Ahad, 1 Mei 2022 | 6:06pm
Pengerusi Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurulzaimah semalam - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Pengerusi Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurulzaimah semalam - Foto NSTP/Mary Victoria Dass

Anak jual puding untuk beli baju raya

JOHOR BAHRU: Ketika rata-rata umat Islam sibuk membuat persiapan akhir sambutan Aidilfitri, dua beradik tidak berputus asa menjual puding bagi mencukupkan wang membeli baju raya seisi keluarga.

Ibu kanak-kanak berkenaan yang hanya dikenali sebagai Nurulzaimah, 34, berkata walaupun Aidilfitri hanya berbaki dua hari, dia masih berusaha mengumpul wang bagi membeli baju baru untuk lima anaknya yang berusia 12 bulan sehingga 14 tahun.

Menurutnya, keluarganya hanya menyambut Aidilfitri secara sederhana berikutan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan.

Katanya, buat masa ini, keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya menjual makanan dari rumah termasuk upah sajian makan tengah hari kira-kira RM500 sebulan selain bantuan sara hidup Majlis Agama Islam Johor (Maij).

"Bagi tujuan itu saya meminta dua anak membantu menjual puding Thai Creamy Buko yang dibuat di rumah di beberapa lokasi sekitar Tampoi pada Ramadan.

"Setiap hari ada pendapatan yang dibawa pulang mereka hasil menjual puding sehingga jam 8 malam.

"Mereka sanggup berbuka puasa di luar dengan makan makanan ringan sebelum pulang ke rumah selepas selesai berniaga," katanya.

Nurulzaimah berkata, anak sulung berusia 14 tahun juga bekerja sambilan di pusat mencuci kereta dan membantunya bagi menampung perbelanjaan dapur.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang bertanggungjawab dan tidak pernah mengeluh bagi membantu meringankan beban keluarga.

"Kebiasaannya anak perempuan kedua dan anak perempuan ketiga menjalankan aktiviti jualan puding termasuk berhampiran Angsana Mall Johor Bahru.

"Saya memang risau keselamatan mereka apatah lagi mereka adalah kanak-kanak perempuan dan menasihati mereka untuk tidak mengikut individu tidak dikenali," katanya.

Beliau dalam proses bercerai dengan suaminya yang kini dalam penjara untuk tempoh enam tahun sejak awal tahun ini.

Nurulzaimah berkata, dia yakin dengan sejumlah wang yang dikumpul dan hasil jualan pada hari ini dan hingga petang esok, dia dapat membelikan anak-anaknya baju baharu bagi membolehkan mereka merasakan suasana Aidilfitri.

"Saya bercadang untuk membeli pada malam esok kerana ada yang menawarkan baju dengan harga runtuh.

"Mungkin selepas Ramadan saya akan meneruskan aktiviti jualan pencuci mulut bagi mengumpul duit membeli kelengkapan persekolahan anak pula.

"Ia berikutan buku sekolah mereka masih tidak mencukupi sehingga kini dan begitu juga dengan peralatan persekolahan.

Nurulzaimah berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pengerusi Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah di flat dihuninya di Tampoi di sini.

Faridah berkata, dia bersimpati dengan nasib malang menimpa keluarga itu.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan kepada

Nurulzaimah di akaun Bank Islam 01069020455143.

Berita Harian X