melalui Program Ziarah Cakna Pesakit ini dapat menambahkan lagi semangat pesakit untuk terus menjalani rawatan, seterusnya tidak mudah berputus asa," katanya selepas menyampaikan duit raya kepada pesakit di Hospital Daerah Pekan, semalam.

Asmadi berkata, selain pesakit di tiga hopsital itu, sumbangan duit raya turut diagihkan kepada 330 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang masing-masing menerima RM100.

"Pada Ramadan kali ini, MUIP turut mengagihkan bantuan duit raya dan hamper kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam, yang diraikan dalam majlis berbuka puasa di perkampungan mereka," katanya.

Berita Harian X