Sabtu, 30 April 2022 | 2:29pm
Megat (baju hitam) beramah mesra dengan anak yatim dan miskin Baitul Saidat Khatijah pada majlis berbuka puasa dan menyampaikan bantuan oleh Yayasan Bank Rakyat di sini, semalam.- Foto NSTP/Owee Ah Chun
Megat (baju hitam) beramah mesra dengan anak yatim dan miskin Baitul Saidat Khatijah pada majlis berbuka puasa dan menyampaikan bantuan oleh Yayasan Bank Rakyat di sini, semalam.- Foto NSTP/Owee Ah Chun

Yayasan Bank Rakyat rai 40 anak yatim

KUALA LUMPUR: Seramai 40 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan Aidilfitri anjuran Yayasan Bank Rakyat.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata ia sebahagian daripada program tahunan yayasan itu sepanjang Ramadan dan bagi menyantuni golongan asnaf dan anak yatim membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Katanya, penganjuran program seumpama itu turut menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, miskin dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat.

"Saya berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan lebih meriah apabila kerajaan memberi kebenaran kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara," katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, tiga Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan berkenaan iaitu Jeffery Nor Mohamed; Datuk Dr Abd Rahman Bakri; dan Widia Wati Abuzar, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak.

Megat Zulkarnain turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima bantuan dan menasihatkan mereka menjaga kesihatan serta menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Sejak ditubuhkan pada Mei 2007 hingga 1 Januari lalu, Yayasan Bank Rakyat sudah menaja lebih 5,964 pelajar membabitkan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM165 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi

Yayasan Bank Rakyat juga berdedikasi meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui strategi yang inovatif, boleh diubah suai dan berasaskan bukti bagi menyiap sediakan mereka supaya dapat berkembang maju dalam pelajaran, kerjaya, dan kehidupan dewasa.

Sementara itu, Penyelia Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Esah Abdullah, berkata pihaknya berbesar hati menerima sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat, selain sudi meraikan anak yang berada di pusat jagaan berkenaan.

"Kami amat mengalu-alukan sumbangan seperti ini kerana sekurang-kurangnya mereka mendapat perhatian daripada pihak luar.

"Ia sekali gus memberikan rasa keterujaan untuk mereka menyambut Aidilfitri sama seperti orang lain, tanpa rasa terasing dan terpinggir," katanya.

Berita Harian X