Ahad, 1 Mei 2022 | 2:44pm
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan orang ramai pihaknya gagal menyediakan bekalan air yang cukup ketika operasi pemadaman 10 rumah terbakar di Berek 12 Khamis lalu. -Foto fail NSTP
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan orang ramai pihaknya gagal menyediakan bekalan air yang cukup ketika operasi pemadaman 10 rumah terbakar di Berek 12 Khamis lalu. -Foto fail NSTP

AKSB nafi gagal sedia bekalan air padam kebakaran

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihaknya gagal menyediakan bekalan air yang cukup ketika operasi pemadaman 10 rumah terbakar di Berek 12 pagi Khamis lalu.

AKSB dalam kenyataannya hari ini berkata, dakwaan yang ditimbulkan itu memberi gambaran negatif terhadap agensi itu dalam penyediaan perkhidmatan bekalan air terawat ke kawasan berkenaan khususnya dan seluruh negeri amnya.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan bahawa mereka menggunakan air yang dibekalkan oleh AKSB melalui dua pili bomba berhampiran walaupun bertekanan rendah.

"Bomba juga mengesahkan bahawa mereka mempunyai jentera dan sumber air yang mencukupi untuk memadam kebakaran berkenaan," katanya.

Dalam kenyataan media itu turut menyatakan kawasan Berek 12 memperoleh bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Tanjong Mas dan bagi mengatasi penurunan pengeluaran di LRA itu, kerja pembaikian ke atas empat telaga di kawasan itu sedang dilaksanakan.

Menurutnya lagi, semua telaga itu dijadualkan beroperasi dalam minggu ini yang mana dua daripadanya sudah pun siap dibaiki serta mula beroperasi.

"Sebagai persediaan Aidilfitri, AKSB juga bersedia meminimumkan gangguan bekalan air terawat kepada pengguna kerana kepulangan perantau menambahkan permintaan bekalan air terawat.

"Kami sudah membuat hebahan di media elektronik dan cetak serta media sosial mengenai persediaan awal termasuk penyediaan pelan kontigensi bagi meningkatkan bekalan air terawat sepanjang perayaan Aidilfitri.

"Kami memohon kerjasama pengguna dan orang awam supaya menyalurkan sebarang aduan termasuk insiden paip pecah atau bocor dengan segera ke platform aduan rasmi AKSB seperti applikasi myAKSB, whatsapp ke 019-5755777 atau Hotline 15777 agar tindakan segera dapat diambil," katanya.

Berita Harian X